Kedunguan apakah yang sedang berlaku ni?

'Saya nak ajar anak saya berkawan. Nak bagi putus susu. Sebab tahun depan nak hantar dia pergi sekolah,'

'Eh ada ke sekolah untuk anak umur 2 tahun?'

'Ada. Saya nak anak saya pandai dan bijak.'

'Anak puan asyik menangis je. Lapar susu ni.'

'Takpe. Bagi minum air masak je. Bagi pakai cawan.'

Dan menangislah si anak yang usianya baru menginjak setahun itu. Tangisnya hingga tertidur kelaparan.

Anak yang belum pandai berjalan dipaksa berhenti susu.

Anak yang baru menyambut kelahiran setahun hanya disuap air masak.

Anak yang baru setahun itu akan bersekolah tahun depan.

Anak yang tak bersalah itu dipaksa menjadi pandai demi memuaskan hati ibubapa yang mementingkan kecemerlangan.

Kedunguan apakah yang sedang berlaku ni?

Bencana apa yang nak jadi lepas ni?

Ini kisah benar yang disampaikan kepada saya. Saya perhatikan anak itu. Suci mulus. Bila mengenangkan betapa caknanya ibubapanya terhadap kecemerlangan, terus jatuh kasihan.

Kasihan si anak. Punya ibubapa terpelajar. Kerja hebat. Gaji ribu riban. Tapi langsung tak nampak dimana cerdiknya apabila tergamak berbuat begitu pada si anak.

Para ibu bapa yang dikasihi,

Anak-anak adalah amanah. Amanah itu akan dipertanggungjawabkan. Amanah itu akan dipersoalkan.

Bukanlah tanggungjawab itu hanya terletak pada pelajaran. Memberi makanan yang baik juga adalah tanggungjawab.

"Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar." (Surah Al-Anfal:28)

Anak sekecil itu perlu disusui sehingga 2 tahun. Sungguhpun tak mahu diberi susu badan, paling tidak berilah si anak susu formula. Bukan air masak semata-mata.

'Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.' (Surah al-Baqarah: 233)

Anak sekecil itu fitrahnya bermain. Bukannya disekolahkan. Nak menjadikan anak bijak bukan dengan menghalang dunia kanak-kanaknya.

Bertenanglah. Akan sampai saat dan ketika, anak itu akan belajar sendiri. Akan faham sendiri.

Nak jadi pandai itu perlukan progress.
Nak jadi bijak itu perlukan makanan yang sihat. Nak jadi berjaya itu perlukan masa.

Hospital adalah tempat muhasabah

Sepanjang tiga malam bermalam di wad, belum sempat saya beramah mesra dengan jiran katil sebelah.

Masing-masing sibuk menguruskan anak sendiri, sekadar berbalas senyuman pun dah memadai.

Tapi telatah anak ini menarik perhatian saya.  Saya perasan bahawa ibunya selamba meninggalkan anaknya seketika di katil tanpa mengangkat pagar katil.

Mula-mula rasa curiga. Bimbang jika anaknya tergolek jatuh katil, saya cuba merapati.

Bila kedudukan saya lebih rapat kepada katil, saya sempat mengerling pada tanda nama pesakit yang ditampal di kepala katil. Ahmad. 4 tahun.

'Subhanallah. Patutlah...'

Patutlah ibunya tak bimbang tinggalkannya tanpa mengangkat pagar katil. Kerana Ahmad memang tidak akan turun katil.

Jangankan bangun berdiri, duduk pun Ahmad tak mampu. Ahmad hanya berupaya terbaring di katil. Matanya memandang sekeliling. Belakang badannya diampu dengan sebuah bantal lembut, yang menyokong bahagian belakang badan Ahmad.

Ahmad anak istimewa. Seluruh tubuhnya memerlukan sokongan. Perlu diriba kalau tidak dibaringkan.

Saya lihat ibunya. Tenang. Sudah kebal barangkali. Sabar itu sudah pasti.

*
*
*
Betullah kata orang, hospital adalah tempat muhasabah. Tempat untuk mengenal diri. Di sini duduknya mereka yang sakit. Tanpa mengira usia. Betapa ramai yang bertarung sakit bertahun-tahun. Bukan sedikit berulang keluar masuk hospital.

Betapa kerdilnya diri kita. Betapa beruntungnya kita.

Selayaknya kita bersyukur. Sihat itu nikmat.  Sakَّit itu pengingat.

Rasulullah saw bersabda : ”Mahukah aku beritahukan kepadamu sesuatu jika kamu ditimpa suatu masalah  atau ujian dalam urusan dunia ini, kemudian berdoa dengannya, niscaya akan ada jalan keluarnya ? yaitu do’anya nabi Yunus : ”Bahawa tidak ada Ilah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim” (HR. Hakim)

Bangunlah tahajud pinta bantuan.
Sabarlah menghadapi ujian Tuhan.

”Dan bersabarlah , dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah” (An-Nahl : 127)

'Hai orang -orang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar,' ( Al-baqarah : 153)

”Bahawasanya Rasulullah saw ketika sedang menghadapi masalah, langsung menegakkan solat “  (HR. Abu Daud)

Muhasabah saya yang cepat penat,
Mudah saja hilang semangat,
Hampir terlupa Tuhan itu dekat.
Kasih sayang Allah itu kuat.

'Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat' (Al-Baqarah: 214)

#hanahumaira
#anaksyurga

---
20 Sep 2017

Menu kampung

Sekarang ni nak buat majlis bukan lagi satu masalah. 

Banyak menu boleh dipilih, masakan kampung, bandar, hidangan nasi, mi, kuih muih, air penyegar dahaga.

Rasa yang pasti tak mengecewakan. Nak rasa? jemput order dengan Nenek Catering. Kami pasti anda angkat ibu jari.

#NenekKetukDapur
#MakanSekaliRinduSebulan

Jangan sampai hilang hormat daripada anak dan isteri

Minggu lepas saya ada dapat satu panggilan telefon. Mula-mula saya ingatkan beliau nak order katering, tapi rupa-rupanya memohon khidmat kaunseling.

Puas saya ingatkan akak tu bahawasanya saya ni bukan admin page iium confession, KRT pun bukan. Saya suruh akak tu ngadu je pada page tu, confirm dapat khidmat nasihat seluruh malaya. Tapi akak tu bersungguh-sungguh nak saya dengari kisahnya.

Kisahnya begini, saya namakan akak ni Kak Elly. Kak Elly ni seorang anak, ibu dan isteri berkerjaya. Beliau sekeluarga; suami dan 2 orang anak tinggal sebumbung dengan emak dan ayah Kak Elly.

Anak-anak Kak Elly berusia 2 tahun dan seorang lagi umurnya 4 bulan. Kedua-duanya dihantar ke rumah pengasuh ketika Kak Elly keluar bekerja.

Yang menjadi tekanan pada Kak Elly adalah apabila seluruh ahli keluarganya bergantung hidup pada Kak Elly seorang. Emak dan ayahnya uzur dan tidak lagi mampu bekerja.

Manakala suami Kak Elly tidak memiliki pekerjaan tetap. Beliau lebih suka memerap di rumah berbanding bekerja walaupun bergaji kecil. Suami Kak Elly memiliki kelulusan diploma dalam bidang kejuruteraan.

Oleh kerana beliau tidak mendapat jumlah gaji yang diingini, maka beliau memilih untuk tidak bekerja, dengan alasan gaji yang diterima tidak sepadan dengan lulusan yang ada.

Disebabkan keengganan suaminya untuk bekerja telah menyebabkan Kak Elly mengikat perut semata-mata memastikan perbelanjaan keluarga mencukupi.Kak Elly lebih gemar berpuasa daripada membeli di kantin.

Bertambah kasihan pabila Kak Elly berkali-kali mengulang ayat, 'Kalaulah saya tiada anak, mesti saya tak susah macam ni kan?'

Kak Elly rasa tertekan apabila Kak Elly tak lagi mampu membeli susu dan pampers anak-anaknya. Disebabkan desakan hidup, Kak Elly terpaksa menggantikan susu anaknya dengan susu tin.

Sebelum mengakhiri perbualan, dalam teriak tangisnya Kak Elly sempat berkata, 'Kak Elly dah tak tahu nak buat apa, rasa macam nak gila.'

*
*
*
*
Saya cuba untuk bertenang. Tarik nafas dalam-dalam. Saya cuba untuk tidak memberi apa-apa pandangan mahupun ulasan ketika Kak Elly meluahkan perasaan. Bahaya. Bimbang kalau nasihat yang saya beri boleh meruntuhkan sebuah institusi rumah tangga.

Saya pasti ramai wanita lain yang berdepan dengan situasi sama dengan Kak Elly. Teringat sebuah pesan, 'Wanita yang malang adalah wanita yang tersilap memilih suami.'

Wahai para suami,

‘’Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf, Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya.’’ (Al-Baqarah 233)

Anak dan isteri ialah amanah Allah untuk kamu. Yang menjadi tanggungjawab, menjadi asbab dirimu diangkat menjadi ketua.

Bukanlah menjadi ketua itu boleh dibuat suka-suka. Bukanlah menjadi kepala itu boleh diambil sambil lewa.

Jangan sampai hilang hormat daripada anak dan isteri. Tak mustahil suatu hari nanti semua angkat kaki. Tinggalkan kau seorang diri. Masa tu baru kau tahu apa tujuan kau jadi suami.

Pakej Katering Jimat Makan Sedap


> Khas bagi yang nak buat kenduri kendara di rumah.
>Nak senang lenang layan tetamu.
>Makanan siap terhidang.
>Rasa sedap makan bertambah
>Kualiti terbaik fresh dari dapur Nenek
> Penghantaran ke Shah Alam / Klang / Damansara / Bangi / Puchong / Usj / Subang / Petaling Jaya

Berminat?

Jemput jenguk page #NenekCatering untuk mendapatkan pelbagai promosi menarik yang pastinya anda tertarik.

#NenekCatering
#MakanSekaliRinduSebulan

Selesai job majlis akikah

Suasana sekitar Majlis Akikah di Petaling Jaya. Alhamdulillah selesai job hari ni. Semua berjalan lancar. Nasi minyak, ayam masak merah, dalca, acar timun, sambal, air sirap.

Terima Kasih sudi order dengan Nenek Catering. 😉

#NenekCatering
#MakanSekaliRinduSebulan

---
16 Sep 2017

Diam dah cukup

Lewat petang semalam saya sempat close order untuk satu jamuan. Order datang dari seorang ibu berkerjaya, hampir sama umur dengan ibu saya.

Selesai mengambil order saya sempat bertanya khabar kesihatannya. Beliau seorang penghidap  penyakit buah pinggang, yang menjalani 3 sesi dialisis saban minggu. Wajahnya jelas terpancar keletihan memandangkan beliau baru selesai menjalani dialisis di sebelah pagi.

'Akak ni dah lama niat nak buat makan-makan,' beliau mulakan perbualan.

'Tapi kesihatan akak tak berapa bagus, akak asyik letih ja. Kadang-kadang nak bangun masak untuk keluarga pun tak larat,' beliau cuba berkongsi keadaannya.

Saya membetulkan duduk. Bersila menghadapnya, membolehkan kami saling berdepan.

'Kadang-kadang akak terfikir, termenung sorang-sorang. Kenapa Allah pilih akak? Kenapa dalam ramai-ramai orang, akak yang kena buat dialisis ni?'

'Waktu awal-awal dapat tahu tentang penyakit ni, 6 bulan akak tak ambil ubat. Akak tak pergi dialisis langsung.'

'Akak ingatkan akak kuat, tapi rupanya akak jadi makin tak larat. Nak bangun pergi tandas pun banyak berhenti baru sampai. Ni pun gagahkan diri datang kerja. Anak-anak nak pakai duit. Ada yang baru dapat kerja, ada yang masuk u.'

'Tapi yela kan, Allah pilih akak sebab Dia tahu akak mampu,'

Panjang lebar luahannya. Saya sekadar mengangguk. Cuba untuk tidak mencelah. Memberi ruang kepada ibu ini untuk bercerita.

Tak perlu mengingatkannya untuk menjadi kuat, kuatnya bukan dibuat-buat. Tak perlu menasihatinya untuk sabar, sabarnya memang mencabar. Tak perlu menyuruhnya tabah, kerana beliau memang gagah.

Kerana beliau bukan meminta saya untuk menyelesaikan masalah, cuma menjadi tempat meluah.

Meminjamkan telinga dan meluangkan masa untuk berkongsi cerita pun dah satu rahmat. Perjalanan hidup yang penat.Tentu sahaja beliau memerlukan rehat. Sekadar menjadi pendengar pun dah banyak membantunya meredakan tekanan yang dihadapi.

Begitulah kita. Adakala kita hanya perlukan teman untuk bersembang. Bukan untuk mengeluh, bukan untuk merungut. Tapi untuk berkongsi rasa.

Betapa ramai antara kita yang suka memberi pandangan. Seakan kita memahami lalu menasihati. Kerana hakikatnya kita hanya benar-benar menghayati bila kita melalui dan merasai sendiri.

Lalu si dia memilih untuk berdiam diri, mengelak dari kecaman bertubi-tubi. Yang mungkin saja meracuni diri.

Jadilah pendengar yang baik. Kerana mungkin kesudian kita menjadi teman bercerita mampu melegakan sebuah jiwa.

KOS URUS PERNIAGAAN MAKANAN

'Niaga makanan ni sentiasa untung. Harga barang naik pun orang tetap makan.'

'Yeke?'

'Yela, tengok beli barang harga berapa je. Pastu jual harga dah lain.'
*
*
*
Bestnya kalau semudah itu pengiraan untung rugi bisnes.

Kalau kira gitu, jangan kata untung, silap-silap boleh bungkus.

Dalam membuat pengiraan, pastikan juga dikira hidden cost. Kerana apabila kita buat pejam mata, inilah sebabnya bisnes tak tahan lama.

Sales ada. Tapi kenapa rasa hidup statik je.  Tak tahu untung ke mana. Rugi ke mana.

Hidden cost yang perlu di ambil kira dalam menguruskan perniagaan makanan:

1. Kos minyak beli barang
2. Kos minyak hantar makanan
3. Kos minyak ambil semula bekas ( hidangan buffet)
4. Kos pembungkusan (hidangan bungkus)
5. Kos peralatan
6. Kos cuci
7. Kos dapur gas
8. Kos elektrik
9. Kos air
10. Kos upah

Segala kos yang dikeluarkan perlu dikira secara detail dan terperinci.

Supaya kita dapat tahu di mana untung, di mana rugi. Sediakan hitam putih segala perbelanjaan.

Ingat,

Kita nak berniaga bukan sehari.
Kita nak bina empayar legasi.
Yang boleh diwarisi tujuh generasi.

Jangan berniaga buluh kasap, masuk angin keluar asap. Phew..

#nenekcatering
#tipsbisneskatering

Nak cipta bisnes itu mudah, tapi nak mengembangkannya payah

'Apa kata kalau awak buat bisnes A. Mesti untung tinggi.'

'Elok kalau kau buat bisnes B. Kawan aku cakap  boleh kaya raya.'

'Buat macam ni mesti bagus. Prospek ramai. Mesti untung menggunung.'

Banyak pandangan dari orang kebanyakan. Apa yang kelihatan bagus, semua di offer untuk terjun sama.

Kawan,

Orang bisnes, rugi itu pasti, untung belum tentu.

Orang bisnes, sebelum dapat untung berpuluh ribu, mereka sudah rugi ratusan ribu.

Orang bisnes, tapau sales kanan kiri, rehat dan tidurnya curi-curi.

Orang bisnes, ibarat mengais hari-hari, tak mengais tak makanlah anak bini.

Orang bisnes, sebelum tidurnya merancang marketing strategy, nak di apply esok pagi.

Orang bisnes, travel jauh jalan-jalan, tak sempat rehat dah sambung terbang di awan.

Orang bisnes, bina target 10 tahun ke depan, sejak semalam atur persiapan.

Kawan,

Bisnes itu perniagaan. Dah dijanji 9/10 keuntungan adalah dari perniagaan. Pastinya perjalanannya tak mudah.

Saat sales laju, senyumnya gembira selalu. Saat sales sendu, tangisnya tak berlagu.

Nak cipta bisnes itu mudah, tapi nak mengembangkannya payah. Banyak keringat dikerah, air mata berbaldi-baldi tumpah.

Semuanya hadir dengan ilmu.
Kerana apa yang kita tahu,
akan menentukan pendapatan kita; sendu atau laju.

Kawan,

Selamat Menjadi Jutawan Dermawan!

Pantang larang nenek

Alhamdulillah..

Lebih 20kg rempah ratus gulai kari, dalca, kurma, dan kerutuk sudah selamat sampai. Import khas dari Kelantan.

Yang paling best, kali ni Nenek sendiri yang datang dan hantar rempah ratus ini.

Nak melawat cucu cicit katanya. Terima kasih nek. Sayang nenek.😘

Nenek siap pesan,

'Rempah ni jangan letak atas lantai,'

'Jangan bagi kena air, pastikan kering sentiasa,'

'Masukkan dalam bekas. Jangan biar terdedah,'

Itu antara pesan Nenek yang sememangnya tersohor di dapur.

Inilah keistimewaan resepi nenek. Ada SOP. Pantang-larang yang tak boleh dilanggar, demi memastikan gulai Nenek sedap menyengat, sekali makan, sebulan teringat. 😎

#nenekcatering
#gulainenekresepitradisi

Jaga Adab Dengan Makanan

Dah makan ke? Masak apa hari ni? Eh macam nama group pulak. 😅 Sambil makan tu jangan lupa untuk jaga adab. Adab dengan makanan, selain bagus untuk tubuh, kita juga makin terserlah ayu 😌 dan kelihatan sopan santun ketika makan.

Kali ni nenek nak share serba sedikit adab-adab yang kita perlu jaga waktu menyantap. Nyum Nyum.

1) Dimulakan dengan basmallah

'Wahai anakku, jika engkau hendak makan, ucapkanlah bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang berada dekat denganmu.' (HR Thabrani dalam Mu'am Kabir)

2) Makanlah dari pinggir piring

Jika kalian makan, maka janganlah makan dari bahagian tengah piring, akan tetapi hendaklah makan dari pinggir piring. Kerana keberkatan makanan itu turun di bahagian tengah makanan." (HR Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah, dan Tirmidzi. Imam Tirmidzi mengatakan, 'Hadis ini hadis hasan sahih'.)

3) Elakkan duduk dari bersandar

'Abu Juhaifah mengatakan bahawa dia berada dekat Rasulullah, kemudian Rasulullah berkata kepada seseorang yang berada dekat dengan baginda, "Aku tidak makan dalam keadaan bersandar." (HR Bukhari)

4) Menggunakan tangan kanan

Dari Jabir bin Abdillah, Rasulullah bersabda, "Janganlah kalian makan dengan tangan kiri kerana syaitan itu juga makan dengan tangan kiri." (HR Muslim)

5) Memakan makanan yang dekat

Umar bin Abi Salamah meriwayatkan, "Suatu hari aku makan bersama nabi, dan aku mengambil daging yang berada di pinggir nampan, lantas nabi bersabda, "Makanlah makanan yang berada dekat denganmu."
(HR Muslim)

6) Jangan tiup makanan mahupun minuman

'Rasulullah melarang meniup pada makanan dan minuman.' (HR Syeikh Al Albani- Shohiihul Jaami' )

7) Tidak boleh menghina makanan

'Rasulullah sama sekali tidak pernah mencela makanan. Jika baginda menyukai, baginda akan memakannya. Jika baginda tidak suka, maka baginda meninggalkannya' (HR Bukhari dan Muslim)

Semoga kita semua mengamalkan sunnah nabi dalam kehidupan seharian. Sambil makan pun dapat pahala.

#nenekcatering
#pesannenekuntukanakcucu

Hapoy Birthday Hana Humaira

Happy birthday Hana Humaira!!!

2nd September 2017. Hana Humaira officially turns 3. 😙😙 Alhamdulillah wa syukurillah.

Pejam celik pejam celik dah tiga tahun usia Humaira. Sekejap je masa berlalu. Selama tiga tahun ini jugalah yang banyak mengajar mama dan papa ilmu parenting yang sebenar. Betul betul mencabar.  Phew *lap peluh*

Sepanjang tempoh tiga tahun Humaira kenal dunia, dah macam-macam cabaran Humaira tempuh. Dah banyak dugaan Humaira lawan. Bukan sekali dua Humaira hampir kehilangan nyawa. Bukan sekali dua Humaira buat mama papa tak tidur lena.

Nak membesarkan Humaira perlukan banyak pengorbanan. Pagi semalam papa cakap pada mama,

'Alangkah bestnya kalau anak kita dua-dua sihat kan?'

Mama tahu itu bukan keluhan. Tapi sebuah harapan. Betapa sakitnya melihat anak melawan penyakit. Betapa pilunya melihat anak berulang keluar masuk hospital.

Raya haji tahun ni kita di sini. Jauh dari hiruk pikuk orang ramai. Biar tenang di sini. Jangan tengelam dengan lautan sesaknya manusia. Belum masanya untuk Humaira bercampur sini sana. Memang berat. Lebih berat bila Humaira menanggung akibat.

Orang menyangkakan kita kuat mengharung dugaan. Tapi orang tak nampak kita tersungkur di hadapan Tuhan. Orang menganggap kita tabah sabar bertambah. Tapi orang tak nampak kita rebah di atas sejadah. Orang mengira kita tegak berdiri gagah. Tapi orang tak nampak kita melutut merayu menagih tuah.

Kerana sesungguhnya semua ini rahsia Allah Yang Maha Penyayang. Kuatlah Humaira. Lawan penyakit tu, sayang. Percayalah Humaira. Kesembuhan pasti datang.

Selamat hari lahir yang ke 3.
You are not a survivor.
But you are a warrior!

#hanahumaira
#anaksyurga

---
03 September 2017

Takkanlah minggu ni masuk lagi?

Cuti seminggu. Tapi kami sekeluarga dah decide untuk tinggal di rumah sahaja. Tak payah ke mana-mana. Sambut merdeka dalam rumah. Sambut raya dalam rumah.  Haha. Kejam kan? 

Sebenarnya kan, kalau kami pulang ke kampung , lebih kejam. Bawa jalan-jalan lebih kejam. Sebab mendedahkan anak-anak pada bahaya di luar. Bukan paranoid. Bukan pengecut. Tapi kerana ini keperluan mereka. Anak kedua,  Muhayya demam campak. Anak pertama, Humaira batuk selsema. Batuknya bukan batuk biasa. Hanya kerana terdedah dengan ramai orang. Dia diserang batuk semula.

Baru minggu lepas Humaira discharge dari ward. Takkanlah minggu ni masuk lagi? Big No. Kalau Humaira masuk ward, siapa nak jaga adik Muhayya? Badan adik dah penuh bintik merah. Ini betul-betul buat mama tak tidur malam.

Pagi ni ada appointment di hospital. Macam tu lah kehidupan Humaira. Penuh appointment sana sini. Kejap di Shah Alam. Kejap di Serdang. Kejap di KL. Hebat kau nak. Dah penuh kalendar kena pangkah.

Semalam Maktok dengan Tokwan ada kat sini. Bila dapat tahu cucu tak balik, semata-mata nak jenguk cucu, sanggup datang dari jauh. Terima kasih semua sebab sudi jenguk kami. Teman kami makan, teman kami main di taman.

Bila tengok muka Humaira, rasa kasih menggunung. Bila dengar batuk Humaira, rasa sedih meruntun. Bila tenung parut Humaira, terasa nafas bernyawa. Ibarat mati hidup semula. Humaira senyum ketawa kembali. Humaira bangun tegak berdiri. Mula meniti sebelum berlari.

Duhai anak, perjalananmu masih panjang. Pandanglah terus ke depan. Nikmatilah hidup selagi masih di bumi. Kerana suatu hari nanti, semua kesakitan akan lenyap pergi. Hanya meninggalkan parut di dada. Yang akan menjadi tanda mengingatkan. Bahawa dirimu ahli syurga. Bahawa dirimu berjiwa perwira. Bahawa Allah itu ada. Yang Maha Menyembuhkan.

Percayalah.
Allah sedang sambut doa kita. Di saat kita memerlukan, Allah pasti hantar pertolongan.

Yahfazka, ihfazillah.
Jagalah Allah, Allah pasti jaga kita.

#hanahumaira
#anaksyurga

----
29 Ogos 2017

Happy birthday ayah

Hari ni hari jadi ayah saya. Happy birthday ayah. Semoga dipanjangkan usia dengan nikmat kesihatan yang baik tanpa sebarang penyakit. Dah lama teringin nak balik kampung. Jenguk ayah. Tapi asyik ada hal melintang. Ada catering, ada meeting, anak sakit. Harap nanti diberi peluang untuk pulang jenguk ayah di kampung.

Ayah kami seorang yang sangat kuat dan tegas. Kuat mencari rezeki demi membesarkan kami lapan beradik. Tegas dalam setiap keputusan yang dibuat. Kalau ayah dah kata A, confirm takde siapa berani kata B, apatah lagi C 😅.

Masih jelas di ingatan saya. Ayah dulunya sangat rajin membanting tulang menyara kami sekeluarga. Masakan tidak, kos kehidupan di Kuala Lumpur sangat mencekik. Ayah hanya bekerja sebagai seorang juruteknik. Keluar bekerja pagi balik petang. Sampai sahaja di rumah, ayah takkan duduk diam. Langsung ayah akan persiapkan diri untuk berniaga air di pasar malam.

Ayah mulakan perniagaan di pasar malam selepas kelahiran anak kembarnya. Bayangkan, pada 28 tahun lalu kami tak dapat minum susu ibu. Susu mak kering terus. Jadi kami hanya bergantung pada susu snow. Harganya boleh tahan juga. Dilahirkan sebagai bayi pramatang sangat menuntut kami untuk menyusu kerap. Bayangkanlah setiap 3 hari perlu topup susu. Masa tu mak masih suri rumah sepenuh masa. Desakan hidup ketika itu telah membuatkan ayah nekad untuk berniaga di pasar malam. Semata-mata untuk memastikan bekalan susu tak terputus. Terima kasih ayah.

Selama 14 tahun lamanya ayah berniaga di pasar malam. Memang sedap air jualan ayah. Sehingga sekarang saya tak jumpa air yang dibuat sesedap ayah. Ayah ada resepi tersendiri untuk memastikan air batu lambat cair, rasa air lemak manis, warna air secantik rupa. Setiap hari pasti ada pasar malam ayah singgah. Pasti ayah penat. Letih sudah tentu. Tapi tak sekalipun ayah mengeluh.

Dengan hasil jualan air di pasar malam itulah kami buat belanja sekolah, beli buku. Ayah sangat mementingkan kecemerlangan akademik anak-anaknya. Bagi ayah, ilmu adalah segala-galanya. Ayah akan pastikan kami adik-beradik tidak tercicir pelajaran.

'Ayah dan mak takde harta nak bagi pada anak-anak. Takde tanah berbidang-bidang, takde emas harta warisan. Ayah dan mak hanya mampu bagi pelajaran. Itulah harta kamu semua. Dengan ilmu yang kamu ada, carilah harta sendiri, binalah kehidupan sendiri.' Masih terngiang-ngiang jelas pesan ayah.

Sejak kami berpindah ke kampung halaman di utara Malaysia, ayah tak lagi berniaga di pasar malam. Tubuhnya tak lagi segagah dulu. Ayah banyak perlukan rehat dari bangun. Ayah dah banyak berkorban untuk anak-anak. Sekarang adalah masa untuk kami menabur bakti. Sebelum ayah menutup mata. Paling tidak, biarlah ayah bangga, titik peluhnya tak sia-sia, kerana kami akan berjuang membahagiakan seorang insan yang kami panggil ayah.

Selamat hari lahir ayah. Semoga dipanjangkan usia dan diberi nikmat kesihatan tanpa sakit.

---
23 Ogos 2017

Kasihan

Dari malam semalam adik katil sebelah menangis. Start dari lepas Maghrib semalam. Menjerit meraung-raung. Ibu bapa, misi, dan doktor tak tahu nak buat apa.

Tak tahu apa yang tak kena dengan adik tu. Sekejap sekejap akan terdengar suaranya membingit. Mengejutkan jiwa yang sedang tidur.

Kasihan.

Itu yang kita boleh katakan. Hanya mampu menghulurkan rasa simpati.

Banyak perkara saya belajar di sini. Saya jumpa pelbagai orang. Dengan  pelbagai penyakit. Saya lihat tenangnya ibu. Sabarnya abah. Sedangkan kita tak tahu bagaimana geloranya hati mereka. Memikirkan keadaan anak. Mengenangkan kerja yang tertangguh.

'Ini semua dugaan.'

' Ketentuan Tuhan.'

' Ada orang lain lebih susah.'

' Orang lain lebih teruk.'

'Sabarlah..'

Kita cuba untuk memujuk. Belum tentu hati terpujuk. Bila kita sendiri yang menghadapi, baru sedar langit itu tinggi.

#hanahumaira
#anaksyurga

Bukan mereka tak sabar. Bukan mereka tak bersyukur. Tapi mereka sedang penat. Mereka cuma perlukan rehat.

Doakanlah mereka semua. Semoga dilancarkan urusan. Dimudahkan cabaran. Dikurniakan kekuatan dan kesabaran tinggi menghadapi ujian Tuhan.

Percayalah. Doa yang kita berikan pada mereka sangat bermakna. Kerana mereka tahu, kita ada bersama, saat mereka perlu.

---
22 Ogos 2017
Hospital Shah Alam

REWANG VS KATERING. MANA LEBIH JIMAT?


'Kenapa harga mahal?'

'Buat sendiri lebih ekonomi'

'Senang je masak ni. Takkan nak pegi haji balik hari kot?'
*
*
*
*

Ini antara perbualan yang sering saya dapat bila menguruskan order dari pelanggan. Dan saya akan jelaskan sejelasnya supaya mereka faham  dan meyakini servis katering.

Begini, saya sertakan beberapa perbezaan antara rewang dan katering dari sebelum, semasa dan selepas majlis diadakan.

1. Sebelum majlis

Rewang
-senaraikan dan beli semua barang mentah, pinggan, cawan, mangkuk, sudu garfu
-memasak makanan
-mengemas dapur
-basuh pinggan
-buang sampah
-siapkan tempat
-kemas rumah
-sapu sampah

Katering
-order
-bayar deposit

2. Semasa majlis

Rewang
-menyambut kedatangan tetamu
-topup makanan jika habis
-kemas pinggan cawan yang telah digunakan

Katering
-terima ketibaan makanan dan setelkan bayaran baki
-layan tetamu sambil goyang-goyang kaki
-tak payah topup lauk sebab ada pramusaji uruskan
-tak payah kutip pinggan cawan yang dah digunakan sebab ada pramusaji uruskan

3. Selepas majlis

Rewang
-kemas semula tempat
-susun atur semula kerusi meja
-basuh pinggan
-basuh periuk belanga
-sapu sampah
-buang sampah

Katering
-terus rehat dan tidur

Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi maklumat berguna bagi tuan-tuan dan puan-puan yang masih ragu-ragu untuk menggunakan khidmat katering. Boleh pilih nak jimat yang mana.

Jimat kos atau jimat masa?

Nenek Catering
0145965015 / 01110763654

Terasa terangkat sedikit beban

Semalam bateri phone habis awal. Jasa anak tengok youtube😅. Jadi saya cas hingga tengah malam. Kurang lebih dalam pukul 3 pagi saya bangun semula. Sempat jenguk phone kejap. Belek-belek kot ada mesej masuk.

'Salam jue. Ada kat mana? Ada apa-apa yang saya boleh tolong?'

Wah gembiranya hatiku. Sungguh walau pertolongan itu simple, tapi sangat bermakna. Sangat membantu. Terasa terangkat sedikit beban.

Begitulah kehidupan. Ada ketika kita perlukan bantuan orang. Bukan setiap masa kita mampu lakukan sendiri. Dan seharusnya kita bersyukur pada Tuhan. Kerana telah menghantar pertolongan saat kita memerlukan.

Kadang-kadang kita tak perasan yang monolog kita didengari Tuhan. 'Ya Tuhan, bantulah aku. Hantarkan pertolongan dari setiap penjuru.'

Dalam tak sedar sebenarnya kita sedang berdoa. Bergantung terus pada Tuhan. Kerana Dialah yang menggerakkan hati manusia untuk datang membantu kita.

Walau dilanda pelbagai dugaan, teruslah bersangka baik dengan Tuhan. Kerana kita tak tahu, apa perancangan Tuhan untuk kita.

Kadang-kadang Tuhan hantarkan kita dugaan hebat. Sampai kita rasa tak kuat. Tiada larat. Percayalah, dugaan datang bukan untuk membebani, bukan untuk memberati.

Sesungguhnya ujian adalah pengingat,
Bahawa Tuhan itu amat dekat,
Disebalik ujian yang hebat,
Ada darjat yang diangkat.

---
21 Ogos 2017
Hospital Shah Alam

Dah macam-macam benda saya fikir

Hari ni bangun pagi terus pandang keliling. 'Oh, aku masih di hospital rupanya,'

Cepat-cepat bangun tengok anak. Harapan setinggi gunung nak tengok anak sihat cergas lompat-lompat. Banyak susah hati bila anak sakit. Jiwa kita pun tak tenang.

Dah macam-macam benda saya fikir. Dah plan untuk grow kan bisnes. Plan nak buat marketing sana sini. Sebab nyawa bisnes is marketing. Otak tak boleh berhenti fikir. Harus ligat sana sini. Baru sel-sel berhubung dengan baik.

Selalu cakap kat diri supaya jangan jadikan apa-apa sebagai alasan untuk stopkan bisnes. Lagipun bila tengok kondisi anak yang sentiasa perlukan rawatan, perlukan perhatian, lagilah membuak-buak keinginan untuk buat duit kepok kepok kacing kacing. Sebab bila check in hospital ni, walau dapat makan free, tapi duit tetap mengalir deras ibarat tiada hentinya lagi.

---
20 Ogos 2017

Hospital Shah Alam

Macam mana Humaira sekarang?

Sana sini saya pergi orang akan tanyakan khabar anak.

'Humaira apa khabar?'

'Anak sihat?'

'Macam mana Humaira sekarang?'

Dan setiap kali itu juga saya spontan menjawab,

'Alhamdulillah, Humaira sihat. Humaira takde apa-apa.'

Walau pada ketika itu Humaira sedang berada di wad. Walau ketika itu Humaira sedang batuk demam.

Bukan menidakkan kebenaran. Tapi menzahirkan keyakinan. Keyakinan pada doa. Doa seorang ibu. Doa yang dijanjikan mustajab, tiada hijab. Keyakinan pada aura. Sebarkan aura positif. Agar menjemput suasana positif.

Begitulah hakikat yang saya tempuh hari-hari. Hakikat yang banyak mengajar saya mengawal diri. Kuasai emosi. Agar saya sentiasa redha dengan takdir. Agar saya sentiasa berusaha untuk keluar dari takdir yang menyakitkan.

Sekarang Humaira sedang berada di hospital. Batuk tiba-tiba. Makin lama makin berlekuk rusuk. Nafas makin kuat berbunyi. Saya tak tunggu lama. Terus pecut ke wad kecemasan hospital. Confirm. Red zone.

Sudah dua hari Humaira bermalam di sini. Malam pertama Humaira menangis sepanjang malam. Meronta, menendang apa sahaja. Nafasnya makin laju.  Berlari doktor oncall datang. Zup zap. Zup zap. Doktor buat apa yang perlu. Doktor sudah beri ubat untuk melonggarkan paru-paru sempit. Gas nebulizer diberi setiap sejam. Gas oksigen memberi khidmat tanpa putus.

Masa tu saya hanya mampu berdoa, 'Ya Allah, panjangkanlah umur anakku. Selamatkanlah Humaira.' Cuba menahan airmata dari turun laju.

Kakak jiran katil sebelah datang mendekat. 'Sabar ya ibu. Demi anak, sabarlah.'

'Ini ujian untuk saya,' tersenyum saya membalas.

Malam kedua Humaira sudah boleh tidur lena.

Doakan supaya Humaira cepat sembuh ya. Humaira nak balik rumah.

Alhamdulillah. Humaira sihat. Humaira takde apa-apa.

---

19 Ogos 2017
Hospital Shah Alam

Kenapa guna nama nenek?

Mana-mana sahaja kami pergi, kami akan perkenalkan Nenek Catering. Kalau sebelum ini namanya Nasi Lemak dan Katering Nenek. Kali ini setelah kami duduk berdiskusi sambil minum kopi tanpa gula, maka terhasillah nama Nenek Catering.

Tiada lagi nama Nasi Lemak dan Katering Nenek. Yang ada hanyalah Nenek Catering. Ini namanya penjenamaan semula. Cewah. Hmmm kenapa tidak namakan neni catering? Atau nama lebih glemer yang lain?

Well, setiap yang hidup itu bernyawa. Tiap yang bernyawa miliki roh. So apa kena mengena? Sama seperti nak namakan anak, mesti ibubapa  gugel dan baca buku, buat rujukan sana sini semata-mata nak memastikan nama panggilan anak ada maksud yang baik, mudah-mudahan dengan keberkatan nama tu, sikap dan peribadi anak pun baik sama.

Begitu juga bila nak tubuhkan sesuatu. Mesti ada nama. Dan nama tu mesti ada roh yang menghidupkan. Baru serasi. Mudah-mudahan dengan nama Nenek Catering mampu menjadikan bisnes ni lebih maju. Amin.

Nama diberi Nenek Catering memandangkan ini adalah resepi nenek. Terima kasih nenek atas ilmu yang diperturunkan. Tak sia-sia sinsing lengan masuk dapur tiap kali balik kampung. Nenek yang pertama akan duduk berlunjur dan menyenaraikan semua resepi. Dan tiap kali itu jugalah saya akan keluarkan buku dan pen. Setiap resepi itu harus dibukukan. Harus disimpan. Supaya nanti tak hilang ditelan zaman.

Bukan setakat tu ilmu nenek. Baik dari segi penyediaan perkakas memasak hinggalah cara memasak. Semua ada step. Semua nenek ajar satu persatu. Dan nenek akan beri komentar paling jujur. Kalau masin dikata masin. Kalau tawar dikata tawar. Yang pasti kalau nak ilmu, harus sabar dan rela terima teguran.

Bukan senang nak dapat ilmu nenek. Nenek seorang yang teliti. Setiap yang dibuat ada pantangnya sendiri. Ada aturan. Bukan setakat step memasak, rempah ratus pun wajib import dari Kelantan. Semua mesti sama. Baru rasa tak lari. Dan yang pasti setiap masakan nenek sangat sedap. Manakan tidak, asal ada majlis sahaja pasti nenek akan bergulai. Semerbak harum bau masakan nenek. Wajib makan bertambah.

Banyak pesan nenek. Tapi satu je saya ingat.😅 Jaga solat. Nenek cakap, biar sesibuk mana pun kita, jangan sampai tinggal solat. Selagi mana kita solat, selagi itu hidup berkat. Dan keberkatan itulah yang menjadikan siapa kita hari ini.

So ada yang teringin nak rasa penangan resepi nenek?  Apa lagi, roger lah krew Nenek Catering Muhammad Khairul Fadhil Nurjuwaini Aziz. Pasti tak mengecewakan😉

#nenekcatering
#rindunenek

MAHALNYA UCAPAN TERIMA KASIH

Sambil nak masukkan barang-barang dalam trolley, tiba-tiba ada orang tolong. Terima kasih banyak-banyak.

Sedang nak menolak pintu di mall sambil tangan tengah dukung anak-anak, tiba-tiba ada orang datang tolong. Terima kasih banyak-banyak.

Sedang order barang jualan online, seller pun terus layan kita sebaiknya. Terima kasih banyak-banyak.

Betapa ramai antara kita yang ucapkan terima kasih. Dan betapa ramai yang hanya biarkan ucapan terima kasih berlalu begitu sahaja. Bukanlah isu terima kasih yang penting. Tapi bagaimana kita meraikan orang yang membantu kita, lebih-lebih lagi orang yang menghargai kita.

Apa salahnya kalau ucapan terima kasih dijawab sebaiknya,

'Sama-sama'

'Semoga bermanfaat ya'

'Saya hanya membantu'

'Semoga semua berjalan lancar'

Memang ucapan ni simple je. Dan pertolongan orang pun simple. Alah, tolong buka pintu je pun. Tapi bukan semua orang ringan mulut untuk meluahkan penghargaan. Dan ini semua berkisar tentang adab. Adab kita berurusan dengan orang. Adab kita meraikan perbualan. Adab kita menghargai pertolongan orang.

Kadang kala kita terlalu asyik menyanjung puji-pujian, memandang tinggi hadiah ribu riban. Tapi kita mungkin terlupa bahawa dengan ucapan terima kasih mampu membuatkan hati tertawan. Sambut sahaja dengan doa yang baik.  Mana tahu kan, mungkin waktu itu langit terbuka luas, makbul doa kita. Amin.

Betul ke awak pilih dia? Takde orang lain ke?

Sejak dulu lagi ramai yang tertanya-tanya. Kenapa saya pilih beliau Muhammad Khairul Fadhil untuk menjadi pasangan hidup saya. Macam-macam persoalan timbul. Pelbagai reaksi diterima. Ada yang positif, sokong dan saling support. Tak kurang juga yang cuba memisahkan.

'Betul ke awak pilih dia? Takde orang lain ke?'

'Dia kan takde apa-apa. Korang nak makan apa nanti? Makan pasir?'

'Carilah orang lain.. takkan kau nak merempat pula?'

Saya faham sangat kenapa semua meragui. Sebab beliau tak punya apa-apa. Jangan kan sebuah rumah, kereta pun tiada. Dan semua soalan itu saya jawab dengan satu jawapan yang sama,

'Saya tak tahu sama ada boleh hidup mewah atau tak, saya tak tahu ada harta berjuta atau tak. Tapi hanya satu yang saya tahu. Dia akan buat apa saja demi saya bahagia.'

Yakin betul saya masa tu. Entah keyakinan tu datang dari mana. Yang saya tahu, ada sesuatu pada dirinya yang membuatkan saya yakin.

Dia berani bermimpi. Berani untuk memvisualkan apa sahaja. Seorang yang penuh cita-cita. Seorang teman pernah berpesan pada saya, 'Kalau berjumpa dengan seorang lelaki, tanya kan apa yang dia akan miliki pada 5 tahun akan datang. Kalau dia boleh jawab soalan ni, kamu jangan tunggu. Just marry him.'

Entah kenapa, saya forward tanya soalan tu padanya. Masa tu zaman mesej. Wasap tak wujud lagi.

Tanpa sebarang keraguan laju je beliau jawab,  '5 tahun lagi apa yang saya akan ada:
1. Kita dah kahwin
2. Kita dah ada anak
3. Kita dah ada bisnes sendiri
4. Kita dah ada kereta
5. Kita dah ada rumah

Antara percaya dan tidak. Keberaniannya untuk bermimpi itu yang saya kagumi. Bukan sebarang mimpi. Ia adalah sebuah planning. Perancangan yang jelas. Matlamat yang tampak   terang. Dan yang paling penting, perancangannya bukan sekadar impian sendiri, tapi perancangan untuk kami.

ALHAMDULILLAH. Setelah empat tahun berkahwin, 4 daripada impian tersebut telah pun direalisasikan. Impian yang menjadi jejak-jejak mimpi. Sehingga hari ini, beliau tetap akan menyatakan apa sahaja mimpinya kepada saya.  Dan saya akan setia menyokong dan memberi semangat. Kerana saya tahu, disebalik usaha keras seorang suami, ada doa seorang isteri.

Happy Anniversary, husband. Terima kasih kerana setia menemani setiap ketawa dan air mata kita. Semoga hubungan kita berkekalan hingga ke syurga.

P/s--sesekali nak buat posting bergula. Alaa kasi can laaa...😅😅😅

---
08 Ogos 2017

Kehadiran minyak herba asmak ini banyak membantu

Sudah lama saya tak menikmati tidur yang lena. Kerana anak saya sering batuk. Adakalanya berkahak. Apabila batuk, saya akan trauma. Sebab selalunya akan datang berpakej, batuk, demam dan selsema.  Dan sakitnya berlarutan lama. Lama sampai berminggu. Boleh cecah berbulan. Batuknya bukan batuk biasa. Saya pernah berjaga sepanjang malam hanya semata-mata risaukan keadaan batuknya. Batuk hingga ke pagi.

Fikiran saya buntu bila memikirkan bagaimana cara untuk membantu anak. Bukan sekali dua pergi klinik. Bukan tak pernah berkampung dalam wad hospital. Berkali-kali sedut gas nebulizer. Pernah juga buat suction sedut kahak dengan fisioterapi. Dah banyak ubat yang dilemparkan ke tong sampah. Kami dah lali dengan ini semua. Dah banyak duit hangus sia-sia. Lebih merisaukan saya apabila anak saya merupakan penghidap penyakit kronik.

Anak saya umurnya 3 tahun, Hana Humaira. Beliau merupakan anak syurga saya, anak yang istimewa. Cukup istimewa apabila dilahirkan dengan empat kecacatan pada jantung (tetralogy of fallots).  Lebih istimewa apabila salur darahnya tersumbat (portal vein thrombosis). Garisan parut tegak di dadanya kerana pembedahan jantung, juga punyai parut garisan melengkung di tengah perut kerana pembedahan perut.

Keadaan tubuhnya yang fragile ini menyebabkan saya cukup berhati-hati dan cakna dengan setiap yang berlaku. Batuk yang kerap boleh memberi tekanan tinggi pada tubuhnya. Humaira akan sakit, dia akan letih. Nafasnya berbunyi. Rusuk berlekuk. Pernah batuknya menyebabkan buasir. Kini batuknya menyebabkan muncul inguinal hernia. Doktor sudah beri tarikh untuk rawatan pakar. Bakal menanti saat pembedahan ketiga.

Perjalanan yang hebat ini telah menyebabkan saya sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan Humaira daripada batuk. Saya mencuba apa sahaja. Hinggalah saya bertemu dengan #minyakherbaasmak. Saya hubungi ejen Syarifah Syed Ibrahim. Saya katakan padanya bahawa saya mahu minyak herba asmak segera. Hari tu juga Puan Syarifah pos kepada saya. Terima kasih atas servis pantas ini. Saya terus sapu minyak herba asmak ke tubuh humaira.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Batuknya berkurangan. Tidak lagi bernafas laju. Hilang sudah nafas berbunyi. Lenyap terus rusuk berlekuk. Dan yang paling penting, Humaira dapat tidur yang lebih lena. Saya pun boleh tumpang sama. Hati ibu mana yang senang bila melihat anak sakit. Jiwa ibu mana yang tenang bila melihat anak batuk.

Sungguh. Walau sakit Humaira belum sembuh secara total, namun sedikit sebanyak kehadiran minyak herba asmak ini banyak membantu. Saya yakin dengan ketentuan Allah. Saya berpegang dengan janji Tuhan. Setiap penyakit ada penawarnya.

Dengan izin Allah, Humaira pasti sembuh. Dialah nama yang sering disebut. Demi nama yang sentiasa wujud dalam setiap sujud. Demi nama yang pasti hidup dalam tahajud. Dialah ladang pahala kami. Dialah pemilik nama yang mendekatkan kami dengan Tuhan. Dialah asbab usaha dan ikhtiar yang takkan putus. Semoga hasil perkongsian ini dapat membantu lebih ramai lagi insan yang memerlukan kesihatan yang diidamkan.

Terima kasih Minyak Herba Asmak.

MENU YANG TEPAT MENENTUKAN BAJET ANDA


Pasti ramai tertanya-tanya apa kaitan menu dengan majlis ?

Banyak kaitannya, dari segi pilihan menu . Contohnya majlis kenduri akikah, biasanya kita akan memilih lauk pauk yang manis seperti ayam masak merah atau daging masak kicap.

Bagaimana pula dengan kenduri kesyukuran ?

Setiap majlis yang hendak dijalankan haruslah mempunyai 3T .

1. Tetapkan Tarikh
Pastikan hujung minggu / cuti sekolah dan yang paling penting ialah tetapkan tarikh sekurang kurangnya sebulan awal

2. Tetapkan Bajet
Bajet katering mengikut pax, tetapkan berapa ramai jemputan dan makanan mestilah bersesuaian dengan majlis yang diadakan. Korang tempah jer awal manelah tau ada diskaun dengan pihak katering.

3. Tetapkan Menu
Biasanya bila dah jumpa katering diorang dah siapkan pakej. Tapi saya lebih suka tetapkan menu sendiri. Takpe benda boleh bincang , deal dengan katerer berkenaan dengan menu serta bajet yang korang peruntukkan.

Siapkan 3T, InsyAllah majlis akan berjalan lancar.

Kalau nak banyak lagi tips berkenaan menu dan bajet katering, follow kami Muhammad Khairul Fadhil dan Nurjuwaini Aziz.

nasilemakdankateringnenek

Bisnes Underground

Kami mulakan bisnes secara underground. Sebab apa saya panggil underground, sebab masa tu main terjah je. Langgar dinding berkali-kali. Tanpa syarikat, apatah lagi akaun bank syarikat. Yelah sebab masa tu bisnes sebab nak duit belanja je. Masa tu buat sebab nak cari duit beli pampers dan susu anak. Nak buat bayar kereta, bayar rumah. Saya pejam mata redah je. Saya pernah berhutang semata-mata untuk bayar kos rawatan anak di klinik. Sangat perit bila kita tengok anak sakit, lebih sakit bila kita tak berduit.

Selama setahun berniaga tepi jalan, buka gerai nasi lemak singgit. Saya mesej hampir sesiapa sahaja semata-mata untuk jual nasi lemak singgit. Hampir setiap hari masak nasi lemak, sampai ada orang tegur, ' eh awak ni bau nasi lemak lah', saya senyum je. Ada juga yang pandang saya macam peminta sedekah. Saya tak kisah pun sebab saya tahu ini sumber rezeki saya.

Selepas setahun berniaga, baru saya daftar akaun syarikat. Baru ada kekuatan untuk bergerak lebih jauh, perlahan-lahan saya menceburkan diri dalam dunia katering. Banyak benda saya belajar. Banyak lubang dah saya terjun, banyak juga tangga yang dah jatuh. Macam-macam dugaan datang, banyak kerenah orang yang saya jumpa.

Selepas dua tahun, saya nekad untuk wujudkan akaun syarikat. Setelah apa yang saya lalui, saya yakin untuk jalan terus. Jatuh bangun. Jatuh bangun. Jatuh bangun. Pernah ada ketika saya terpaksa korek tabung. Pernah juga bergolok bergadai. Pernah sedang asyik fokus berniaga, saya diuji dengan kesihatan anak. Pernah sampai jatuh terduduk. Pernah sampai rebah tergolek-golek. Saya anggap ini semua hanyalah tangga-tangga pertama yang perlu saya hadapi untuk mendaki tangga seterusnya. Saya yakin dan percaya, bila sampai masanya, dengan izin Allah, saya mesti sampai ke puncak juga.

Kata orang, 3 tahun pertama bisnes adalah tahun puaka. Kalau boleh lepas 3 tahun pertama, inshaAllah ada peluang untuk terus melangkah ke tahun berikutnya. Entah kenapa, saya juga mengakui ada benarnya kenyataan 3 tahun puaka tu. Sebab 3 tahun pertama adalah fasa pengenalan. Selepas sesi pengenalan boleh berpindah ke fasa berikutnya. Fasa yang lebih mencabar. Doakan saya dapat terus melangkah laju dalam dunia bisnes. Saya buat ni demi mak ayah. Demi anak-anak.

Kisah saya kisah biasa. Tapi kisah ini saya pasti ceritakan pada anak-anak. Agar nanti mereka tak lupa. Asal usul cerita kita, yang sentiasa berkongsi setiap impian, melukis setiap harapan, yang tak pernah memadam angan-angan, yang sentiasa bersama susah dan senang, Muhammad Khairul Fadhil.

Terima kasih sudi membaca. Doakan saya. ✌

Nasi lemak dan katering nenek
Nurjuwaini Aziz

Akhirnya terpaksa serah diri ke hospital jua.

Humaira warded lagi.

Kali ni sebab jangkitan kuman. Bronchopneumonia with bronchopasm. Humaira batuk lama. Sejak raya hari tu. Dah bermacam klinik Humaira pergi. Akhirnya terpaksa serah diri ke hospital jua.

Ini waktu paling sekejap. Lepas 5 hari 4 malam, Humaira dah boleh discharge. Tapi Humaira tetap perlu dikuarantin. Masih perlu makan ubat. Belum sembuh sepenuhnya. Badan Humaira tak macam orang lain. Humaira mudah dijangkiti. Tak boleh terdedah kepada ramai orang. Sebab bila sekali jatuh sakit, ambil masa berminggu untuk sembuh.Kasihan Humaira batuk-batuk. Hilang selera makan. Badan susut. Hilang tenaga.

Kali ni bila datang hospital, mama Humaira tak perlu explain banyak. Hulur je buku rekod kesihatan Humaira. Semua dah tertulis susur galur sejarah perubatan Humaira. Doktor dah tahu kepada siapa Humaira perlu dirujuk.  Bayangkanlah, Humaira ada 3 jenis buku rekod berbeza, satu untuk rawatan jantung, rujukan Hospital Serdang, satu untuk pembedahan perut, rujukan Hospital Kuala Lumpur, satu lagi untuk rawatan lain, rujukan Hospital Shah Alam. Semua buku kesihatan ni mama bawa ke mana sahaja Humaira pergi. Nampak tak betapa specialnya Humaira? Bukan semua orang ada 3 buku rekod kesihatan berbeza tau. Ini betul-betul insan terpilih.

Memang lama tak menulis tentang Humaira. Sengaja mama tak menulis. Sebab hakikatnya bukan mudah untuk berkongsi catatan perjalanan Humaira. Perlukan ketenangan. Menuntut sepenuh jiwa raga.

Maafkan Humaira kalau tak dapat melasak seperti rakan sebaya. Ampunkan Humaira kalau tak dapat memenuhi undangan beraya. Fahami Humaira kalau terpaksa mengasingkan diri. Kerana sesungguhnya untuk menikmati nikmat sihat bukanlah mudah untuk Humaira. Betapa banyak keringat yang dah dikerah. Bukan sedikit air mata yang tumpah. Semuanya dilakukan demi kelangsungan hidup Humaira.

Sesungguhnya kehadiran Humaira adalah anugerah. Amanah daripada Allah. Pastinya tersimpan hikmah. Betapa Allah tak akan menghampakan hambaNya. Kerana Allah Maha Penyayang. Dialah yang memberi sakit. Dia jugalah yang memberi sembuh. Biar sehebat manapun dugaan, segetir manapun ujian, ingatlah Humaira. Ingat pesan mama, tetaplah kita wajib bersangka baik dengan Tuhan.

---
19 Julai 2017

FAHAMI KEADAAN, RAIKAN PERBEZAAN


Ini Hana Humaira. Umur tiga tahun. Sejak Humaira lahir, setiap kali raya pasti memberi trauma pada kami, ibubapanya. Setiap kali raya Humaira biasanya jatuh sakit. Demam batuk selsema. Semua datang berpakej. Pernah hari raya pertama kami meredah jem mencari klinik. Pernah hari raya  telefon doktor tanya bila buka klinik. Pernah time raya tunggu doktor buka pintu depan klinik. Pernah hari raya setiap hari pergi klinik.

Kalau hari raya kebanyakan orang berkunjung open house sini sana. Tapi kami pastinya akan berkurung di rumah sahaja. Waktu open house di rumah sendiri, Humaira akan berehat di bilik. Kerana dirinya kurang sihat. Imunisasi badannya tak seperti kanak-kanak lain.

Itu baru cerita raya. Belum lagi kenduri kendara. Banyaknya kami tak dapat memenuhi jemputan. Memandangkan keadaan Humaira yang agak sensitif. Tak boleh berpanas. Tak boleh bersesak. Tak boleh melasak. Ini bukan soal manjakan anak. Tapi ini keperluan anak.

Hana Humaira. Penghidap jantung berlubang (tetralogy of fallots) sejak lahir. Pernah menjalani pembedahan jantung seawal usia enam bulan. Juga penghidap penyakit salur darah tersumbat ( portal vein thrombosis). Perutnya pernah dibelah, pembedahan portal renal shunt. Akibat muntah darah dan berak berdarah tidak berhenti. Histori sakitnya menyebabkan kami begitu cakna dengan perkembangan dirinya.

Seperti orang lain, Humaira berhak menikmati kehidupan, perlu merasa nikmat berhari raya. Selagi punya keluarga di kampung, pasti kami akan membawanya pulang beraya. Saban tahun inilah raya kami. Pagi raya berpakaian lengkap uniform raya. Kemudian duduk di rumah menemani Humaira.Alhamdulillah. Masih diberi kesempatan berhari raya.

Cerita ini hanya sekadar berkongsi. Betapa setiap orang ada cerita sendiri. Kita cuma perlu toleransi. Ada ketika tak semua orang dapat memenuhi jemputan. Bagi yang sihat, tiada aral melintang, ambillah peluang cuti beraya dengan berkunjung ke rumah sanak saudara. Jangan menghadap tv sepanjang masa. Waktu raya inilah kita nak kenal saudara mara. Bertanya khabar jiran tetangga. Bukannya nak sentap tak kena gaya. Apapun keadaan, kita semua tak sama, tapi kita boleh fahami keadaan, raikan perbezaan.

---
29 Jun 2017

Waktu mak lahirkan kami, waktu tu premature

Kami ni sejak kecik asyik tak sependapat bila duduk sekali. Tapi bila duduk jauh pandai pula nak berindu rinduan.. hehe.

Dulu2 kami berkongsi menumpang rahim mak pada waktu yang sama. Si kembar tiga. Lagi sorang simpan.  Waktu mak lahirkan kami, waktu tu premature. 50 50. Doktor siap pesan dekat mak, jangan letak harapan pada si kembar. Sampai hati doktor cakap macam tu..hukhuk. Sebab masa tu keadaan kami kritikal sangat-sangat. Allah dah jemput salah seorang kembar. Tinggal dua.

Tapi mak nekad. Mak yakin anak mak akan sihat. Alhamdulillah, doa mak memang power. Mustajab. Kami membesar bagaikan juara. Terima kasih mak. Kerana sentiasa yakin dengan anak-anak mak.

To all mothers out there. Never ever give up on your children. Always keep in mind that your children are blessings from God. May God shower you and your family with joy and happiness.

Bila si kembar ber wefie.. alaaa kasi can laaa...😉

Happy eid

SEMUA NAK BEREBUT

Alhamdulillah wa syukurillah

Finally tamat sudah Projek Gempur Ramadan, jom sponsor berbuka puasa / moreh / sahur bagi rumah anak-anak yatim, maahad tahfiz, dan jemaah terawih sepanjang bulan ramadan.

Pada peringkat awal kami dah letakkan target. At least mesti dapat double kutipan berbanding tahun lepas. Mula-mula suspen juga sebab tak tahu sambutan macam mana lagi.

Guess what? menjelang 10 malam akhir; kami menyaksikan betapa ramai orang yang menghulurkan sokongan. Betapa semua berebut-rebut nak bersedekah. Pada golongan yang memerlukan pula tu. Yang akhirnya mencukupkan target kami, bukan double tapi triple. Yeah, we hit the target! Give me five 🖑

Tersangatlah happynya adik2 ni menerima sumbangan. Masing-masing tersengih bila kami buka peluang mereka pilih sendiri menu. Maklumlah, selama ni cuma makan apa yang ada. Sekadarnya. Semuanya hasil dari sumbangan semua.

Terima kasih tak terhingga buat teman-teman yang sudi menghulurkan sumbangan dan sokongan secara langsung mahupun tidak langsung. Tanpa sokongan kalian, mustahil kami dapat melangkah sejauh ini. Semoga Allah mengganjari kalian dengan rezeki yang tak pernah habis.

Regards,
Nasi Lemak dan Katering Nenek

#jombalikkampung
#nasilemakdankateringnenek

SPONSOR MAKAN

Panggilan akhir untuk para sponsor makan2 untuk penghuni Maahad Tahfiz Siti Khadijah dan Anak2 Yatim Putera.

Sponsor terakhir akan dibuat pada hari Selasa ini. Lepas tu krew Nasi Lemak dan Katering Nenek nak gantung periuk. Kami nak kena goyang2 kaki 😂😂 dulu sebelum berdendang perantau join jem pulang beraya ke Kelantan. Mereput la makan jem nanti..🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗

Ps---Mereka semua golongan asnaf, anak yatim dan fakir miskin yang dididik mennjadi hafiz dan hafizah.

***jom banyakkan sedekah di sepuluh malam akhir ramadhon. Kita pecut laju2.🚀

Bila agaknya Humaira pandai bercakap

Seriously. Bila tengok kawan2 lain yang boleh bergelak tawa melayan celoteh anak, yang menikmati saat anak yang high curiousity, asyik bertanya itu ini, memang terasa juga hati ini.

Cemburu melihat anak2 mereka yang sebaya anak sendiri. Yang lincah aktif melalui zaman kanak-kanak. Memang terdetik rasa, 'Bilalah aku boleh dengar celoteh anak.' Meriah tengok budak2 bercakap dengan pelat dan telor tersendiri.

Tapi bila mengenangkan laluan hidup setiap orang tak sama, cepat2 padam perasaan negatif. Kena sentiasa ingatkan diri yang suatu hari nanti mesti anak pandai panggil, 'mama'.  Kena rajin2 cakap dengan anak. Kena rajin buat latihan. Kena sabar. Kena sabar. Kena sabar.

Dan tiap kali rasa down, tiap kali tu juga ingat pesan keramat mak,

'Sebagai seorang ibu, awak tak boleh give up dengan anak sendiri. Walau dalam keadaan apa sekalipun. Sebab kalau ibu dia sendiri tak yakin dengan anak, siapa yang akan jadi tempat bergantung anak2?' Terngiang-ngiang pesan mak.

Humaira, mama tak pernah give up dengan Humaira. Cuma mama tertanya-tanya bila agaknya Humaira pandai bercakap. Risau juga. Asal nak apa2 je Humaira cuma tunjuk. Kalau tak kena je Humaira nangis. Kesian tengok. Mungkin ini cara Allah nak ajar sabar. 

For sure. One fine day, you will be able to enjoy your childhood life. Raising you up is a real challenge. It is a treasure. A journey. Through hardship, sweat and tears.

---
17 Jun 2017

Begitu serba sedikit kisah saya dengan Mealshake Shaklee

Lama saya berfikir sama ada nak buat posting atau tidak. Saya berkira-kira adakah bermanfaat atau tidak perkongsian saya nanti. Dan akhirnya saya memutuskan untuk menulis jua. Sekadar perkongsian pengalaman sendiri, tiada kena mengena dengan mana2 pihak.

Semua orang tahu, tiga bulan lepas anak saya, Hana Humaira telah dimasukkan ke hospital 50 hari lamanya. Saat pertama dia dikejarkan ke hospital, keadaannya sangat mencemaskan. Hampir-hampir kehilangan nyawa. Malam pertama masuk icu, esok paginya saya dipanggil oleh doktor untuk memberi penjelasan. Saya boleh ingat dengan jelas,

'Puan, keadaan anak puan sekarang sangat-sangat kritikal. Anak puan berak berdarah tak berhenti.' Doktor mulakan penerangan.

'Sehingga sekarang kita tak tahu apa punca. Boleh kami tahu sama ada puan ada bagi apa2 ubat pada anak?'

Seminggu sebelum masuk hospital Humaira sudah batuk-batuk. Berpanjangan. Beberapa buah klinik sudah dibawa untuk mendapatkan rawatan. Ubat-ubatan itulah yang saya bagi pada anak.

'Cuba puan ingat betul-betul. Bila puan mula bagi anak makan ubat? Ikut dos yang betul tak? Klinik mana puan pergi? Puan boleh sebut nama ubat-ubat tu semua?' Kata tuan doktor sambil matanya tak beralih dari komputer dihadapannya sambil menaip setiap butir maklumat yang saya berikan.

Bertubi-tubi soalan diberikan. Saya disoal bagai pesalah. Seolah-olah sayalah penyebab anak saya terlantar di sini.

'Macam ni lah doktor, petang ni saya bawa semua ubat yang saya beri pada anak.' Saya akhiri perbualan apabila saya sendiri tak dapat berikan secara detail nama-nama ubat.

Petang itu saya lambakkan segala ubat yang pernah diberi kepada Humaira.

'Doktor, ini semua ubat. Ada apa-apa yang tak kena ke dengan ubat-ubat ni?' Saya aju soalan pada doktor.

'Ubat ni semua tidak mengakibatkan  pendarahan. Untuk kes macam ni kita perlu hantar ke HKL. Sebab di sana ada kepakaran dan kelengkapan cukup,' kata doktor sepintas lalu.

Hanya selepas beberapa hari barulah saya teringat bahawa saya ada memberi Humaira makan Mealshake Shaklee. Betul-betul baru habis satu tong 2 3 hari sebelum masuk wad. Belum sempat saya order tong kedua, Humaira sudah pun masuk wad. Dah menggigil kaki tangan bila rasa yang saya dah letakkan anak dalam bahaya. Saya nekad untuk dapatkan penjelasan. Saya takkan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan aduan kepada kkm jika perlu.

Saya usulkan perihal Mealshake Shaklee tersebut pada doktor. Mereka minta saya panjangkan ke HKL memandangkan kes Humaira akan diambil alih oleh pakar di sana. Saya juga hubungi saudara saya yang merupakan antara orang tertinggi dalam Shaklee Malaysia.

'Macam mana ni Kak Long? Doktor minta sample Mealshake Shaklee.'

'Takpe. Kita bagi kerjasama. Apa-apa yang doktor perlukan, kita ikut je. Kes ni dah dalam pengetahuan wakil Shaklee di U.S. Kalau perlu,  wakil Shaklee dari U.S akan datang Malaysia untuk bagi kerjasama,' balasnya menerusi whatsapp.

Saya bawa Mealshake Shaklee kepada nutritionist di hospital. I passed it by hand. Hari berganti. Tong Mealshake Shaklee dipulangkan kembali pada saya.

'Macam mana doktor? Ada apa-apa yang tak kena ke?' Saya bertanya untuk mendapatkan kepastian.

'Takde apa-apa. Produk ni selamat. Takde apa-apa yang bahaya dengan Mealshake ni,' jawab nutritionist berkenaan.

'Maksudnya anak saya sakit bukan disebabkan mealshake ni kan?' Saya tanya lagi.

'Bukan. Penyakit ni kalau dia nak jadi, dia akan jadi.' Jawabnya.

'Jadi kalau saya nak continue consume produk ni, kira selamatlah kan?' Tambah saya lagi.

'Ya, takda masalah. Asalkan awak ikut saranan yang betul. Lagipun produk ni dah lama. Kalau bahaya, dah lama kita buat aduan kepada kkm dan saman syarikat ni,' panjang lebar doktor beri penerangan.

Lega sungguh hati bila nutritionist sendiri yang cakap macam tu. Dah macam-macam andaian dah saya fikir masa tu. Risau kalau-kalau anak sakit disebabkan kecuaian sendiri.

Begitu serba sedikit kisah saya dengan Mealshake Shaklee. Agak mengejutkan bila banyak dakwaan berkenaan Shaklee baru-baru ini. Sebab saya sendiri dah pun bawa dan serahkan Mealshake tersebut pada nutritionist. Kalaulah bahaya, confirm mereka dah ambil tindakan. Macam-macam kita dengar sekarang ni. Apapun tindakan, biarlah kita bertindak sewarasnya. Dapatkan dulu kepastian dan kesahihan. Tak perlu hentam guna emosi. Niat tak menghalalkan cara. Menegur jangan sampai menghina. Mengkritik jangan sampai mengaibkan.

Terima kasih sudi membaca. Saya percaya kita semua bijak belaka. Nilailah dengan akal. Jangan biar dikawal emosi. Kita semua tengah puasa ni..😊

Oh ya.. saya tak jual shaklee. 😎

Bantuan yang diterima tidak mencukupi

Rupa-rupanya masih ramai yang memerlukan bantuan dan dana di luar sana.

Bila mereka dapat tahu yang kami menjalankan Projek Sponsor Buka Puasa/ Sahur, maka bergembiralah mereka kerana bantuan akan diterima.

Sebak pun ada bila tengok wajah sorang2 adik-adik di sini. Mereka adalah golongan asnaf, anak yatim atau fakir miskin yang dididik menjadi hafiz dan hafizah di Maahad Tahfiz Siti Khadijah dan Anak-anak Yatim Putera.

Bantuan yang diterima tidak mencukupi. Mereka terpaksa mencatu. Hari-hari makan lauk ikan je. Ayam dan daging jauh sekali. Sampai macam tu sekali mereka terpaksa berkira-kira. Betapa beruntungnya kita semua.

Ramadan masih berbaki 12 hari. Jom lah kawan2. Kita pakat2 kumpul dana. Belanja adik2 ni makan. Kalau nak bagi sumbangan direct pada mereka pun boleh. Datang terus melawat di sana atau transfer masuk akaun je.

Ini cerita sahur pagi tadi. Beras, bihun, air kotak, Nasi putih , gulai daging kicap, ayam goreng, ulam timun, agar-agar. Happy kan adik2 ni bila dapat makanan?

'Barang siapa yang disempitkan rezekinya, maka bernafkahlah (sedekah) dengan apa yang telah Allah kurniakan padanya'  (At-talaq: 7)

Nuzul Quran

Salam Nuzul Quran

Sudah melebihi separuh Ramadan. Sekejap je rasa masa berlalu.

Sepanjang Ramadan ni saya saksikan betapa ramai orang berlumba-lumba buat kebajikan. Fenomena yang sangat bagus.

Seronoknya kalau Ramadan sepanjang zaman.

---
12 Jun 2017

Mereka kebiasaannya mempunyai dana yang terhad

Rumah Perlindungan Nur Hati. Seperti yang dijanjikan, lewat petang kelmarin kami datang lagi. Datang untuk meraikan penghuni di sini. Sebelum datang kami sudah memaklumkan kedatangan, juga bertanyakan kalau-kalau mereka ada menu pilihan hati.

'Tak kisah je lauk apa-apa pun,'

'Kalau kami buatkan lauk daging ok ke?'

'Oh, tak pernah dapat tu. Bagus juga sesekali dapat menjamah,'

Sengaja kami cadangkan menu lauk daging untuk mereka. Kerana kami sudah menjangkakan bahawa mereka jarang sekali dapat merasa. Sejak berjinak-jinak dengan dunia golongan asnaf dan anak yatim, banyak yang kami belajar. Mereka kebiasaannya mempunyai dana yang terhad. Banyaknya bergantung pada ihsan orang ramai.

'Cukup ke makanan yang ada kalau tak dapat bantuan orang ramai?'

'Mula-mula risau juga. Sebab ahli di sini ramai. Tapi setakat ni semuanya cukup. Alhamdulillah ada insan yang istiqamah hulurkan sumbangan.'

Dari jauh kelihatan seorang warga tua sedang duduk berehat. Orangnya kemas. Berkemeja dan berseluar panjang. Wajahnya kelihatan sugul dan asyik menunduk ke bawah.

'Siapa pakcik tu ya?'

'Oh, beliau antara penghuni tua di sini,'

'Dia kena tinggal ke?'

'Bukan kena tinggal, tapi dah kena buang. Tak tahulah apa kisah silam dia dengan anak-anak sampai mereka tergamak membuang bapa sendiri,'

'Macam mana pula dengan anak-anak di sini? Dari mana kenal mereka?'

'Mereka kebanyakannya kami pelihara sejak bayi. Bayi yang ditinggalkan sejurus selepas dilahirkan di hospital, ibunya entah ke mana,'

Itu sedikit sebanyak perbualan kami dengan En.Zaid, individu yang bertanggungjawab menjaga kebajikan ahli di sini. Setiap mereka di sini ada cerita sendiri. Sejarah yang tentunya meruntun hati sesiapa sahaja. Kami sendiri sebak bila diceritakan salasilah kehidupan mereka.

Betapa beruntungnya kita. Betapa bertuahnya kita. Masih punya keluarga untuk disayangi. Masih punya pilihan makanan sendiri. Sesungguhnya tiada beza antara kita dan mereka. Sama-sama menumpang di bumi Tuhan. Sama-sama punyai hati dan perasaan.

InshaAllah, selagi mana ada sokongan daripada  orang ramai, selagi ada yang menghulur sumbangan, selagi tu kami akan tetap menjejaki mereka di sini. Bukan sedikit dana yang diperlukan tiap kali sampai ke sini. Mencecah ribuan ringgit. Bukan setakat juadah berbuka puasa, tapi juga barang-barang dapur. Beras, gula , minyak , dan telur. Sebagai kegunaan mereka memasak di dapur.

Kami yakin bahawa masih ramai insan dermawan di luar sana. Mari sertai kami. Hulurkan tangan ringankan beban. Bersama merasa nikmat hidup di bumi Tuhan.

Kalau ada yang berhasrat untuk menyumbang, boleh hubungi krew kami untuk disalurkan sumbangan. Rujuk ruangan komen.

Bila kita tengok perut dia, kita dah tahu ada something wrong dengan perut dia

Institut Pediatrik, HKL. 7/6/2017

Dah lama mama pangkah tarikh tu dalam kalendar. Tarikh untuk Hana Humaira jalani ultrasound. Untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan pembedahan Portal Renal Shunt tempoh hari.

'Bila kita tengok perut dia, kita dah tahu ada something wrong dengan perut dia,'

'Apa maksud doktor?'

'Sepatutnya kita menjangkakan selepas 2 bulan perutnya akan mengempis, urat hijau dah tak timbul, dan saiz limpa mengecil. Tapi melalui ujian ultrasound yang kita buat, kita tak nampak apa yang sepatutnya kita nampak,'

'So for this time being, what can I do to help her?'

'Nothing. I'll talk to the specialist about this case. You just wait a call from us soon,'

Krik krik krik.

Macam tu je habis seharian tunggu beratur kat klinik dari pagi sampai petang. Keputusan yang tak tahu kesudahan. Humaira suka sangat buat mama suspen.

Petang tu lepas setel hal di hospital, papa sempat singgah beli basikal untuk Humaira di Chow Kit. Bila mama tanya, papa jawab, 'Kita tak tahu selama mana Allah bagi kita jaga Humaira, selagi mampu selagi tu kita akan buat Humaira bahagia.'

Sudah lama mama tak menulis pasal Humaira. Bukan seorang dua yang bertanyakan tentang Humaira. Ada yang pm, wasap, call, ada yang datang melawat dekat rumah. Terima kasih banyak-banyak atas keprihatinan semua. Bukan tak mahu update pasal Humaira, tapi tak tahu nak tulis apa. Risau juga kalau2 mengundang air mata.

Humaira makin baik dari sehari ke sehari. Much better. Makin aktif. Makin bertambah selera makan. Kalau sebelum ni Humaira makan nasi sebutir dua. Ya sebutir dua. Bukan semulut dua. Seakan tiada selera makan. Hidanglah apa sahaja. Semua Humaira geleng. Ingatkan sekadar takde selera, tapi rupa-rupanya Humaira sakit. Jahilnya mama sebelum ni. Tak dapat detect yang anak sendiri ada masalah. Maafkan mama, sayang.

Sekarang mama ambil cuti untuk jaga Humaira. Seronoknya hati bila dapat tengok anak membesar depan mata sendiri. Cuti masih berbaki 3 minggu. Lepas tu kena kerja semula. Harap sangat kesihatan Humaira juga makin bagus.

Sejak mama ambil cuti, tak pernah sekalipun Humaira jauh dari mama. Humaira banyak kuarantin dalam rumah. Tak pergi tempat ramai orang. Tak bersesak dalam mall. Apatah lagi nak jejak pasar malam. Humaira cepat rimas. Bila panas Humaira akan menangis. Kalau tak cukup tidur pun boleh menangis. Bila dah mula menangis susah nak berhenti. Mama memang nak elak Humaira dari menangis. Sebab bila nangis akan bagi tekanan pada Humaira. Makin seksa nak bernafas. Kadang nangis sampai takde suara.

Memang jalanan hidup Humaira tak sama dengan kawan sebaya. Humaira special. Special sangat. Bukan niat mama papa nak halang kehidupan kanak-kanak Humaira, tapi keperluan Humaira berbeza. Orang lain mungkin tak faham. Tapi cukuplah dengan apa yang kita dah lalui sebelum ni. Saat-saat sukar yang kita tempuh. Betapa getirnya hati bila tengok Humaira bersusah payah bertarung nyawa. Dan betapa bahagianya bila melihat Humaira masih boleh tersenyum gembira.

Cukuplah. Cukuplah dengan segala ketakutan yang kita hadapi. Bertabahlah dengan takdir Ilahi. Akan sampai suatu masa, hikmah terbentang depan mata. Buat semua yang mendoakan Humaira di luar sana, terima kasih atas sokongan kalian. Doakan supaya Humaira diberi kesembuhan sempurna. Moga-moga Allah makbulkan doa kita semua. Mungkin ada antara kita yang doanya diangkat ke langit.

---
07 Jun 2017

Bersedekah itu adalah mujahadah

Ada orang pernah pesan, bila terasa rezeki sempit, maka perbanyakkanlah sedekah.
Ada orang sedekah dengan niat nak rezeki bertambah-tambah
Ada orang sedekah sebab nak dapat zuriat
Ada orang sedekah untuk ahli keluarga yang dah tiada

Apapun niat kita, sedekah mungkin jadi asbab penyelesaiannya. Selalunya penerima sumbangan akan mengangkat tangan berdoa sungguh2 untuk di penderma. Kena pula mereka golongan yang terpelihara, yang mustajab doanya. Jadi tak hairanlah bila nak sedekah, kita sertakan dengan niat.

Sebab dalam rezeki kita, tersimpannya rezeki orang lain juga. Sebab tu kita kena bayar zakat. Saya lihat sendiri, betapa lagi hebat harta benda seseorang, lagi hebat sifat dermawan dia. Kalau setakat nak sponsor ribu riban tu sambil pejam mata je dia boleh buat. Bila dah infaq tu, kehidupannya tetap ibarat ferrari meluncur laju. Takde pun dia tersungkur semput tak boleh makan.

Kerana hakikatnya bersedekah itu adalah mujahadah. Kita keluarkan sebahagian harta kita untuk dikongsi dengan orang lain. Bukan senang nak pujuk hati untuk sedekah. Sebab kadang2 itu je duit kita. Itulah yang nak bayar itu ini. Tapi Allah dah pun jamin. Kerana Allah dah janji kan..dengan bersedekah tidak akan jatuh miskin. Malah dibayar berlipat-lipat.

Dah sedekah ke hari ni? 😊

RUMAH PERLINDUNGAN NUR HATI

Kali ni kita terjah Ampang pula. Cari kelainan sikit. Selamat datang ke Rumah Perlindungan Nur Hati. 😎

Di sini adalah tempat tinggalnya ibu-ibu tunggal dan kanak2. Jangan terkejut kalau kami katakan bahawa majoriti anak2 di sini adalah anak diluar pernikahan. Para ibu menjadi ibu tanpa melalui proses akad dan nikah. 😭

Lebih sedih bila anak-anak ini tidak kenal pun siapa bapanya. Yang bongsu berumur 4 bulan. Ya, bayi berumur 4 bulan ialah antara penghuni di sini. Duduk menumpang kasih, mengharap belas ihsan masyarakat demi menampung hidup.

Sungguh. Mengalir air mata bila melihat betapa gembira dan bersyukurnya mereka bila kami hadir membawa juadah berbuka. Lebih gembira mereka bila kami duduk bersembang bergelak ketawa dengan anak2 di sini. Si bongsu 4 bulan yang mulus wajahnya, seakan bahagia bila kami menghulur tangan untuk mendukungnya dalam pangkuan.

Sempat beramah mesra seminit dua. Masa mencemburui kami. Kami perlu mengundur diri untuk meneruskan misi yang masih berbaki. Sambil bersalaman, kami berjanji dengan anak2 di sini, bahawa kami akan datang lagi, untuk menyantuni dan meneladani mereka, sama berkongsi rezeki.

Dalam kita asyik berfikir menu apa untuk berbuka dan bersahur nanti, jangan kita lupa, nun jauh di tengah Kuala Lumpur, betapa ramai  yang sendiri tak tahu apakah juadah berbuka dan bersahur masih ada untuk mereka?

Berhajat nak jadi sponsor? Rujuk di ruangan komen.

---
05 Jun 2017

JOM SERTAI SPONSOR BUKA PUASA

Ada macam-macam cara orang nak dapat pahala. Ada yang perbanyakkan solat sunat, ada yang melazimi bacaan alquran, ada yang menghadiri majlis ilmu. Semua ni amalan yang sangat besar pahalanya bila kita amalkan. Ini antara hubungan kita dengan Tuhan.

Bagaimana pula hubungan kita sesama manusia? Ada orang saling bertanya khabar, eratkan silaturrahim. Ada yang rajin sedekah. Tujuan asal sedekah adalah untuk kita sama2 membantu, saling merasa rezeki yang ada. Bila orang senang dengan kita, orang akan doakan kita. Secara tak langsung malaikat pun aminkan doa. Cukup 44kali, makbul doa tu. Sebab tu kita kena selalu buat baik. Bagi orang mudah nak doakan. Sebab kita tak tahu doa siapa yang Allah makbulkan. Mungkin dalam ramai2 yang doakan kita, ada yang doanya mustajab dan Allah kabulkan.

Seronoknya bila kita dapat bantu orang. Lagi best kalau jamu makan. Siapa tak suka makan free kan? Lebih2 lagi kalau dah lama sangat teringin nak makan.

Kalau nak tahu, kebanyakan anak2 yatim dan golongan asnaf ni jarang sangat dapat makan daging. Bila kami buat projek sponsor makanan berbuka puasa, kadang2 bila bajet cukup, kami akan beri peluang kepada anak2 ni untuk pilih menu sendiri. Dah agak dah, mesti minta lauk daging. Kalau kami tak dapat masakkan, mereka sanggup untuk minta yang mentah untuk dimasak sendiri. Percaya atau tidak. Inilah hakikat. Selalunya makan lauk ayam atau ikan. Lauk daging, udang , sotong kalau ada yang nak sponsor.

Sebenarnya dulu2 tak pernah terlintas pun di hati untuk jamu anak2 yatim ni. Tapi sejak tahun lepas rasa tergerak hati untuk ketuk pintu rumah mereka. Lama2 rasa makin seronok bila dapat jamu anak2 di sini. Macam2 latar belakang ada. Ada yang datang dari keluarga bermasalah, ayahnya terlantar sakit bertahun2. Ibu terpaksa keluar bekerja mengambil upah basuh pinggan, ada yang abang orang lain jaga, kakak pun orang lain jaga, ada yang hidup berpindah randah menumpang belas ihsan orang. Kalau nak dicerita semuanya memang bikin nangis.

Cukuplah kalau saya katakan bahawa sesungguhnya setiap usaha kita untuk membantu mereka sangat sangat sangat dihargai. Betapa banyaknya ucapan syukur dan terima kasih dan doa yang diucap berkali2 setiap kali kami sampaikan sumbangan. Mungkin pada kita sumbangan ni sikit sangat. Tak tergerak pun duit yang ada. Tapi pada mereka, tersangatlah bahagianya. Betul. Kadang-kala anak2 yatim ni dijamu mewah, ditaja sana sini. Tapi ada satu kenikmatan yang mereka tak dapat rasa. Iaitu kenikmatan makan bersama ayah dan bonda.

Kami tiada apa2 kepentingan di sini. Cuma sedang cuba untuk menyantuni anak2 yatim di sini. Kerana kami juga miliki anak, ahli keluarga yang kita sendiri tak tahu apa nasibnya bila kita tak lagi bersama mereka.

Mari bersama kami raikan mereka. Sertai misi sponsor buka puasa. Semoga rezeki kita semua bertambah2 dan tak pernah habis.