Hospital adalah tempat muhasabah

Sepanjang tiga malam bermalam di wad, belum sempat saya beramah mesra dengan jiran katil sebelah.

Masing-masing sibuk menguruskan anak sendiri, sekadar berbalas senyuman pun dah memadai.

Tapi telatah anak ini menarik perhatian saya.  Saya perasan bahawa ibunya selamba meninggalkan anaknya seketika di katil tanpa mengangkat pagar katil.

Mula-mula rasa curiga. Bimbang jika anaknya tergolek jatuh katil, saya cuba merapati.

Bila kedudukan saya lebih rapat kepada katil, saya sempat mengerling pada tanda nama pesakit yang ditampal di kepala katil. Ahmad. 4 tahun.

'Subhanallah. Patutlah...'

Patutlah ibunya tak bimbang tinggalkannya tanpa mengangkat pagar katil. Kerana Ahmad memang tidak akan turun katil.

Jangankan bangun berdiri, duduk pun Ahmad tak mampu. Ahmad hanya berupaya terbaring di katil. Matanya memandang sekeliling. Belakang badannya diampu dengan sebuah bantal lembut, yang menyokong bahagian belakang badan Ahmad.

Ahmad anak istimewa. Seluruh tubuhnya memerlukan sokongan. Perlu diriba kalau tidak dibaringkan.

Saya lihat ibunya. Tenang. Sudah kebal barangkali. Sabar itu sudah pasti.

*
*
*
Betullah kata orang, hospital adalah tempat muhasabah. Tempat untuk mengenal diri. Di sini duduknya mereka yang sakit. Tanpa mengira usia. Betapa ramai yang bertarung sakit bertahun-tahun. Bukan sedikit berulang keluar masuk hospital.

Betapa kerdilnya diri kita. Betapa beruntungnya kita.

Selayaknya kita bersyukur. Sihat itu nikmat.  Sakَّit itu pengingat.

Rasulullah saw bersabda : ”Mahukah aku beritahukan kepadamu sesuatu jika kamu ditimpa suatu masalah  atau ujian dalam urusan dunia ini, kemudian berdoa dengannya, niscaya akan ada jalan keluarnya ? yaitu do’anya nabi Yunus : ”Bahawa tidak ada Ilah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim” (HR. Hakim)

Bangunlah tahajud pinta bantuan.
Sabarlah menghadapi ujian Tuhan.

”Dan bersabarlah , dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah” (An-Nahl : 127)

'Hai orang -orang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar,' ( Al-baqarah : 153)

”Bahawasanya Rasulullah saw ketika sedang menghadapi masalah, langsung menegakkan solat “  (HR. Abu Daud)

Muhasabah saya yang cepat penat,
Mudah saja hilang semangat,
Hampir terlupa Tuhan itu dekat.
Kasih sayang Allah itu kuat.

'Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat' (Al-Baqarah: 214)

#hanahumaira
#anaksyurga

---
20 Sep 2017

4 comments:

  1. Kadang-kadang kita lupa bersyukur dengan apa yang kita ada dan apabila kita ditimpa masalah kita lupa bahawa ada orang yang masalahnya lagi besar. Entry ini sangat menginsafkan dan wajar diselami.

    ReplyDelete
    Replies
    1. boleh jadi ujian orang sekeliling juga merupakan teguran untuk kita. mengambil pengajaran dalam kehidupan.

      Delete
  2. Allah akan menguji sesuatu kejadian kepada hambaNya yang mampu. Syurga pasti untuk si anak. Dan semoga dengan asbab itu si ibu juga memperoleh syurga

    ReplyDelete
    Replies
    1. anak merupakan harta bagi ibubapa. beruntunglah mereka yang dah dijanjikan syurga buatnya. hanya insan terpilih yang mampu mengharungi ujian yang hebat.

      Delete