Semua Salah Isteri

Pagi hari lagi emosi dah tak setuju dengan suasana di satu page besar.
Tentang semuanya menjadi salah isteri bila tak dapat anak, dapat anak sorang je, beranak ramai, beranak lewat, beranak czer, beranak normal, dan apa sahajalah berkaitan dengan mengandung dan kelahiran, semuanya diletakkan salah atas ibu.
Jangan begitu wahai sahabat. Yang pertama, anak ini rezeki yang menjadi amanah ibubapanya, bukan orang yang mengatanya.
Yang kedua pula, kita tak tahu apa cerita sebenar yang berlaku dalam rumahtangga mereka.
Mungkin sahaja mereka terpaksa.
Usah begitu mudah membuat persepsi. Jangan kerana mulut kita, yang mudah memberi tanggapan macam macam sehingga mereka rasa tak tenteram.
Saya teringat satu cerita. Sebuah pengakuan oleh seorang ibu beranak rapat, dan ramai.
Kisah ini sudah berlaku berpuluh tahun dulu. Beliau seorang isteri, yang terlalu sabar dengan hidupnya.
Seorang suri rumah tangga yang tak bekerja, mengasuh anak di rumah sepanjang masa.
Kehidupannya yang susah, ditambah pula dengan perangai suami yang tak pernah ambil peduli.
Segala hal menjaga anak, memasak, mengemas, dan apa sahaja semuanya isteri bereskan. Yang suami tahu, balik kerja semua benda mesti setel.
Anak bising tak boleh, makanan siap lambat tak boleh, rumah sepah tak boleh.
Kehidupan susah. Kewangan sempit. Lebih terhimpit bila keluarga isteri asyik menyuruh si isteri sabar dan sekadar sabar.
Orang sekeliling sekadar memandang jelik kerana beranak ramai, hidup miskin, takde perancangan dan bermacam lagi tohmahan.
Yang akhirnya beliau tiada tempat mengadu nasib. Semuanya perlu diselesaikan sendiri.
Kesempitan yang memaksa si ibu mencuri demi membeli susu dan beras untuk anak.
Suami pula jenis memaksa isteri menurut apa sahaja kehendaknya.
Tekanan ini telah menyebabkan si ibu nekad meminum cuka nenas di awal kandungan pada kandungan anak kelima, anak keenam, anak ketujuh dan anak kelapan.
Beliau tergamak untuk cuba gugurkan kandungan kerana beliau tak mahu anaknya merasa susah sama sepertinya.
Kuasa Allah, kesemuanya anaknya selamat dan sudahpun menjadi orang berjaya.
Hari ini, kehidupannya bertambah baik. Anak-anaknya yang dulunya cuba disingkirkan dalam hidup. Rupanya Allah selamatkan untuk menjaga ibunya.
Untuk melindungi ibunya. Untuk keluarkan ibu dari kesusahan.
*
*
Kadang kadang, kita tak faham, kenapa ada orang tergamak melakukan perbuatan tak masuk akal.
Dan memang kita tak faham, sebab kita tidak berada dalam kasutnya.
Kadang kadang, kita anggap dunia ni tak adil. Kita rasa kita saja yang susah.
Tapi sebenarnya Allah sedang bantu kita. Untuk keluarkan kita dari susah.
Begitulah. Hidup ini bukan mudah nak ditafsirkan. Buat para isteri di luar sana, berjuanglah. Didiklah diri dengan ilmu. Jangan sampai diri dibiar jahil sampai tak tahu yang mana hak dan mana batil.
Rumahtangga bahagia apabila masing masing memahami dan melengkapi. Bukan susah sendiri sendiri. Makan hati setiap hari. Jangan sampai dizalimi dan menzalimi.
Bukalah mata. Semoga Allah lindungi kita semua dari kejahilan nyata.