Showing posts with label MUHASABAH. Show all posts
Showing posts with label MUHASABAH. Show all posts

Susah Senang Sama-sama

Waktu mula seorang wanita dikahwini, berjumpa keluarga bertemu wali. Berjanji akan menjaga dan menyayangi sepenuh hati.

Rela bersusah senang hidup mati bersama. Tak kisah bagaimana, asal boleh sama-sama.
Kasihnya pada suami, isteri sanggup sama sama keluar bekerja. Tampung mana yang bocor sini sana. Sanggup ikat perut demi duit belanja.

Kalau dulu hanya ulang alik dengan motorsikal, sekarang dah berkereta. Kalau awal dulu duduk rumah sewa, kini boleh merasa rumah sendiri. Pernah dulu sekadar guna kipas pusing di siling, sekarang dah boleh merasa aircond berhawa dingin.

Relanya seorang isteri bersusah payah bersama suami. Demi keluarga sendiri.

Waktu susah, isteri seorang diri bersama suami. 
Mengapa bila dah senang sedikit, lain pula yang dicari?
Tak ingatkah pada siapa yang rela bersusah payah dahulu? 
Sudah lupakah gelang dan rantai siapa yang pernah tergadai di arrahnu?
Masa susah kena hadap sorang-sorang, mengapa bila senang kena berkongsi dengan orang?

Kita. Mudah sangat terlupa. Berjayanya kita hari ini atas bantuan siapa. Mungkin kita tak perasan. Yang berpenat inilah yang sentiasa ada bersama kita.
Yang sentiasa mendoakan kejayaan. Yang mesti ada bila kita di ambang kejatuhan.
Doakanlah pasangan. Bahagiakanlah hatinya. Belilah jiwanya. Dengan sebuah kesetiaan.

Kerana kita takkan pernah boleh bayar. Harga sebuah pengorbanan.
.
.
sekadar gambar hiasan

Semua Salah Isteri

Pagi hari lagi emosi dah tak setuju dengan suasana di satu page besar.
Tentang semuanya menjadi salah isteri bila tak dapat anak, dapat anak sorang je, beranak ramai, beranak lewat, beranak czer, beranak normal, dan apa sahajalah berkaitan dengan mengandung dan kelahiran, semuanya diletakkan salah atas ibu.
Jangan begitu wahai sahabat. Yang pertama, anak ini rezeki yang menjadi amanah ibubapanya, bukan orang yang mengatanya.
Yang kedua pula, kita tak tahu apa cerita sebenar yang berlaku dalam rumahtangga mereka.
Mungkin sahaja mereka terpaksa.
Usah begitu mudah membuat persepsi. Jangan kerana mulut kita, yang mudah memberi tanggapan macam macam sehingga mereka rasa tak tenteram.
Saya teringat satu cerita. Sebuah pengakuan oleh seorang ibu beranak rapat, dan ramai.
Kisah ini sudah berlaku berpuluh tahun dulu. Beliau seorang isteri, yang terlalu sabar dengan hidupnya.
Seorang suri rumah tangga yang tak bekerja, mengasuh anak di rumah sepanjang masa.
Kehidupannya yang susah, ditambah pula dengan perangai suami yang tak pernah ambil peduli.
Segala hal menjaga anak, memasak, mengemas, dan apa sahaja semuanya isteri bereskan. Yang suami tahu, balik kerja semua benda mesti setel.
Anak bising tak boleh, makanan siap lambat tak boleh, rumah sepah tak boleh.
Kehidupan susah. Kewangan sempit. Lebih terhimpit bila keluarga isteri asyik menyuruh si isteri sabar dan sekadar sabar.
Orang sekeliling sekadar memandang jelik kerana beranak ramai, hidup miskin, takde perancangan dan bermacam lagi tohmahan.
Yang akhirnya beliau tiada tempat mengadu nasib. Semuanya perlu diselesaikan sendiri.
Kesempitan yang memaksa si ibu mencuri demi membeli susu dan beras untuk anak.
Suami pula jenis memaksa isteri menurut apa sahaja kehendaknya.
Tekanan ini telah menyebabkan si ibu nekad meminum cuka nenas di awal kandungan pada kandungan anak kelima, anak keenam, anak ketujuh dan anak kelapan.
Beliau tergamak untuk cuba gugurkan kandungan kerana beliau tak mahu anaknya merasa susah sama sepertinya.
Kuasa Allah, kesemuanya anaknya selamat dan sudahpun menjadi orang berjaya.
Hari ini, kehidupannya bertambah baik. Anak-anaknya yang dulunya cuba disingkirkan dalam hidup. Rupanya Allah selamatkan untuk menjaga ibunya.
Untuk melindungi ibunya. Untuk keluarkan ibu dari kesusahan.
*
*
Kadang kadang, kita tak faham, kenapa ada orang tergamak melakukan perbuatan tak masuk akal.
Dan memang kita tak faham, sebab kita tidak berada dalam kasutnya.
Kadang kadang, kita anggap dunia ni tak adil. Kita rasa kita saja yang susah.
Tapi sebenarnya Allah sedang bantu kita. Untuk keluarkan kita dari susah.
Begitulah. Hidup ini bukan mudah nak ditafsirkan. Buat para isteri di luar sana, berjuanglah. Didiklah diri dengan ilmu. Jangan sampai diri dibiar jahil sampai tak tahu yang mana hak dan mana batil.
Rumahtangga bahagia apabila masing masing memahami dan melengkapi. Bukan susah sendiri sendiri. Makan hati setiap hari. Jangan sampai dizalimi dan menzalimi.
Bukalah mata. Semoga Allah lindungi kita semua dari kejahilan nyata.

Saya terlupa bawa susu anak..


Jam menunjukkan pukul 12 malam. Datang patient baru masuk ke dalam kubikel kami. Kubikel ini dikongsi 4 orang patient dalam satu masa.

Patient ini kurang lebih 2 tahun umurnya. Ditemani nenek sementara datang ayahnya berganti tugas.

Sepanjang malam tidur saya terganggu dengan rengekan si kecil ini. Ayahnya tetap sabar memujuk. Hingga jam 4 tangisannya tak berhenti. Saya yakin ayahnya juga berjaga sepanjang malam.

Telinga ñipis saya kurang sabar dengar tangisan budak. Bingit. Saya bangun cuba menghulurkan bantuan, 'Kenapa ni encik? Anak menangis sepanjang malam.'

'Anak saya tak boleh tidur. Tak selesa mungkin,' Ayahnya cuba memberi respon.

Saya lihat botol susu disebelah anak ini. Terisi air masak. Tidak berusik.
.'Anak lapar susu ni. Kenapa tak berikan susu?' saya cuba bertanya.

'Sebenarnya saya tergopoh gapah keluar rumah tadi, sampai terlupa bawa susu anak. Dah tengah malam. Mana ada kedai buka. Anak pula tak boleh nak tinggal.' jujur jawab si ayah.

Saya menawarkan diri untuk bancuhkan susu si anak. Kebetulan anak saya, Humaira minum susu biasa. Sesuai untuk semua umur.

Kurang 5 minit, habis sebotol susu. Si anak tertidur di pangkuan ayah.

Anak ini kelaparan sepanjang malam. Si ayah hilang punca. Bingung nak diamkan si anak.

Rupanya si ibu juga berada di wad tingkat bawah. Terlantar di katil hospital mendapatkan rawatan. Baru bersalin beberapa hari.

Menjaga diri sendiri. Tiada yang menemani. Kerana si ayah perlu menjaga anak yang juga sakit. 

Orang tua di kampung pula terpaksa turun untuk menjaga bayi kecil di rumah. Belum pun usia sebulan.

Besar ujian buat keluarga ini. Jelas terpancar kesabaran tiada bandingan. Sempat saya terdengar luahan sang atuk, 'Ini rezeki kita. Ini ujian kita.'

Saya tahu dia cuba memujuk. Belum tentu hati terpujuk.

Kasih sayang Tuhan datang dalam banyak cara. Sembuhkanlah keluarga ini. Kurniakanlah kekuatan buat mereka.

Betullah bagai dikata. Hospital adalah tempat muhasabah sebenar. Banyak cerita air mata.

Pandanglah dengan jiwa manusia. Betapa beruntungnya kita. Dengan nikmat yang banyak tak terkira.

*