Showing posts with label PARENTING. Show all posts
Showing posts with label PARENTING. Show all posts

Percaya Pada Anak

Hari pertama persekolahan. Fenomena biasa bila kita lihat anak-anak tadika dan tahun satu yang kelihatan takut-takut ke sekolah. Ada juga yang menangis dan berguling. Ada ramai juga yang teruja dan bahagia lari sini sana.
Dan ramai juga ibubapa yang meninjau-nijau kawasan. Memerhati dari kejauhan. Risau dan bimbang kalau anak tak boleh sesuaikan diri dengan suasana baharu.
Saya teringat pada suatu kenangan. Ibubapa teman anak murid Tahun 1. Sejak awal datang ke sekolah, hingga waktu pulang. Pasti ada ahli keluarganya yang menunggu.
Murid tersebut tempat duduknya di bahagian belakang kelas, berdekatan dengan pintu. Di balik daun pintu kayu itu, akan duduk salah seorang ahli keluarganya. Sama ada ibu, nenek, atau pembantu rumahnya. Mereka akan duduk di kerusi. Seperti cctv. Setia menemani si murid hingga kelas habis sesi.
Keadaan itu berterusan hingga habis sesi persekolahan selama 40 minggu. Selama itu juga, murid tersebut masih kelihatan takut-takut. Tak boleh urus diri sendiri. Murid tersebut bukan memerlukan special needs, cuma konfidennya kurang. Akan menangis tercari-cari. Jika tiada ahli keluarga menemani.
.
.
This is separation anxiety. Rasa takut dengan suasana baru. Itu biasa. Rasa tak percaya diri dengan perkara baru. Juga biasa. Rasa kekok dengan orang baru. Pun biasa.
Ini adalah proses. Untuk kita berlatih mengenal keupayaan diri. Siapa pun kita, being a first timer, for sure kita rasa awkward. Sebab apa? Sebab tak biasa.
Oleh sebab itu, kita sebagai ibubapa. Readykan anak anak. Sebelum sampai sekolah, jelaskan pada anak, bahawa dia akan berada di sekolah. Bersama kawan, bersama guru.
Maklumkan pada anak, bahawa ibubapa akan pulang. Nanti habis sekolah, akan datang lagi, tunggu di sekian-sekian tempat.
Percaya bahawa anak-anak bijak tak terperi. Yakin bahawa anak-anak boleh sesuaikan diri.
Beri mereka ruang untuk biasakan diri. Bagi mereka peluang untuk berdikari.
Jangan takut. Percayalah, kita sudah serahkan anak pada tangan yang betul. Kita sudahpun tinggalkan anak pada tempat yang betul.
Good things take times. Just enjoy the journey. Soon, they will learn. That parents will not be there everytime to help them. But parents already built a basic to prepare them.
We teach them how to fight. They themselves will fight. Let them show their strength.
Just believe, they surely will achieve.
.
*sekadar gambar hiasan


Cara Kendalikan Emosi Ibu yang Miliki Anak Kecil


Membesarkan anak-anak yang masih kecil, yang pelbagai ragamnya.

Pada masa yang sama kita nak uruskan hal rumah tangga, mengemas, memasak, membasuh, mengemop, menyimpan, memasak lagi, mengemop lagi, pun menyapu lagi.

Nak pula urusan perihal bisnes kecil kecilan, nak follow up customers, nak deal, nak buat bayaran, nak key in data, nak buat ads, nak restock, juga nak buat kerja hakiki makan gaji, update filings, check semua yang mesti dikemaskini. .

Anak kecil lagi. Ada yang mudah menangis, kejap kejap nak mengamuk. Ada yang sukar beralah, kejap kejap ada yang menjerit. Ada yang asyik melekat. Ke mana pergi, mesti nak berdukung.

Kita dah kemas ruang depan, baru nak ambil mop, dah bertabur semula lego di ruang lantai. Baju semua dah siap berlipat, alih-alih dah ditarik ke bawah. Elok nak tidur tengah malam, tiba-tiba ada anak cakap, ' Mama, kakak lapar. Nak makan nasi,'  Dah kena bangun lagi. Entah-entah pukul 1 pagi belum boleh tidur lagi.

Begitulah kejadian bila dikelilingi anak-anak kecil yang baru kenal dunia. Semua benda takkan habis.

Esok bangun repeat rutin sama lagi.

Tapi kita sebagai mak. Nak sangat spend time dengan anak-anak. Nak bagi ada sentuhan ibu. Nak prepare almost everything untuk anak. Yang sebolehnya biarlah anak-anak membesar di depan mata kita.

Pendek kata semuanya kita nak buat. Pasti. Pasti perjalanannya amat melelahkan.

Yang sampai suatu saat, kita terduduk sendiri. Memikirkan banyak benda tak setel lagi. Ada yang menangis menyalahkan diri. Terasa gagal menjadi ibu mithali. Selepas semuanya kita bagi. Kita rasa tak bergunanya diri.

Para ibu yang dihormati,
Anggaplah pengalaman ini suatu perjalanan. Yang kita mesti lalui. Dalam membesarkan insan. Yang akan membesar membentuk peribadi yang penuh kebanggaan.

Nanti, bila anak-anak dah besar. Dah boleh urus diri sendiri. Dah ada hidup sendiri. Percayalah, ibu pasti akan rindu saat ini. Saat di mana kita adalah everything. Kitalah hero yang sentiasa ada untuk menyelamatkan.

Pernah saya bertanya pada emak, 'Macam mana mak buat? Dulu kitorang anak anak mak berderet semua kecil lagi. Umur lebih kurang sebaya. Macam mana mak handle semuanya?'

Kami lapan beradik semuanya.

Dan mak hanya menjawab, 'Buat sekadar mampu je. Yang lain Allah akan tolong.'

Pesan mak, jaga diri sendiri. Sebab anak-anak perlukan seorang ibu yang stabil emosi. Bila rasa letih, rehatlah. Jangan paksa diri. Ada ruang, bangunlah dan siapkan kerja semua.

Bila kita terlalu penat, kita mudah nak marahkan anak. Diorang kecil lagi. Belum faham apa yang betul, apa yang salah. Kita, jaga diri.

Bila kita tenang, semua akan senang. Pedulikan cakap orang. Mereka tak tahu apa yang kita sedang berperang.

Sebab anak-anak perlukan seorang ibu yang tenang. Anak-anak perlukan seorang ibu penyayang. Bila seisi rumah riang, bahagia pun datang.

Berbahagialah kerana anak-anak sihat walafiat. Bila mereka melompat, maknanya mereka sihat.

Bersyukurlah. Kerana ramai ibu di luar sana yang berendam air mata. Bila melihat anak terlantar sahaja.

Betapa ramai manusia lain, yang sabar menunggu bertahun lamanya, untuk menimang cahaya mata.

Ingat, bukan semua orang Allah pilih jadi mak. Because we are the chosen one.
.

ISTERI URUSKAN RUMAHTANGGA ?

Ramainya para isteri yang menguruskan rumahtangga, menjaga makan pakai suami dan anak.

Ramai juga para suami yang melakukan tugas dapur meringankan tugas isteri.

Dan ada juga yang buat tidak kisah dan hanya membiarkan pasangan menguruskan sendiri hal rumah, keluar mencari nafkah.

Kerana beranggapan, 'Buat apa nak buat, kalau sendiri rasa tak ikhlas.'

Dalam apa keadaan sekalipun, inilah yang dinamakan tanggungjawab. Pemberatannya sama berat dengan hukum menunaikan solat dan kewajipan berpuasa.

Apabila dikatakan wajib, maka perlu dilaksanakan walau berat sekalipun. Seperti solat, kita diberi rukhsah (keringanan) untuk menunaikan solat, bukan bermaksud kita boleh meninggalkan solat. Tetap wajib buat.

Seperti puasa, ketika kita ada keuzuran untuk melaksanakan, kita wajib ganti, jika masih tidak mampu, perlu dibayar fidyah mengikut kadar tertentu. Kerana hukumnya wajib.

Begitu juga pemberatannya pada tanggungjawab. Ikhlas atau terpaksa, tetap wajib buat.

Ada ketika masing-masing rasa penat dan letih kerana menguruskan hal di luar rumah. Tapi itu bukanlah lesen untuk mengabaikan tanggungjawab di rumah.

Kerana itu pentingnya memiliki pasangan yang memahami. Menerima baik buruk pasangan seadanya. Menampung kebocoran masing-masing.

Dan bukan berjuang mendapatkan hak. Tetapi lebih kepada memikirkan apa sumbangan dan khidmat yang boleh diberi. 

Kerana hubungan rumahtangga perlu dirai. Saling menghormati dan saling memberi. Kerana dialah yang kita pilih. Dari kelompok ramainya manusia. Menjadi teman sehidup semati. Untuk sama berjalan,  bergandingan menuju ke syurga idaman.

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka,"
(Surah At-Tahrim: 6)

.

.

TRAGEDI GELONGSOR

3 hari lepas saya bawa Hana Humaira ke HKL untuk check up kesihatan dan sekaligus mendapatkan tarikh untuk pembedahan.

Seperti biasa suasana sesak dengan orang yang ramai untuk mendapatkan rawatan susulan. Selepas mengambil nombor giliran, saya bawa Humaira ke playhouse yang terletak di tengah-tengah ruang menunggu.

Saya ikut ke mana sahaja Humaira pergi. Sedang saya mengawasi Humaira, saya perasan ada seorang lelaki sedang ralit menghadap telefon pintarnya, berdiri sambil bersandar ke dinding, kepalanya tunduk merenung telefon, sambil jemarinya berlari-lari di atas skrin.

Selang beberapa minit, datang seorang kanak-kanak lelaki, duduk di tengah-tengah papan gelongsor. Berderet kanak-kanak lain beratur di belakangnya, termasuk Humaira yang menunggu giliran untuk turun.

Saya cuba menegur, 'Adik, tolong beralih sedikit, kawan-kawan nak turun gelongsor ni,'

Sedikit pun tidak diendahkan. Saya mencuba lagi,

'Adik, kalau nak baring, bukan di sini. Cuba tengok belakang, ramai kawan-kawan nak main juga.'

Tiba-tiba adik tersebut menjerit meraung-raung. Semua orang berpaling melihat dirinya.

Akibat jeritan itu, pemuda yang sedang bermain telefon tadi datang berlari mendekati sambil menjerit, 'OKU, OKU, OKU,..' Pemuda tadi bawa kanak-kanak tadi beralih pergi.

Selepas itu semua kanak-kanak menyambung permainan mereka. Keadaan ok sehinggalah datang seorang kanak-kanak, dalam lingkungan 3 tahun, merempuh dan duduk di atas kepala Humaira. 

Sepantas kilat saya menepis, angkat Humaira yang dah berdarah bibirnya. Ini tak boleh jadi.

'Mak ayah awak mana? Panggil mak ayah sekarang,'

Saya cuba untuk mendapatkan ibubapanya. Dia hanya berlari mengelilingi kawasan. Saya mengekori sambil bertanya di mana ibu bapanya.  Tiada seorang pun orang dewasa di situ yang mengaku.

Akhirnya, dia berlari mendapatkan seorang wanita yang sedang menunggu nombor giliran. Kedudukannya dengan playhouse tempat anaknya bermain agak jauh dan terpisah. Pastinya mustahil untuk mengawasi anaknya bermain dari tempat beliau duduk.

Saya cuba berdiplomasi,

'Maaf puan, ini anak puan ya? Anak puan dah tolak dan duduk atas kepala anak saya  sampai berdarah bibir. Sekarang kita nak setel macam mana?'

Saya tunjuk padanya bibir Humaira yang dipenuhi darah.

'Maaflah, anak saya ni memang agresif. Dia ada masalah pendengaran. Dia anak istimewa.'

.
.
.

Anak istimewa. OKU. Anak syurga. Apa sahaja gelaran anak ini, mereka berhak mendapat perhatian daripada ibubapa. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka boleh bertindak agresif dan mencederakan.

Bayangkanlah, sekiranya terjadi perkara yang lebih buruk, siapa yang harus dipertanggungjawabkan? Takkanlah hanya semata-mata mereka anak istimewa, maka boleh berbuat ikut suka.

Bila anak melakukan kesalahan, kita buat pejam mata, paksa diri untuk terima, hanya semata demi menutup kecuaian kita yang buat kerja sambil lewa.

Memang betul kita sebagai ibubapa mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lain, tapi memastikan keselamatannya terjamin juga adalah tanggungjawab kita.

Memiliki anak syurga memang menguji sabar. Tantrumnya tiba-tiba. Boleh jadi penyedih, sekelip mata bertukar menjadi pemarah, sesaat pula boleh ketawa mengekek.

Para ibu, para bapa,

Tatanglah anak ini dengan penuh kasih sayang. Lindungilah dia sedaya upaya. Belailah dengan cinta. Tunjukkanlah yang mana benar, yang mana salah.

Agar mereka dapat membesar menjadi dewasa. Yang mampu mengurus emosi. Yang boleh mengawal diri.

Kerana tak selamanya kita mampu mengawasi. Sampai masa kita juga akan pergi. Pulang menghadap Rabbul Izzati.

Sekadar pandangan peribadi,
Nurjuwaini Aziz

#hanahumaira
#anaksyurga

---
21 Okt 2017

Rumahtangga yang dibina bukan untuk sehari dua

Tengah hari tadi berpeluang menonton satu rancangan wawancara santai yang dimonopoli oleh golongan wanita, yang bersiaran di salah sebuah stesen tv swasta.

Perhatian saya tertarik pada satu slot perkongsian yang bertajuk 'Isteri Bergetah, Suami Tergugat.' 

Hmm dengar tajuknya sahaja dah hilang selera nak habiskan tontonan. Mesej yang nak disampaikan jelas sekali menunjukkan bahawa kaum isteri wajib berhias diri supaya suami tak cari lain.

Memang pada fitrah, para isteri harus berhias bercantik-cantik, tapi kalau dah sampai suami rasa tergugat, maksudnya tentulah berhias sehingga menjadi tontonan umum. Para suami takkan tergugat sekiranya berhias hanya untuk dirinya.

Lambakan iklan dan siaran sebegini yang hakikatnya menyumbang pada perasaan meragui pasangan sendiri. Hilangnya setia isteri, goyahnya percaya suami.

Amat rugi bagi para isteri sekiranya berhias tidak diniatkan untuk suami sendiri. Lebih rugi jika suami rasa tak senang hati.

Para isteri perlu menjadi qurratul ain bagi suami, iaitu penyejuk mata suami. Qurratul ain tidak semata mata berhias diri, namun lebih kepada sikap dan perwatakan yang disenangi suami.

Ada suami yang suka hidangan air minumnya beralas piring. Ada suami yang suka bajunya bergantung dan bergosok. Ada suami yang suka tegurannya dibalas diam.

Apa sahaja perkara yang isteri lakukan, dan menyenangi hati suami, itulah yang dipanggil qurratul ain. Beruntunglah para isteri yang menjadi qurratul ain pada suami. Alangkah bahagianya suami kerana memiliki quraatul ain dalam rumah sendiri.

Allah telah berfirman;

Dan orang-orang yang berkata: 'Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan yang menjadi qurratul ain (penyenang hati), dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang bertakwa,' (Al Furqan: 74)

Semoga para isteri dapat menjadi qurratul ain bagi suami sendiri. Menjadi sahabat, berkongsi inspirasi, menjadi penyokong, bersandar tempat  berpayung, menjadi teman, bersama membina impian.

Kerana rumahtangga yang dibina bukan untuk sehari dua, tapi merupakan sebuah perjalanan sebelum sama-sama pulang bertemu Tuhan.

MUHASABAH DARI HOSPITAL

Seperti biasa, setiap kali admission anak ke dalam wad, pasti ada kisah yang buat saya muhasabah.

Admission kali ni saya dapat bilik untuk 2 orang. Jiran katil sebelah adalah seorang ibu dan bayi berusia 55hari.

Disebabkan jarak antara katil kami agak rapat, jadi saya dapat mendengar dengan jelas perbincangan ibu ini dengan doktor.

'Pembedahan ini 50:50. Kalau berjaya, memang hilang terus sakit ni. Tapi kalau gagal, anak awak mungkin menghidap sakit ni sampai bila-bila.'

Bila doktor keluar untuk melawat pesakit lain, saya bangun menuju ke sinki yang kebetulan bersebelahan dengan katil jiran.

'Saya sedih sangat, kenapa anak saya jadi macam ni,'

Saya berpaling. Pandang keliling. Hanya saya dan dia. Sah. Dia cuba bercakap dengan saya.

Perlahan saya cuba merapati. Duduk di birai katilnya. Air matanya mengalir laju. Sampai saya terpaksa hulurkan tisu.

Saya sekadar memandang. Tidak menyampuk walau sepatah. Memberi ruang padanya untuk meluahkan isi hati.

Si ibu menyambung perbualan,
'Ini anak pertama saya. Lima tahun saya tunggu anak ni. Tapi lepas lahir, dia sakit begini pula.'

Luahnya dengan pelat Sabah yang agak pekat.

Saya amati tubuh si anak. Tubuh comel itu kekuningan. Matanya juga kuning. Biliary Atresia. Satu penyakit pada fungsi hati.

Saya hilang kata. Cuba berada ditempatnya. Cuba berkongsi semangat dengannya. 

Saya genggam tangannya.

'Sebenarnyakan, walau doktor sendiri tak bagi jaminan, walau anak kita kritikal, sebagai ibu, kita ada satu kelebihan yang Allah bagi. Masa ni lah kita perlu gunakan kelebihan kita.'

Si ibu angkat mukanya. Cuba memahami maksud saya.

'Doakanlah anak kita. Allah kan dah janji,  doa yang dijanjikan mustajab ialah doa seorang ibu untuk anaknya. Selagi anak kita bernyawa, selagi itu peluang masih ada,'

Saya cuba meletakkan diri saya ditempatnya. Saya sebutkan 'anak kita',
menunjukkan kami di situasi yang sama.

Entah kenapa. Waktu itu air mata kami turun bersama-sama.

.
.
Saya teringat sebuah pesan, bila kita diuji, sebenarnya masa tu melihatkan hubungan kita dengan Tuhan.

Sama ada kita sekadar menerima takdir dan bersangka buruk dengan Tuhan, atau kita berusaha mendapat takdir yang lebih baik, dan perbaiki hubungan dengan Tuhan.

Hebatnya doa seorang ibu, dijanjikan perkenan Tuhan. Mustajabnya doa ibu, diaminkan semua malaikat.

Disaat terangkatnya doa ibu ke dada langit, sungguh tiada hijab diantara dia dan PenciptaNya.

.
.
Tuhan, Engkaulah yang mengizinkan sakit. Engkau jualah yang kurniakan kesembuhan. Ditangan Engkau segala kekuasaan. Perkenankanlah doa ibu ini untuk anaknya dengan sebaik baik kesembuhan.
.

Kedunguan apakah yang sedang berlaku ni?

'Saya nak ajar anak saya berkawan. Nak bagi putus susu. Sebab tahun depan nak hantar dia pergi sekolah,'

'Eh ada ke sekolah untuk anak umur 2 tahun?'

'Ada. Saya nak anak saya pandai dan bijak.'

'Anak puan asyik menangis je. Lapar susu ni.'

'Takpe. Bagi minum air masak je. Bagi pakai cawan.'

Dan menangislah si anak yang usianya baru menginjak setahun itu. Tangisnya hingga tertidur kelaparan.

Anak yang belum pandai berjalan dipaksa berhenti susu.

Anak yang baru menyambut kelahiran setahun hanya disuap air masak.

Anak yang baru setahun itu akan bersekolah tahun depan.

Anak yang tak bersalah itu dipaksa menjadi pandai demi memuaskan hati ibubapa yang mementingkan kecemerlangan.

Kedunguan apakah yang sedang berlaku ni?

Bencana apa yang nak jadi lepas ni?

Ini kisah benar yang disampaikan kepada saya. Saya perhatikan anak itu. Suci mulus. Bila mengenangkan betapa caknanya ibubapanya terhadap kecemerlangan, terus jatuh kasihan.

Kasihan si anak. Punya ibubapa terpelajar. Kerja hebat. Gaji ribu riban. Tapi langsung tak nampak dimana cerdiknya apabila tergamak berbuat begitu pada si anak.

Para ibu bapa yang dikasihi,

Anak-anak adalah amanah. Amanah itu akan dipertanggungjawabkan. Amanah itu akan dipersoalkan.

Bukanlah tanggungjawab itu hanya terletak pada pelajaran. Memberi makanan yang baik juga adalah tanggungjawab.

"Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar." (Surah Al-Anfal:28)

Anak sekecil itu perlu disusui sehingga 2 tahun. Sungguhpun tak mahu diberi susu badan, paling tidak berilah si anak susu formula. Bukan air masak semata-mata.

'Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.' (Surah al-Baqarah: 233)

Anak sekecil itu fitrahnya bermain. Bukannya disekolahkan. Nak menjadikan anak bijak bukan dengan menghalang dunia kanak-kanaknya.

Bertenanglah. Akan sampai saat dan ketika, anak itu akan belajar sendiri. Akan faham sendiri.

Nak jadi pandai itu perlukan progress.
Nak jadi bijak itu perlukan makanan yang sihat. Nak jadi berjaya itu perlukan masa.

CARA MENANGANI ANAK NAKAL DAN TANTRUM

Bila dah jadi mak ni, haruslah kita pun dilanda sindrom mak-mak. Ada ketika kena uruskan anak-anak, suami, kejap-kejap nak kena masak, sidai baju, kemas rumah, masak nasi, pegi kerja, dan banyak lagi yang pastinya buat kita keletihan.

Dan bila anak tiba-tiba nakal, buat sepah atau tiba-tiba nanģis tanpa sebab, selalunya boleh buat kita hilang sabariah. Dah rajin kita kemas, berpaling sesaat dah gempa bumi. Tengah duk urus si adik, kakak pulak menangis minta dukung.

Masa tu kan, selalu saya terfikir, macam mana nak buat ni? Takkan nak marah? Takkan nak tampor? Pukul? Atau jerit sama kuat dengan anak? Kalau masa tu rasa nak marah, cepat-cepat saya akan terfikir, 'kalau aku marah atau pukul anak ni, pastu terjadi apa-apa kat dia, mesti aku akan menyesal seumur hidup,' Jadi kemarahan bukan jalan penyelesaian. Cool beb cool.

Orang kata anak-anak akan membesar mengikut acuan ibubapa. Jadi saya pun buat beberapa bacaan ilmu parenting dan mengambil serba sedikit ilmu yang diajarkan oleh mereka yang bergelar ibu.

So apa nak buat kalau anak-anak buat perangai atau tantrum?

1) Alihkan perhatian anak

Bila anak menangis atau buat sepah, cuba alihkan dengan ajak anak pergi minum kat dapur. Atau kalau time tu kat dalam pasaraya, kita boleh dukung dan bawa anak keluar dari pasaraya. Tak pun cuba tunjuk langit. Sifat orang bersedih suka tunduk bawah. Jadi bila kita ajak anak tengok langit, secara tak langsung dia akan mendongak. Jadi sedih pun hilang.Yang penting mesti alihkan kedudukan anak. Sebab suasana yang sama akan mengekalkan mood yang sama. So faham kan?

2)Bagi anak makan

Saya pernah tengok ibubapa yang mampu kawal tantrum anaknya hanya dengan makanan, bukan dengan kemarahan  apatah lagi pukulan. Wow. Bila anak bergaduh contohnya, berebut remote tv. Cuba hulurkan makanan pada anak.  'Siapa nak makan dengan mama angkat tangan?' Mesti semua pakat angkat tangan nak makan. Sambil-sambil tu bolehlah emaknya pun tumpang makan sekali. Bila dah makan, masing-masing dah kenyang, mesti dah tak ingat bab gaduh tadi.

3) Ajak anak buat sama-sama

Bila kita nak kemas rumah, ajak anak buat sama-sama dengan kita. 'Kakak dah buat sepah ni, jom kemas sama-sama dengan mama. Siapa cepat dia menang,' Cubalah. Mesti anak nak tolong sama. Sambil-sambil tu kita boleh ajar anak simpan permainan dalam kotak bila dah habis main. Ajar anak kutip semula barang yang bersepah. Secara tak langsung mereka belajar lepas main mesti simpan, buat sepah mesti kemas balik.

4) Pujuk anak yang menangis

Jangan biarkan menangis terlalu lama. Nanti terbiasa buat apa saja asalkan ibubapa menurut kehendak. Cepat-cepat pujuk. Ambil dan dukung. Peluk anak. Bawa dia ke tempat lain. Hulurkan makanan atau permainan. Ini bukan memanjakan, tapi didikan bahawa menangis bukan lesen untuk dapat apa sahaja.

5) Mandikan anak

Bila semua step kat atas tak jalan, mandikan je. Tukarkan baju, bedak muka, sikat rambut. Bila badan selesa, mood pun stabil. Yang ni memang menjadi. Ada orang pernah pesan pada saya, 'Kalau anak menangis dan kita tak tahu nak buat apa, mandikan je anak tu. Mungkin dia panas, badan berpeluh dan gatal, sebab tu dia nangis,' Hmm logik.

Sebagai ibubapa, kita tak boleh surrender apatah lagi give up dengan anak sendiri. Lagipun anak-anak tak selamanya kecil. Mereka akan membesar dengan cepatnya. Enjoy dan nikmati saat anak-anak nak melekat dengan kita. Yang penting jangan meroyan, chill lah.

Semoga bermanfaat .

CARA MEMBANTU MENGHADAPI ANAK LAMBAT BERCAKAP

Umur Humaira hampir menginjak 3 tahun, tapi masih belum boleh menyebut apa-apa perkataan. Mula-mula rilek lagi. Rasa takde apa-apa. Dan pada 3 bulan lepas tergerak hati bawa anak buat pemeriksaan doktor. Dan bila doktor dah tunjuk carta perkembangan kanak-kanak, barulah saya menerima hakikat bahawa Humaira perlu pertolongan.

Memang setiap perkembangan anak berbeza. Sebab tu kita sebagai ibu bapa perlu cakna soal perkembangan anak-anak.

Tengok keliling. Kanak-kanak seusia anak kita. Apa kebolehan asas yang mereka sepatutmya dah kuasai? Dan adakah anak kita juga sudah kuasai?

Situasi normal apa bila ada yang beranggapan, 'Alah, biasalah tu.. nanti esok-esok pandailah dia,' Tapi kan, lagi best kalau kita dapat bantu memendekkan tempoh anak-anak menguasai kemahiran bercakap.

Rasa bertambah kasihan bila anak hanya pandai menangis bila nakkan sesuatu. Jadi,  sambil-sambil cuti jaga anak, maka saya pun buat bacaan serba sedikit untuk membantu di rumah.

1) Pastikan kita rendahkan badan menggunakan eye level bila bercakap dengan anak.

Bila posisi kita sama tinggi dengan anak, matanya akan tertumpu pada kita. Dia akan lebih fokus. Elakkan berdiri ketika bercakap dengan anak. Sebab dia akan rasa terancam bila paras kedudukan kita lebih tinggi. 

2) Tunjukkan contoh bila berinteraksi

Guna 2 contoh yang dekat. Sebagai contoh, 'ini papa,' sambil tunjuk pada gambar bapa. Kemudian tunjuk contoh kedua, 'ini mama,' ulang beberapa kali. Bila nampak anak semakin faham, minta anak respon sendiri, 'kakak, mana satu mama?' Tunggu respon daripada anak. Ulang 2 3 kali soalan yang sama sebelum berpindah ke soalan lain.

3) Ajak buat latihan fizikal

Ini penting untuk melatih  kemahiran psikomotor. Petang hari, boleh bawa anak ke taman permainan, ajak anak memanjat dan bergayut pada 'monkey bar'. Boleh juga ajak anak melompat-lompat di atas trampolin, bukan melompat di atas katil mahupun kusyen rumah. Sebab anak perlu melompat pada permukaan keras, bukan lembut. Sambil-sambil tu boleh nyanyi dengan anak, ' five little monkeys jumping on the bed, one fell down and broke his hand, mother call the doctor and the doctor said, no more jumping on the bed, 😂

4) Gunakan suara dan bunyi

Tunjukkan model kereta permainan misalannya, 'ini kereta, kereta bergerak, vrooomm... vrooommm' . Penggunaan bunyi membantu mereka ingat dan mudah faham.

Apa pun keadaan, jangan berputus asa dengan anak. Sentiasa bantu dan sokong anak buat sesuatu. Perlukan kesabaran.Mudah-mudahan dengan kesungguhan kita dan kesabaran kita dalam membantu anak-anak, Allah mudahkan jalan kita.

Hubungan emak dengan anak adalah satu

Sejak dari dulu lagi, kalau saya nak buat apa-apa keputusan, mesti saya beritahu mak dulu. Saya akan share dengan mak. Sebab mak adalah satu-satunya manusia yang sentiasa sokong di setiap jatuh dan bangun anak-anaknya.

Walau kadang-kadang mustahil sangat angan-angan mat jenin anak dia, tapi mak tetap cakap, "Buatlah, kalau awak rasa itu yang terbaik". Begitu tinggi keyakinan tahap dewa mak pada anak dia.

Saya ingat lagi waktu anak saya masuk hospital, masa doktor semua bertungkus lumus selamatkan Humaira, orang pertama yang saya call ialah mak. Walau waktu tu saya tahu yang mak tinggal jauh, bukannya boleh datang tolong. Menggigil-gigil suara saya bagitahu mak yang anak ada di kecemasan. Masa tu memang mengharapkan supaya hati jadi tenteram bila dengar suara mak.

Rupa-rupanya malam tu juga mak dan ayah ke Shah Alam dari Pendang. Bila mak sampai je esok pagi, terus rasa kuat semula. Rasa terangkat beban. Masa tu Humaira dah pun berada di icu. Saya dah tak tentu arah. Semua benda buat tak kena.

Betapa tenangnya mak masa tu, mak pegang tangan saya, mak cakap,

"Kalau awak nak menangis, menangislah. Menangis puas-puas. Lepas ni mak taknak tengok awak menangis lagi. Awak kena kuat. Tak boleh rebah. Apa akan jadi pada keluarga awak kalau awak lemah macam ni? Awak ada anak dalam icu. Kalau Humaira tahu yang mama dia lemah, mesti dia sedih."

Masa tu lah saya sedar betapa rapatnya hubungan ibu dengan anaknya. Kalau ibu lemah, anak akan lemah. Kalau ibu kuat, anak akan kuat. Sebab hubungan emak dengan anak adalah satu.

Perlahan-lahan kumpul kekuatan berdiri semula. Semata-mata mahu melihat anak yang terlantar kembali sihat sempurna. Memang percaya keajaiban akan berlaku. Bagai mati hidup semula. Tiap hari saya akan bisik pada Humaira, "Humaira mesti sihat, Humaira mesti sembuh, sebab mama nak tengok anak mama membesar sihat depan mata mama,".

Terima kasih mak. Terima kasih sebab tak pernah give up dengan anak sendiri. Terima kasih sebab jadi super mak. Sentiasa hadir saat anak-anak memerlukan.

Semoga Allah panjangkan usia mak dan memberi kesihatan yang baik untuk mak. Selamat Hari Ibu❤

Why so serious?

Kita semua mesti pernah jumpa orang yang selalu serius kan? Muka yang jarang senyum, mudah memberi respon pada persekitaran, dan cepat melenting.

Orang macam ni selalunya tidak ramai kawan. Sebab orang tak berani tegur dia apatah lagi berlawak jenaka dengannya. So apa jadi pada lifenya? Rata-rata kita tengok mereka kurang berpengaruh, tak berapa senang, rentetan daripada sikapnya yang skema.

Cuba tengok orang yang hebat, yang kejayaannya wow sangat. Personaliti mereka menyenangkan. Lucu, selalu bergurau. Ambil contoh Dato Seri Vida. Sempoi sangat, apa pun masalah datang dia rilek je muah-muah kat semua orang. Dato Aliff Syukri pun suka bersenda. Setiap kali mukanya di media harus menghiburkan. Tapi adakah mereka tidak serius? Mana mungkin income juta-juta sehari kalau mereka tak serius?

Inilah yang membezakan orang hebat dengan yang bajet acah-acah je. Cara berdepan dengan masalah. Ada orang pernah pesan,

"kalau nak berjaya jangan bekeng,"
"benda simple jangan ambil pusing sangat,"

Sebab tu orang yang hebat selalu senyum. Banyak bergurau senda. Bukan bermakna mereka main-main, tapi mereka kawal emosi sendiri. Kawal keadaan. Cuba tanya sejarah silam masing-masing. Mesti kita tak sanggup dengar. Ujian mereka maha hebat. Ada yang sampai tersungkur berkali-kali.

Agak-agak apa jadi kalau mereka terus melenting marah-marah? Atau terus nangis bucu katil tak sudah-sudah?

Tapi mereka kawal emosi, sedut aura positif banyak-banyak, fikir waras. Maka dari situ sikit-sikit mereka mendaki dan terus berlari menuju puncak.

Macam tu juga kita. Kalau nak berjaya, nak jadi hebat, penuhilah hari-harimu dengan lawak jenaka. Kalau ada yang buat salah, maafkanlah. Kalau ada yang ajak berbalah, hulurkanlah salam kemaafan padanya. Tak rugi pun minta maaf. Takkan hilang maruah dengan huluran maaf. 

Hiduplah dengan hati yang tenang. Orang yang tenang selalunya menang.