Rumahtangga yang dibina bukan untuk sehari dua

Tengah hari tadi berpeluang menonton satu rancangan wawancara santai yang dimonopoli oleh golongan wanita, yang bersiaran di salah sebuah stesen tv swasta.

Perhatian saya tertarik pada satu slot perkongsian yang bertajuk 'Isteri Bergetah, Suami Tergugat.' 

Hmm dengar tajuknya sahaja dah hilang selera nak habiskan tontonan. Mesej yang nak disampaikan jelas sekali menunjukkan bahawa kaum isteri wajib berhias diri supaya suami tak cari lain.

Memang pada fitrah, para isteri harus berhias bercantik-cantik, tapi kalau dah sampai suami rasa tergugat, maksudnya tentulah berhias sehingga menjadi tontonan umum. Para suami takkan tergugat sekiranya berhias hanya untuk dirinya.

Lambakan iklan dan siaran sebegini yang hakikatnya menyumbang pada perasaan meragui pasangan sendiri. Hilangnya setia isteri, goyahnya percaya suami.

Amat rugi bagi para isteri sekiranya berhias tidak diniatkan untuk suami sendiri. Lebih rugi jika suami rasa tak senang hati.

Para isteri perlu menjadi qurratul ain bagi suami, iaitu penyejuk mata suami. Qurratul ain tidak semata mata berhias diri, namun lebih kepada sikap dan perwatakan yang disenangi suami.

Ada suami yang suka hidangan air minumnya beralas piring. Ada suami yang suka bajunya bergantung dan bergosok. Ada suami yang suka tegurannya dibalas diam.

Apa sahaja perkara yang isteri lakukan, dan menyenangi hati suami, itulah yang dipanggil qurratul ain. Beruntunglah para isteri yang menjadi qurratul ain pada suami. Alangkah bahagianya suami kerana memiliki quraatul ain dalam rumah sendiri.

Allah telah berfirman;

Dan orang-orang yang berkata: 'Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan yang menjadi qurratul ain (penyenang hati), dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang bertakwa,' (Al Furqan: 74)

Semoga para isteri dapat menjadi qurratul ain bagi suami sendiri. Menjadi sahabat, berkongsi inspirasi, menjadi penyokong, bersandar tempat  berpayung, menjadi teman, bersama membina impian.

Kerana rumahtangga yang dibina bukan untuk sehari dua, tapi merupakan sebuah perjalanan sebelum sama-sama pulang bertemu Tuhan.

No comments:

Post a Comment