TRAGEDI GELONGSOR

3 hari lepas saya bawa Hana Humaira ke HKL untuk check up kesihatan dan sekaligus mendapatkan tarikh untuk pembedahan.

Seperti biasa suasana sesak dengan orang yang ramai untuk mendapatkan rawatan susulan. Selepas mengambil nombor giliran, saya bawa Humaira ke playhouse yang terletak di tengah-tengah ruang menunggu.

Saya ikut ke mana sahaja Humaira pergi. Sedang saya mengawasi Humaira, saya perasan ada seorang lelaki sedang ralit menghadap telefon pintarnya, berdiri sambil bersandar ke dinding, kepalanya tunduk merenung telefon, sambil jemarinya berlari-lari di atas skrin.

Selang beberapa minit, datang seorang kanak-kanak lelaki, duduk di tengah-tengah papan gelongsor. Berderet kanak-kanak lain beratur di belakangnya, termasuk Humaira yang menunggu giliran untuk turun.

Saya cuba menegur, 'Adik, tolong beralih sedikit, kawan-kawan nak turun gelongsor ni,'

Sedikit pun tidak diendahkan. Saya mencuba lagi,

'Adik, kalau nak baring, bukan di sini. Cuba tengok belakang, ramai kawan-kawan nak main juga.'

Tiba-tiba adik tersebut menjerit meraung-raung. Semua orang berpaling melihat dirinya.

Akibat jeritan itu, pemuda yang sedang bermain telefon tadi datang berlari mendekati sambil menjerit, 'OKU, OKU, OKU,..' Pemuda tadi bawa kanak-kanak tadi beralih pergi.

Selepas itu semua kanak-kanak menyambung permainan mereka. Keadaan ok sehinggalah datang seorang kanak-kanak, dalam lingkungan 3 tahun, merempuh dan duduk di atas kepala Humaira. 

Sepantas kilat saya menepis, angkat Humaira yang dah berdarah bibirnya. Ini tak boleh jadi.

'Mak ayah awak mana? Panggil mak ayah sekarang,'

Saya cuba untuk mendapatkan ibubapanya. Dia hanya berlari mengelilingi kawasan. Saya mengekori sambil bertanya di mana ibu bapanya.  Tiada seorang pun orang dewasa di situ yang mengaku.

Akhirnya, dia berlari mendapatkan seorang wanita yang sedang menunggu nombor giliran. Kedudukannya dengan playhouse tempat anaknya bermain agak jauh dan terpisah. Pastinya mustahil untuk mengawasi anaknya bermain dari tempat beliau duduk.

Saya cuba berdiplomasi,

'Maaf puan, ini anak puan ya? Anak puan dah tolak dan duduk atas kepala anak saya  sampai berdarah bibir. Sekarang kita nak setel macam mana?'

Saya tunjuk padanya bibir Humaira yang dipenuhi darah.

'Maaflah, anak saya ni memang agresif. Dia ada masalah pendengaran. Dia anak istimewa.'

.
.
.

Anak istimewa. OKU. Anak syurga. Apa sahaja gelaran anak ini, mereka berhak mendapat perhatian daripada ibubapa. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka boleh bertindak agresif dan mencederakan.

Bayangkanlah, sekiranya terjadi perkara yang lebih buruk, siapa yang harus dipertanggungjawabkan? Takkanlah hanya semata-mata mereka anak istimewa, maka boleh berbuat ikut suka.

Bila anak melakukan kesalahan, kita buat pejam mata, paksa diri untuk terima, hanya semata demi menutup kecuaian kita yang buat kerja sambil lewa.

Memang betul kita sebagai ibubapa mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lain, tapi memastikan keselamatannya terjamin juga adalah tanggungjawab kita.

Memiliki anak syurga memang menguji sabar. Tantrumnya tiba-tiba. Boleh jadi penyedih, sekelip mata bertukar menjadi pemarah, sesaat pula boleh ketawa mengekek.

Para ibu, para bapa,

Tatanglah anak ini dengan penuh kasih sayang. Lindungilah dia sedaya upaya. Belailah dengan cinta. Tunjukkanlah yang mana benar, yang mana salah.

Agar mereka dapat membesar menjadi dewasa. Yang mampu mengurus emosi. Yang boleh mengawal diri.

Kerana tak selamanya kita mampu mengawasi. Sampai masa kita juga akan pergi. Pulang menghadap Rabbul Izzati.

Sekadar pandangan peribadi,
Nurjuwaini Aziz

#hanahumaira
#anaksyurga

---
21 Okt 2017

No comments:

Post a Comment