Happy birthday ayah

Hari ni hari jadi ayah saya. Happy birthday ayah. Semoga dipanjangkan usia dengan nikmat kesihatan yang baik tanpa sebarang penyakit. Dah lama teringin nak balik kampung. Jenguk ayah. Tapi asyik ada hal melintang. Ada catering, ada meeting, anak sakit. Harap nanti diberi peluang untuk pulang jenguk ayah di kampung.

Ayah kami seorang yang sangat kuat dan tegas. Kuat mencari rezeki demi membesarkan kami lapan beradik. Tegas dalam setiap keputusan yang dibuat. Kalau ayah dah kata A, confirm takde siapa berani kata B, apatah lagi C 😅.

Masih jelas di ingatan saya. Ayah dulunya sangat rajin membanting tulang menyara kami sekeluarga. Masakan tidak, kos kehidupan di Kuala Lumpur sangat mencekik. Ayah hanya bekerja sebagai seorang juruteknik. Keluar bekerja pagi balik petang. Sampai sahaja di rumah, ayah takkan duduk diam. Langsung ayah akan persiapkan diri untuk berniaga air di pasar malam.

Ayah mulakan perniagaan di pasar malam selepas kelahiran anak kembarnya. Bayangkan, pada 28 tahun lalu kami tak dapat minum susu ibu. Susu mak kering terus. Jadi kami hanya bergantung pada susu snow. Harganya boleh tahan juga. Dilahirkan sebagai bayi pramatang sangat menuntut kami untuk menyusu kerap. Bayangkanlah setiap 3 hari perlu topup susu. Masa tu mak masih suri rumah sepenuh masa. Desakan hidup ketika itu telah membuatkan ayah nekad untuk berniaga di pasar malam. Semata-mata untuk memastikan bekalan susu tak terputus. Terima kasih ayah.

Selama 14 tahun lamanya ayah berniaga di pasar malam. Memang sedap air jualan ayah. Sehingga sekarang saya tak jumpa air yang dibuat sesedap ayah. Ayah ada resepi tersendiri untuk memastikan air batu lambat cair, rasa air lemak manis, warna air secantik rupa. Setiap hari pasti ada pasar malam ayah singgah. Pasti ayah penat. Letih sudah tentu. Tapi tak sekalipun ayah mengeluh.

Dengan hasil jualan air di pasar malam itulah kami buat belanja sekolah, beli buku. Ayah sangat mementingkan kecemerlangan akademik anak-anaknya. Bagi ayah, ilmu adalah segala-galanya. Ayah akan pastikan kami adik-beradik tidak tercicir pelajaran.

'Ayah dan mak takde harta nak bagi pada anak-anak. Takde tanah berbidang-bidang, takde emas harta warisan. Ayah dan mak hanya mampu bagi pelajaran. Itulah harta kamu semua. Dengan ilmu yang kamu ada, carilah harta sendiri, binalah kehidupan sendiri.' Masih terngiang-ngiang jelas pesan ayah.

Sejak kami berpindah ke kampung halaman di utara Malaysia, ayah tak lagi berniaga di pasar malam. Tubuhnya tak lagi segagah dulu. Ayah banyak perlukan rehat dari bangun. Ayah dah banyak berkorban untuk anak-anak. Sekarang adalah masa untuk kami menabur bakti. Sebelum ayah menutup mata. Paling tidak, biarlah ayah bangga, titik peluhnya tak sia-sia, kerana kami akan berjuang membahagiakan seorang insan yang kami panggil ayah.

Selamat hari lahir ayah. Semoga dipanjangkan usia dan diberi nikmat kesihatan tanpa sakit.

---
23 Ogos 2017

No comments:

Post a Comment