Mereka kebiasaannya mempunyai dana yang terhad

Rumah Perlindungan Nur Hati. Seperti yang dijanjikan, lewat petang kelmarin kami datang lagi. Datang untuk meraikan penghuni di sini. Sebelum datang kami sudah memaklumkan kedatangan, juga bertanyakan kalau-kalau mereka ada menu pilihan hati.

'Tak kisah je lauk apa-apa pun,'

'Kalau kami buatkan lauk daging ok ke?'

'Oh, tak pernah dapat tu. Bagus juga sesekali dapat menjamah,'

Sengaja kami cadangkan menu lauk daging untuk mereka. Kerana kami sudah menjangkakan bahawa mereka jarang sekali dapat merasa. Sejak berjinak-jinak dengan dunia golongan asnaf dan anak yatim, banyak yang kami belajar. Mereka kebiasaannya mempunyai dana yang terhad. Banyaknya bergantung pada ihsan orang ramai.

'Cukup ke makanan yang ada kalau tak dapat bantuan orang ramai?'

'Mula-mula risau juga. Sebab ahli di sini ramai. Tapi setakat ni semuanya cukup. Alhamdulillah ada insan yang istiqamah hulurkan sumbangan.'

Dari jauh kelihatan seorang warga tua sedang duduk berehat. Orangnya kemas. Berkemeja dan berseluar panjang. Wajahnya kelihatan sugul dan asyik menunduk ke bawah.

'Siapa pakcik tu ya?'

'Oh, beliau antara penghuni tua di sini,'

'Dia kena tinggal ke?'

'Bukan kena tinggal, tapi dah kena buang. Tak tahulah apa kisah silam dia dengan anak-anak sampai mereka tergamak membuang bapa sendiri,'

'Macam mana pula dengan anak-anak di sini? Dari mana kenal mereka?'

'Mereka kebanyakannya kami pelihara sejak bayi. Bayi yang ditinggalkan sejurus selepas dilahirkan di hospital, ibunya entah ke mana,'

Itu sedikit sebanyak perbualan kami dengan En.Zaid, individu yang bertanggungjawab menjaga kebajikan ahli di sini. Setiap mereka di sini ada cerita sendiri. Sejarah yang tentunya meruntun hati sesiapa sahaja. Kami sendiri sebak bila diceritakan salasilah kehidupan mereka.

Betapa beruntungnya kita. Betapa bertuahnya kita. Masih punya keluarga untuk disayangi. Masih punya pilihan makanan sendiri. Sesungguhnya tiada beza antara kita dan mereka. Sama-sama menumpang di bumi Tuhan. Sama-sama punyai hati dan perasaan.

InshaAllah, selagi mana ada sokongan daripada  orang ramai, selagi ada yang menghulur sumbangan, selagi tu kami akan tetap menjejaki mereka di sini. Bukan sedikit dana yang diperlukan tiap kali sampai ke sini. Mencecah ribuan ringgit. Bukan setakat juadah berbuka puasa, tapi juga barang-barang dapur. Beras, gula , minyak , dan telur. Sebagai kegunaan mereka memasak di dapur.

Kami yakin bahawa masih ramai insan dermawan di luar sana. Mari sertai kami. Hulurkan tangan ringankan beban. Bersama merasa nikmat hidup di bumi Tuhan.

Kalau ada yang berhasrat untuk menyumbang, boleh hubungi krew kami untuk disalurkan sumbangan. Rujuk ruangan komen.

No comments:

Post a Comment