Ini Hana Humaira. Umur tiga tahun. Sejak Humaira lahir, setiap kali raya pasti memberi trauma pada kami, ibubapanya. Setiap kali raya Humaira biasanya jatuh sakit. Demam batuk selsema. Semua datang berpakej. Pernah hari raya pertama kami meredah jem mencari klinik. Pernah hari raya telefon doktor tanya bila buka klinik. Pernah time raya tunggu doktor buka pintu depan klinik. Pernah hari raya setiap hari pergi klinik.
Kalau hari raya kebanyakan orang berkunjung open house sini sana. Tapi kami pastinya akan berkurung di rumah sahaja. Waktu open house di rumah sendiri, Humaira akan berehat di bilik. Kerana dirinya kurang sihat. Imunisasi badannya tak seperti kanak-kanak lain.
Itu baru cerita raya. Belum lagi kenduri kendara. Banyaknya kami tak dapat memenuhi jemputan. Memandangkan keadaan Humaira yang agak sensitif. Tak boleh berpanas. Tak boleh bersesak. Tak boleh melasak. Ini bukan soal manjakan anak. Tapi ini keperluan anak.
Hana Humaira. Penghidap jantung berlubang (tetralogy of fallots) sejak lahir. Pernah menjalani pembedahan jantung seawal usia enam bulan. Juga penghidap penyakit salur darah tersumbat ( portal vein thrombosis). Perutnya pernah dibelah, pembedahan portal renal shunt. Akibat muntah darah dan berak berdarah tidak berhenti. Histori sakitnya menyebabkan kami begitu cakna dengan perkembangan dirinya.
Seperti orang lain, Humaira berhak menikmati kehidupan, perlu merasa nikmat berhari raya. Selagi punya keluarga di kampung, pasti kami akan membawanya pulang beraya. Saban tahun inilah raya kami. Pagi raya berpakaian lengkap uniform raya. Kemudian duduk di rumah menemani Humaira.Alhamdulillah. Masih diberi kesempatan berhari raya.
Cerita ini hanya sekadar berkongsi. Betapa setiap orang ada cerita sendiri. Kita cuma perlu toleransi. Ada ketika tak semua orang dapat memenuhi jemputan. Bagi yang sihat, tiada aral melintang, ambillah peluang cuti beraya dengan berkunjung ke rumah sanak saudara. Jangan menghadap tv sepanjang masa. Waktu raya inilah kita nak kenal saudara mara. Bertanya khabar jiran tetangga. Bukannya nak sentap tak kena gaya. Apapun keadaan, kita semua tak sama, tapi kita boleh fahami keadaan, raikan perbezaan.
---
29 Jun 2017
No comments:
Post a Comment