Jangan sampai hilang hormat daripada anak dan isteri

Minggu lepas saya ada dapat satu panggilan telefon. Mula-mula saya ingatkan beliau nak order katering, tapi rupa-rupanya memohon khidmat kaunseling.

Puas saya ingatkan akak tu bahawasanya saya ni bukan admin page iium confession, KRT pun bukan. Saya suruh akak tu ngadu je pada page tu, confirm dapat khidmat nasihat seluruh malaya. Tapi akak tu bersungguh-sungguh nak saya dengari kisahnya.

Kisahnya begini, saya namakan akak ni Kak Elly. Kak Elly ni seorang anak, ibu dan isteri berkerjaya. Beliau sekeluarga; suami dan 2 orang anak tinggal sebumbung dengan emak dan ayah Kak Elly.

Anak-anak Kak Elly berusia 2 tahun dan seorang lagi umurnya 4 bulan. Kedua-duanya dihantar ke rumah pengasuh ketika Kak Elly keluar bekerja.

Yang menjadi tekanan pada Kak Elly adalah apabila seluruh ahli keluarganya bergantung hidup pada Kak Elly seorang. Emak dan ayahnya uzur dan tidak lagi mampu bekerja.

Manakala suami Kak Elly tidak memiliki pekerjaan tetap. Beliau lebih suka memerap di rumah berbanding bekerja walaupun bergaji kecil. Suami Kak Elly memiliki kelulusan diploma dalam bidang kejuruteraan.

Oleh kerana beliau tidak mendapat jumlah gaji yang diingini, maka beliau memilih untuk tidak bekerja, dengan alasan gaji yang diterima tidak sepadan dengan lulusan yang ada.

Disebabkan keengganan suaminya untuk bekerja telah menyebabkan Kak Elly mengikat perut semata-mata memastikan perbelanjaan keluarga mencukupi.Kak Elly lebih gemar berpuasa daripada membeli di kantin.

Bertambah kasihan pabila Kak Elly berkali-kali mengulang ayat, 'Kalaulah saya tiada anak, mesti saya tak susah macam ni kan?'

Kak Elly rasa tertekan apabila Kak Elly tak lagi mampu membeli susu dan pampers anak-anaknya. Disebabkan desakan hidup, Kak Elly terpaksa menggantikan susu anaknya dengan susu tin.

Sebelum mengakhiri perbualan, dalam teriak tangisnya Kak Elly sempat berkata, 'Kak Elly dah tak tahu nak buat apa, rasa macam nak gila.'

*
*
*
*
Saya cuba untuk bertenang. Tarik nafas dalam-dalam. Saya cuba untuk tidak memberi apa-apa pandangan mahupun ulasan ketika Kak Elly meluahkan perasaan. Bahaya. Bimbang kalau nasihat yang saya beri boleh meruntuhkan sebuah institusi rumah tangga.

Saya pasti ramai wanita lain yang berdepan dengan situasi sama dengan Kak Elly. Teringat sebuah pesan, 'Wanita yang malang adalah wanita yang tersilap memilih suami.'

Wahai para suami,

‘’Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf, Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya.’’ (Al-Baqarah 233)

Anak dan isteri ialah amanah Allah untuk kamu. Yang menjadi tanggungjawab, menjadi asbab dirimu diangkat menjadi ketua.

Bukanlah menjadi ketua itu boleh dibuat suka-suka. Bukanlah menjadi kepala itu boleh diambil sambil lewa.

Jangan sampai hilang hormat daripada anak dan isteri. Tak mustahil suatu hari nanti semua angkat kaki. Tinggalkan kau seorang diri. Masa tu baru kau tahu apa tujuan kau jadi suami.

No comments:

Post a Comment