Diam dah cukup

Lewat petang semalam saya sempat close order untuk satu jamuan. Order datang dari seorang ibu berkerjaya, hampir sama umur dengan ibu saya.

Selesai mengambil order saya sempat bertanya khabar kesihatannya. Beliau seorang penghidap  penyakit buah pinggang, yang menjalani 3 sesi dialisis saban minggu. Wajahnya jelas terpancar keletihan memandangkan beliau baru selesai menjalani dialisis di sebelah pagi.

'Akak ni dah lama niat nak buat makan-makan,' beliau mulakan perbualan.

'Tapi kesihatan akak tak berapa bagus, akak asyik letih ja. Kadang-kadang nak bangun masak untuk keluarga pun tak larat,' beliau cuba berkongsi keadaannya.

Saya membetulkan duduk. Bersila menghadapnya, membolehkan kami saling berdepan.

'Kadang-kadang akak terfikir, termenung sorang-sorang. Kenapa Allah pilih akak? Kenapa dalam ramai-ramai orang, akak yang kena buat dialisis ni?'

'Waktu awal-awal dapat tahu tentang penyakit ni, 6 bulan akak tak ambil ubat. Akak tak pergi dialisis langsung.'

'Akak ingatkan akak kuat, tapi rupanya akak jadi makin tak larat. Nak bangun pergi tandas pun banyak berhenti baru sampai. Ni pun gagahkan diri datang kerja. Anak-anak nak pakai duit. Ada yang baru dapat kerja, ada yang masuk u.'

'Tapi yela kan, Allah pilih akak sebab Dia tahu akak mampu,'

Panjang lebar luahannya. Saya sekadar mengangguk. Cuba untuk tidak mencelah. Memberi ruang kepada ibu ini untuk bercerita.

Tak perlu mengingatkannya untuk menjadi kuat, kuatnya bukan dibuat-buat. Tak perlu menasihatinya untuk sabar, sabarnya memang mencabar. Tak perlu menyuruhnya tabah, kerana beliau memang gagah.

Kerana beliau bukan meminta saya untuk menyelesaikan masalah, cuma menjadi tempat meluah.

Meminjamkan telinga dan meluangkan masa untuk berkongsi cerita pun dah satu rahmat. Perjalanan hidup yang penat.Tentu sahaja beliau memerlukan rehat. Sekadar menjadi pendengar pun dah banyak membantunya meredakan tekanan yang dihadapi.

Begitulah kita. Adakala kita hanya perlukan teman untuk bersembang. Bukan untuk mengeluh, bukan untuk merungut. Tapi untuk berkongsi rasa.

Betapa ramai antara kita yang suka memberi pandangan. Seakan kita memahami lalu menasihati. Kerana hakikatnya kita hanya benar-benar menghayati bila kita melalui dan merasai sendiri.

Lalu si dia memilih untuk berdiam diri, mengelak dari kecaman bertubi-tubi. Yang mungkin saja meracuni diri.

Jadilah pendengar yang baik. Kerana mungkin kesudian kita menjadi teman bercerita mampu melegakan sebuah jiwa.

No comments:

Post a Comment