Macam mana Humaira sekarang?

Sana sini saya pergi orang akan tanyakan khabar anak.

'Humaira apa khabar?'

'Anak sihat?'

'Macam mana Humaira sekarang?'

Dan setiap kali itu juga saya spontan menjawab,

'Alhamdulillah, Humaira sihat. Humaira takde apa-apa.'

Walau pada ketika itu Humaira sedang berada di wad. Walau ketika itu Humaira sedang batuk demam.

Bukan menidakkan kebenaran. Tapi menzahirkan keyakinan. Keyakinan pada doa. Doa seorang ibu. Doa yang dijanjikan mustajab, tiada hijab. Keyakinan pada aura. Sebarkan aura positif. Agar menjemput suasana positif.

Begitulah hakikat yang saya tempuh hari-hari. Hakikat yang banyak mengajar saya mengawal diri. Kuasai emosi. Agar saya sentiasa redha dengan takdir. Agar saya sentiasa berusaha untuk keluar dari takdir yang menyakitkan.

Sekarang Humaira sedang berada di hospital. Batuk tiba-tiba. Makin lama makin berlekuk rusuk. Nafas makin kuat berbunyi. Saya tak tunggu lama. Terus pecut ke wad kecemasan hospital. Confirm. Red zone.

Sudah dua hari Humaira bermalam di sini. Malam pertama Humaira menangis sepanjang malam. Meronta, menendang apa sahaja. Nafasnya makin laju.  Berlari doktor oncall datang. Zup zap. Zup zap. Doktor buat apa yang perlu. Doktor sudah beri ubat untuk melonggarkan paru-paru sempit. Gas nebulizer diberi setiap sejam. Gas oksigen memberi khidmat tanpa putus.

Masa tu saya hanya mampu berdoa, 'Ya Allah, panjangkanlah umur anakku. Selamatkanlah Humaira.' Cuba menahan airmata dari turun laju.

Kakak jiran katil sebelah datang mendekat. 'Sabar ya ibu. Demi anak, sabarlah.'

'Ini ujian untuk saya,' tersenyum saya membalas.

Malam kedua Humaira sudah boleh tidur lena.

Doakan supaya Humaira cepat sembuh ya. Humaira nak balik rumah.

Alhamdulillah. Humaira sihat. Humaira takde apa-apa.

---

19 Ogos 2017
Hospital Shah Alam

No comments:

Post a Comment