Mereka kebiasaannya mempunyai dana yang terhad

Rumah Perlindungan Nur Hati. Seperti yang dijanjikan, lewat petang kelmarin kami datang lagi. Datang untuk meraikan penghuni di sini. Sebelum datang kami sudah memaklumkan kedatangan, juga bertanyakan kalau-kalau mereka ada menu pilihan hati.

'Tak kisah je lauk apa-apa pun,'

'Kalau kami buatkan lauk daging ok ke?'

'Oh, tak pernah dapat tu. Bagus juga sesekali dapat menjamah,'

Sengaja kami cadangkan menu lauk daging untuk mereka. Kerana kami sudah menjangkakan bahawa mereka jarang sekali dapat merasa. Sejak berjinak-jinak dengan dunia golongan asnaf dan anak yatim, banyak yang kami belajar. Mereka kebiasaannya mempunyai dana yang terhad. Banyaknya bergantung pada ihsan orang ramai.

'Cukup ke makanan yang ada kalau tak dapat bantuan orang ramai?'

'Mula-mula risau juga. Sebab ahli di sini ramai. Tapi setakat ni semuanya cukup. Alhamdulillah ada insan yang istiqamah hulurkan sumbangan.'

Dari jauh kelihatan seorang warga tua sedang duduk berehat. Orangnya kemas. Berkemeja dan berseluar panjang. Wajahnya kelihatan sugul dan asyik menunduk ke bawah.

'Siapa pakcik tu ya?'

'Oh, beliau antara penghuni tua di sini,'

'Dia kena tinggal ke?'

'Bukan kena tinggal, tapi dah kena buang. Tak tahulah apa kisah silam dia dengan anak-anak sampai mereka tergamak membuang bapa sendiri,'

'Macam mana pula dengan anak-anak di sini? Dari mana kenal mereka?'

'Mereka kebanyakannya kami pelihara sejak bayi. Bayi yang ditinggalkan sejurus selepas dilahirkan di hospital, ibunya entah ke mana,'

Itu sedikit sebanyak perbualan kami dengan En.Zaid, individu yang bertanggungjawab menjaga kebajikan ahli di sini. Setiap mereka di sini ada cerita sendiri. Sejarah yang tentunya meruntun hati sesiapa sahaja. Kami sendiri sebak bila diceritakan salasilah kehidupan mereka.

Betapa beruntungnya kita. Betapa bertuahnya kita. Masih punya keluarga untuk disayangi. Masih punya pilihan makanan sendiri. Sesungguhnya tiada beza antara kita dan mereka. Sama-sama menumpang di bumi Tuhan. Sama-sama punyai hati dan perasaan.

InshaAllah, selagi mana ada sokongan daripada  orang ramai, selagi ada yang menghulur sumbangan, selagi tu kami akan tetap menjejaki mereka di sini. Bukan sedikit dana yang diperlukan tiap kali sampai ke sini. Mencecah ribuan ringgit. Bukan setakat juadah berbuka puasa, tapi juga barang-barang dapur. Beras, gula , minyak , dan telur. Sebagai kegunaan mereka memasak di dapur.

Kami yakin bahawa masih ramai insan dermawan di luar sana. Mari sertai kami. Hulurkan tangan ringankan beban. Bersama merasa nikmat hidup di bumi Tuhan.

Kalau ada yang berhasrat untuk menyumbang, boleh hubungi krew kami untuk disalurkan sumbangan. Rujuk ruangan komen.

Bila kita tengok perut dia, kita dah tahu ada something wrong dengan perut dia

Institut Pediatrik, HKL. 7/6/2017

Dah lama mama pangkah tarikh tu dalam kalendar. Tarikh untuk Hana Humaira jalani ultrasound. Untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan pembedahan Portal Renal Shunt tempoh hari.

'Bila kita tengok perut dia, kita dah tahu ada something wrong dengan perut dia,'

'Apa maksud doktor?'

'Sepatutnya kita menjangkakan selepas 2 bulan perutnya akan mengempis, urat hijau dah tak timbul, dan saiz limpa mengecil. Tapi melalui ujian ultrasound yang kita buat, kita tak nampak apa yang sepatutnya kita nampak,'

'So for this time being, what can I do to help her?'

'Nothing. I'll talk to the specialist about this case. You just wait a call from us soon,'

Krik krik krik.

Macam tu je habis seharian tunggu beratur kat klinik dari pagi sampai petang. Keputusan yang tak tahu kesudahan. Humaira suka sangat buat mama suspen.

Petang tu lepas setel hal di hospital, papa sempat singgah beli basikal untuk Humaira di Chow Kit. Bila mama tanya, papa jawab, 'Kita tak tahu selama mana Allah bagi kita jaga Humaira, selagi mampu selagi tu kita akan buat Humaira bahagia.'

Sudah lama mama tak menulis pasal Humaira. Bukan seorang dua yang bertanyakan tentang Humaira. Ada yang pm, wasap, call, ada yang datang melawat dekat rumah. Terima kasih banyak-banyak atas keprihatinan semua. Bukan tak mahu update pasal Humaira, tapi tak tahu nak tulis apa. Risau juga kalau2 mengundang air mata.

Humaira makin baik dari sehari ke sehari. Much better. Makin aktif. Makin bertambah selera makan. Kalau sebelum ni Humaira makan nasi sebutir dua. Ya sebutir dua. Bukan semulut dua. Seakan tiada selera makan. Hidanglah apa sahaja. Semua Humaira geleng. Ingatkan sekadar takde selera, tapi rupa-rupanya Humaira sakit. Jahilnya mama sebelum ni. Tak dapat detect yang anak sendiri ada masalah. Maafkan mama, sayang.

Sekarang mama ambil cuti untuk jaga Humaira. Seronoknya hati bila dapat tengok anak membesar depan mata sendiri. Cuti masih berbaki 3 minggu. Lepas tu kena kerja semula. Harap sangat kesihatan Humaira juga makin bagus.

Sejak mama ambil cuti, tak pernah sekalipun Humaira jauh dari mama. Humaira banyak kuarantin dalam rumah. Tak pergi tempat ramai orang. Tak bersesak dalam mall. Apatah lagi nak jejak pasar malam. Humaira cepat rimas. Bila panas Humaira akan menangis. Kalau tak cukup tidur pun boleh menangis. Bila dah mula menangis susah nak berhenti. Mama memang nak elak Humaira dari menangis. Sebab bila nangis akan bagi tekanan pada Humaira. Makin seksa nak bernafas. Kadang nangis sampai takde suara.

Memang jalanan hidup Humaira tak sama dengan kawan sebaya. Humaira special. Special sangat. Bukan niat mama papa nak halang kehidupan kanak-kanak Humaira, tapi keperluan Humaira berbeza. Orang lain mungkin tak faham. Tapi cukuplah dengan apa yang kita dah lalui sebelum ni. Saat-saat sukar yang kita tempuh. Betapa getirnya hati bila tengok Humaira bersusah payah bertarung nyawa. Dan betapa bahagianya bila melihat Humaira masih boleh tersenyum gembira.

Cukuplah. Cukuplah dengan segala ketakutan yang kita hadapi. Bertabahlah dengan takdir Ilahi. Akan sampai suatu masa, hikmah terbentang depan mata. Buat semua yang mendoakan Humaira di luar sana, terima kasih atas sokongan kalian. Doakan supaya Humaira diberi kesembuhan sempurna. Moga-moga Allah makbulkan doa kita semua. Mungkin ada antara kita yang doanya diangkat ke langit.

---
07 Jun 2017

Bersedekah itu adalah mujahadah

Ada orang pernah pesan, bila terasa rezeki sempit, maka perbanyakkanlah sedekah.
Ada orang sedekah dengan niat nak rezeki bertambah-tambah
Ada orang sedekah sebab nak dapat zuriat
Ada orang sedekah untuk ahli keluarga yang dah tiada

Apapun niat kita, sedekah mungkin jadi asbab penyelesaiannya. Selalunya penerima sumbangan akan mengangkat tangan berdoa sungguh2 untuk di penderma. Kena pula mereka golongan yang terpelihara, yang mustajab doanya. Jadi tak hairanlah bila nak sedekah, kita sertakan dengan niat.

Sebab dalam rezeki kita, tersimpannya rezeki orang lain juga. Sebab tu kita kena bayar zakat. Saya lihat sendiri, betapa lagi hebat harta benda seseorang, lagi hebat sifat dermawan dia. Kalau setakat nak sponsor ribu riban tu sambil pejam mata je dia boleh buat. Bila dah infaq tu, kehidupannya tetap ibarat ferrari meluncur laju. Takde pun dia tersungkur semput tak boleh makan.

Kerana hakikatnya bersedekah itu adalah mujahadah. Kita keluarkan sebahagian harta kita untuk dikongsi dengan orang lain. Bukan senang nak pujuk hati untuk sedekah. Sebab kadang2 itu je duit kita. Itulah yang nak bayar itu ini. Tapi Allah dah pun jamin. Kerana Allah dah janji kan..dengan bersedekah tidak akan jatuh miskin. Malah dibayar berlipat-lipat.

Dah sedekah ke hari ni? 😊

RUMAH PERLINDUNGAN NUR HATI

Kali ni kita terjah Ampang pula. Cari kelainan sikit. Selamat datang ke Rumah Perlindungan Nur Hati. 😎

Di sini adalah tempat tinggalnya ibu-ibu tunggal dan kanak2. Jangan terkejut kalau kami katakan bahawa majoriti anak2 di sini adalah anak diluar pernikahan. Para ibu menjadi ibu tanpa melalui proses akad dan nikah. 😭

Lebih sedih bila anak-anak ini tidak kenal pun siapa bapanya. Yang bongsu berumur 4 bulan. Ya, bayi berumur 4 bulan ialah antara penghuni di sini. Duduk menumpang kasih, mengharap belas ihsan masyarakat demi menampung hidup.

Sungguh. Mengalir air mata bila melihat betapa gembira dan bersyukurnya mereka bila kami hadir membawa juadah berbuka. Lebih gembira mereka bila kami duduk bersembang bergelak ketawa dengan anak2 di sini. Si bongsu 4 bulan yang mulus wajahnya, seakan bahagia bila kami menghulur tangan untuk mendukungnya dalam pangkuan.

Sempat beramah mesra seminit dua. Masa mencemburui kami. Kami perlu mengundur diri untuk meneruskan misi yang masih berbaki. Sambil bersalaman, kami berjanji dengan anak2 di sini, bahawa kami akan datang lagi, untuk menyantuni dan meneladani mereka, sama berkongsi rezeki.

Dalam kita asyik berfikir menu apa untuk berbuka dan bersahur nanti, jangan kita lupa, nun jauh di tengah Kuala Lumpur, betapa ramai  yang sendiri tak tahu apakah juadah berbuka dan bersahur masih ada untuk mereka?

Berhajat nak jadi sponsor? Rujuk di ruangan komen.

---
05 Jun 2017

JOM SERTAI SPONSOR BUKA PUASA

Ada macam-macam cara orang nak dapat pahala. Ada yang perbanyakkan solat sunat, ada yang melazimi bacaan alquran, ada yang menghadiri majlis ilmu. Semua ni amalan yang sangat besar pahalanya bila kita amalkan. Ini antara hubungan kita dengan Tuhan.

Bagaimana pula hubungan kita sesama manusia? Ada orang saling bertanya khabar, eratkan silaturrahim. Ada yang rajin sedekah. Tujuan asal sedekah adalah untuk kita sama2 membantu, saling merasa rezeki yang ada. Bila orang senang dengan kita, orang akan doakan kita. Secara tak langsung malaikat pun aminkan doa. Cukup 44kali, makbul doa tu. Sebab tu kita kena selalu buat baik. Bagi orang mudah nak doakan. Sebab kita tak tahu doa siapa yang Allah makbulkan. Mungkin dalam ramai2 yang doakan kita, ada yang doanya mustajab dan Allah kabulkan.

Seronoknya bila kita dapat bantu orang. Lagi best kalau jamu makan. Siapa tak suka makan free kan? Lebih2 lagi kalau dah lama sangat teringin nak makan.

Kalau nak tahu, kebanyakan anak2 yatim dan golongan asnaf ni jarang sangat dapat makan daging. Bila kami buat projek sponsor makanan berbuka puasa, kadang2 bila bajet cukup, kami akan beri peluang kepada anak2 ni untuk pilih menu sendiri. Dah agak dah, mesti minta lauk daging. Kalau kami tak dapat masakkan, mereka sanggup untuk minta yang mentah untuk dimasak sendiri. Percaya atau tidak. Inilah hakikat. Selalunya makan lauk ayam atau ikan. Lauk daging, udang , sotong kalau ada yang nak sponsor.

Sebenarnya dulu2 tak pernah terlintas pun di hati untuk jamu anak2 yatim ni. Tapi sejak tahun lepas rasa tergerak hati untuk ketuk pintu rumah mereka. Lama2 rasa makin seronok bila dapat jamu anak2 di sini. Macam2 latar belakang ada. Ada yang datang dari keluarga bermasalah, ayahnya terlantar sakit bertahun2. Ibu terpaksa keluar bekerja mengambil upah basuh pinggan, ada yang abang orang lain jaga, kakak pun orang lain jaga, ada yang hidup berpindah randah menumpang belas ihsan orang. Kalau nak dicerita semuanya memang bikin nangis.

Cukuplah kalau saya katakan bahawa sesungguhnya setiap usaha kita untuk membantu mereka sangat sangat sangat dihargai. Betapa banyaknya ucapan syukur dan terima kasih dan doa yang diucap berkali2 setiap kali kami sampaikan sumbangan. Mungkin pada kita sumbangan ni sikit sangat. Tak tergerak pun duit yang ada. Tapi pada mereka, tersangatlah bahagianya. Betul. Kadang-kala anak2 yatim ni dijamu mewah, ditaja sana sini. Tapi ada satu kenikmatan yang mereka tak dapat rasa. Iaitu kenikmatan makan bersama ayah dan bonda.

Kami tiada apa2 kepentingan di sini. Cuma sedang cuba untuk menyantuni anak2 yatim di sini. Kerana kami juga miliki anak, ahli keluarga yang kita sendiri tak tahu apa nasibnya bila kita tak lagi bersama mereka.

Mari bersama kami raikan mereka. Sertai misi sponsor buka puasa. Semoga rezeki kita semua bertambah2 dan tak pernah habis.