MASIH ADA SALURAN YANG BENGKAK

Humaira sudah boleh discharge pada jumaat petang. Alhamdulillah. Sudah boleh tidur di rumah. Humaira boleh bermain riang dengan adik Muhayya.

Cuma fikiran saya masih terngiang-ngiang pesanan doktor tempoh hari. 'Kita masih jumpa 2 saluran yang bengkak. Kita akan refer kepada Dato untuk next plan bagi Humaira.'

Penjelasan doktor itu saya sambut dengan senyuman kosong. Sangkaan saya bahawa semua sudah setel ternyata meleset sama sekali.

Saluran yang bengkak itu adalah saluran esofagus. Membengkak akibat tekanan tinggi dari dalam perut. Portal-hypertension. Yang menyebabkan pengumpulan ascites di bahagian abdomen. Yang membesarkan saiz limpa. Yang bisa membuat perut membuncit. Garis-garis urat hijau sekitar perut jelas kelihatan.

Tekanan tinggi ini yang perlu dikawal. Supaya tidak lagi memecahkan dinding esofagus. Supaya tidak lagi muntah darah. Moga tiada lagi najis bercampur darah.

Pembedahan yang dilakukan 7 bulan lalu diharapkan dapat mengurangkan tekanan abdomen. Tapi saluran yang kembali membengkak memberi signal bahawa tekanan masih tinggi.

Kemungkinan untuk berdarah semula masih ada. Sejarah mungkin berulang. Biarpun apa kesudahannya nanti, saya pasti kesudahannya pasti yang terbaik untuk kami.

Mohon maaf andai ada kawan-kawan yang tertunggu-tunggu update Humaira. Saya tak berkesempatan untuk pegang telefon.

Balik dari hospital pun naik grab. Papa Humaira tak berpeluang untuk menjemput kami kerana perlu menguruskan perihal makanan untuk tempahan katering yang penuh.

Sampai sahaja di rumah, saya sendiri terus ke dapur untuk membantu kelancaran tugas masak-memasak, menghidang, mencuci. Sempat lelap sejam, sebelum kembali bersedia di dapur untuk memasak semula untuk tempahan katering berikutnya.

Beginilah kehidupan Hana Humaira dan Hana Muhayya. Menjadi anak-anak pengusaha katering memang menuntut pengorbanan. Ada masa kami boleh memberi sepenuh perhatian. Ada masa kami perlu ke dapur.

Semuanya dilakukan demi memastikan kelangsungan hidup. Demi memastikan anak-anak mendapat hak untuk mendapat rawatan kesihatan terbaik. Untuk mendapat hak kelengkapan baju seluar serta hak mendapat bekalan susu dan pampers mencukupi.

Biarpun perjalanan kami tak sama dengan orang lain, tapi kami tetap bahagia menikmati waktu-waktu bersama keluarga.

Kerana kita semua tak pernah tahu. Waktu bila, saat mana Allah akan menjemput salah seorang daripada kita.

#hanahumaira
#anaksyurga

---
11/12/2017

No comments:

Post a Comment