KEREDHAAN UNTUK SEBUAH TAKDIR

Sebenarnya, masa mula-mula saya mengandungkan anak sulung, saya memang begitu peka dan sangat berdisiplin dalam menjaga kandungan. Apa sahaja nasihat, semua saya ikut dan amalkan semata-mata untuk memastikan anak mendapat khasiat yang baik dan membesar dengan sihat.

Tapi kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan.

Anak saya ditakdirkan lahir dengan empat kecacatan pada jantung serta memiliki saluran portal tersumbat. Memang betul-betul jatuh terduduk. Dunia saya gelap. Saya dilanda kemurungan untuk beberapa ketika.

Dan sememangnya saya tak terlepas daripada nasihat dan pandangan orang sekeliling. Ada yang beranggapan macam-macam.

'Waktu mengandung dulu ada buat benda tak elok ke?'

'Mesti masa mengandung awak ada cakap bukan-bukan.'

'Ni anak awak ada saka menumpang.'

'Awak kena bersihkan diri. Dah kotor sangat ni. Anak awak jadi mangsa.'

And the prejudice goes on...

Agak-agak apa perasaan saya masa tu? Saya sedih sangat. Anytime saya boleh menangis semahunya. Setiap malam saya terjaga kerana mimpi bukan-bukan. Saya pernah menjerit sambil berlari keluar rumah hanya kerana saya terdengar bisikan memanggil nama saya.

Saya mula jadi paranoid. Saya hampir gila. Saya mula menyalahkan takdir. Saya mula menyalahkan diri sendiri. Saya mulai takut nak buat apa-apa. Saya biarkan orang atur hidup saya. Hampir saja saya bunuh diri.

Allah.

Sekali dengar macam tak masuk akal. Macam tak logik. Tapi percayalah. It happened. It was real. It really ruined my life. My life turned upside down.

Sehinggalah satu ketika. Allah bantu saya. Allah hantar orang-orang berjiwa hebat kepada saya.

Dalam ramai orang negatif, ingatlah, lebih ramai orang yang sedang doakan kita. Betapa banyak doa yang terangkat ke langit. Tanpa kita sedar, Allah sedang sambut doa kita.

Pernah seorang sahabat yang senasib dengan saya mengingatkan. "Sebenarnya Allah jawab doa kita melalui anak kita. Masa mengandung dulu, kita berdoa supaya dapat anak yang mendekatkan kita dengan Tuhan. Kita berdoa supaya dikurniakan anak yang kuat dan hebat. Dan inilah cara Allah jawab doa kita. Bila kita tengok keadaan anak, pasti kita lebih banyak berusaha mengadu pada Tuhan. Dan ini menjadikan kita lebih dekat pada Tuhan."

Alhamdulillah. Masa ni saya fikir, saya hanya ada dua pilihan. Sama ada terus merintih meratap, atau saya bangkit menghadap. Sama ada melihat indahnya percaturan Tuhan, atau menghukum buruknya kejadian.

Perlahan-lahan saya kumpul kekuatan sendiri. Saya mula berusaha untuk belajar menerima takdir. Saya mula berani berkongsi dengan orang. Kalau sebelum ini, saya tak pernah declare keadaan anak saya pada public. Kerana sesungguhnya kenyataan itu amat pahit. Bagi yang merasa, pastinya lebih faham.

Saya tidak menidakkan mereka yang cuba untuk menunjukkan empati, tapi lebih ramai yang hanya bersimpati.

Hakikatnya, pada masa fragile inilah bantuan dan sokongan orang sekeliling sangat menyumbang. Sama ada membantu menghancurkan, atau membantu menguatkan. Sebab pada saat ini hati sangat rapuh. Mudah sangat dipengaruhi.

Kerana itu kita sendiri perlu mahir mengendalikan emosi sendiri. Jangan sampai orang ataupun keadaan menguasai kita. Menguasai sebelum dikuasai.

Di sini saya ingin berkongsi bagaimana untuk mengendalikan emosi dan hati ketika berhadapan dengan situasi begini.

1. Dekatkan diri dengan Tuhan.

Sentiasa solat di awal waktu. Kerapkan baca Al quran, dan bertasmik. Hidupkan kembali fikiran kita dengan ayat suci. Lazimi diri buat solat sunat. Usahakan bangun bertahajud setiap malam. Mengadu pada Tuhan. InshaAllah, secara tak langsung kita akan ada kekuatan sendiri.

2. Dapatkan sokongan orang terdekat.

Bila kita lemah, bantuan orang terdekat sangat diperlukan. Orang terdekat saya ialah suami saya sendiri. Dialah yang akan berusaha untuk tenangkan saya apabila saya tiba-tiba hilang semangat atau menjerit seakan dirasuk.

3. Berada dalam kelompok sahabat positif.

Semestinya kita akan down dan rebah terus bila orang mengeluarkan tanggapan negatif. Dan bukan upaya kita untuk menghalang mereka daripada terus berkata-kata. Tapi kita sangat berupaya menjauhkan diri daripada mereka.

Tapis friends di facebook. Pastikan hanya sahabat positif yang muncul di homepage kita.

4. Sibukkan diri dengan perkara yang menjadi kepentingan kita.

Pada waktu ini, kondisi kesihatan anak saya sangat bermakna buat saya. Saya fokus untuk memastikan dia sihat. Untuk menjaga anak, saya sendiri harus sihat. Jadi saya hanya fikir tentang apa yang perlu. Dan saya mula abaikan perkara-perkara yang tidak membawa kebaikan.

Saya percaya bahawa pasti ramai insan di luar sana yang menghadapi situasi sama seperti saya lalui. Apapun keadaannya, sentiasa ingat bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

Teruskan bersangka baik dengan Allah, dan jangan berhenti menagih janji Allah,

'Maka sesungguhnya selepas kesulitan, ada kesenangan' (Al-Insyirah : ayat 5)

.---

Catatan 27/11/2017

No comments:

Post a Comment