MENGHARGAI PERTOLONGAN

Pagi tadi sewaktu nak keluar rumah, saya ternampak gelagat dua orang jiran. Kelihatan seorang suami sedang mengundurkan kereta keluar pintu pagar rumah, kemudian menggantikan tempat pemandu kepada isterinya, sebelum mereka bersalaman dan si isteri memecut laju keluar keretanya ke sebuah destinasi.

Walaupun pertolongannya nampak simple, sekadar membantu mengalihkan kereta keluar dari garaj hadapan rumah, namun pastinya mampu membuatkan isteri rasa bahagia.

Kadang-kadang kita tak sedar, kebersamaan kita sewaktu pasangan melakukan aktiviti seharian dapat memberi senyuman pada pasangan. Bukanlah bulan bintang yang menjadi cagaran. Tidaklah segunung intan jadi dambaan. Cukup sekadar meluangkan sedikit masa dan kudrat kita dalam hal rumah tangga, dalam menghilangkan keletihan pasangan.

Gembiranya hati apabila pasangan sendiri bersama-sama turut serta. Sungguhpun tidak berpeluang bersama keluarga seharian, namun usaha kita yang sedikit dapat memberi kelegaan. Walau sekadar membantu menggosok baju, hatta dapat membasuh pinggan sendiri, ataupun sekadar membancuh susu anak.

Percayalah, penghargaan itu bukanlah terletak kepada hadiah wang ringgit semata-mata. Kebersamaan itu lebih penting. Jangan biarkan pasangan menguruskan rumah tangga sendiri. Carilah peluang untuk turut serta. Kerana hakikat rumahtangga itu memerlukan kerjasama, yang didasari persefahaman, berteraskan taqwa dan iman. Kerana nabi pernah berpesan,

" Barang siapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (berhubungan baik dengan keluarga dekat) niscaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya rezekinya, ditambah umurnya, dan Allah memasukkannya ke dalam surga yang dijanjikan-Nya.”
(Hadis Riwayat: Ar-Rabii’)

.

No comments:

Post a Comment