BAWA JE KE HOSPITAL

Tadi sewaktu saya scroll facebook, saya terbaca suatu posting di sebuah group ibu-ibu. Posting itu dibuat oleh seorang ibu yang mohon agar ibu-ibu lain mendoakan anak kecilnya yang sedang demam panas, tapi tidak dibawa ke hospital kerana kasihan anak bakal dicucuk jarum.

Dan penuhlah komen dari para ibu yang menasihati agar anak tersebut segera dibawa ke hospital.

Kisah ini mengingatkan saya kepada kisah sendiri. Anak saya pernah beberapa kali dikejarkan ke wad kecemasan. Dan setiap kali juga doktor berkata,

‘Kalau puan terlambat seminit je, mungkin puan dah tak dapat jumpa anak puan’,

‘Mujur puan cepat bertindak, saya sendiri terkejut melihat anak puan sewaktu sampai tadi’,

‘Puan doa banyak-banyak, hanya kuasa Tuhan dapat selamatkan anak puan’.

Saya pernah menyaksikan penyesalan seorang ibu yang kehilangan anaknya hanya semata-mata melengahkan rawatan untuk anaknya.

‘Menyesal pun tak guna, anak akak dah takde’.

Dan saya juga pernah bertemu dengan seorang ibu yang kehilangan anaknya sewaktu para doktor sedang bertungkus-lumus menyelamatkan anaknya,

‘Sekurang-kurangnya saya dah buat yang terbaik untuk anak saya, saya dah serahkan dia pada tangan yang betul.’
.
.
Saya tidak memandang serong pada ibubapa yang memilih untuk mendapatkan alternatif selain daripada perubatan moden. Don’t get me wrong. Saya cuma mengingatkan betapa pentingnya kita mengambil langkah awal. Better safe than sorry. Do not delay. Langkah awal boleh menyelamatkan nyawa.

Anak ialah amanah daripada Allah. Dan amanah akan dipertanggungjawabkan, dan disoal oleh Allah di mahsyar nanti. Dan anak juga ialah harta dan saham akhirat ibubapa. Sebagai ibubapa, kita perlu menyediakan keperluan dan keselamatan anak-anak.

Jangan hanya kerana kita kasihankan anak dicucuk jarum, kita sanggup memperjudikan nyawa anak sendiri. Kita bukan pakar dalam bidang perubatan. Kita tiada alat bantuan sokongan. Tapi kita ada peluang untuk memberi rawatan terbaik kepada anak-anak kita.

Memetik sebuah perkongsian daripada Dr Danial Zainal Abidin, seorang doktor perubatan yang dihormati, juga penulis buku  Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, beliau pernah berpesan,

'Perubatan moden yang diamalkan oleh hospital-hospital juga merupakan perubatan Islam. Kerana selagi mana tidak bercanggah dengan Al-quran dan sunnah, selagi itu diterima sebagai perubatan Islam, dan halal disisi Islam.'

Buatlah sehabis daya untuk kesihatan anak. Usahalah memberi yang terbaik. Jangan hanya pentingkan hati kita yang tak sanggup melihat anak dicucuk jarum, kita merisikokan keadaan anak. Nyawa tiada ganti.

Apapun kesudahannya, percayalah, kita semua mengharapkan yang terbaik, kita semua berusaha memberi yang terbaik, bertindak awal. Jangan bertangguh, kerana kita tak pernah tahu, mungkin tindakan pantas kita akan berakhir dengan kesyukuran, atau pengabaian kita disambut dengan tangisan.
.
.

No comments:

Post a Comment