JAUHI ORANG KETIGA DALAM PERKAHWINAN

Berborak dengan seorang teman, asalnya sekadar sembang-sembang kosong. Tak sangka pula sampai berair matanya bila saya bertanya khabarnya.

Sahabat saya ni seorang ibu tunggal yang berjuang membesarkan anak-anak sendirian. Tambah respect pabila beliau juga terpaksa bangun sendiri meneruskan hidup dengan bantuan ubat. Tanpa ubat-ubatan, bisa saja beliau mendengar bisikan-bisikan bermain di telinganya.

Schizophrenia. Suatu kesakitan pada mental yang menyebabkan gangguan pemikiran dan tindakan.

Punca asal permasalahannya tidak lain, hubungan rumahtangga retak akibat campur tangan orang ketiga.

Apabila muncul hasut-menghasut, pasangan sendiri dilihat terburuk, tiada apa lagi yang boleh selamatkan hubungan. Yang nanti menjadi mangsa ialah anak-anak.

Anak-anak hilang tempat percaya. Perlu berbahagi kasih ayah dan ibu.

Pesan sahabat sebelum kami akhiri perbualan, 'Kalau nak buat apa-apa keputusan, fikirlah akibat pada anak-anak'.

.
.
Banyak hubungan terputus akibat lebih percayakan orang ketiga. Dalam hubungan rumahtangga, yang terdekat ialah suami, isteri , dan anak-anak. Adik-beradik, ipar duai, ibu ayah, keluarga mertua, rakan taulan ialah individu luar yang memerhati dari jauh.

Kerana yang berdepan dengan realiti rumahtangga adalah kita. Betapa pentingnya kita menjadi sahabat terbaik pasangan. Jadilah tempat bergantung. Pinjamkan telinga kita untuk pasangan meluah keluh kesah. Pinjamkan mata kita untuk melihat  betapa setianya dia berkorban. Pinjamkan bahu kita untuk dia menangis bersandar.

Usah beri kesempatan pada yang lain untuk menggantikan tempat kita. Apabila kita lebih percayakan orang lain melebihi pasangan, di situ bermulanya kehancuran. Dan yang akan menerima akibat hanyalah anak-anak. Bukan orang ketiga yang menjadi punca porak peranda.

Buat semua yang menyayangi hubungan, peliharalah diri daripada berprasangka buruk dengan pasangan. Carilah kebaikan dalam setiap tindakan.

Jadilah teman rapat kepada pasangan. Berkongsilah apa sahaja. Luahkan apa yang terpendam. Carilah jalan penyelesaian. Kerana sesungguhnya dalam setiap konflik ada solusi terbaik.

Semoga dengan adanya sifat saling percaya, akan menjaga hubungan rumah tangga, terlindung dari bahaya, hasutan orang ketiga, yang bisa saja membuat hubungan berantakan.
.
.
Ya Allah, lindungilah setiap hubungan rumah tangga dari jahatnya bisikan syaitan. Amin.

.

No comments:

Post a Comment