3 ABDUL

Dalam banyak-banyak filem P.Ramlee, saya paling suka cerita 3 Abdul. Kisah perihal rumah tangga yang mendalam maksudnya. Saya paling ingat satu lirik lagu pada satu babak di kandang kuda,

'Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri.'

Mana-mana rumah tangga pun pasti ada pasang surut. Ada yang sekadar merajuk. Ada yang bergaduh teruk.

Banyaknya isteri yang dikaitkan dengan sikap suka membebel. Dah macam sinonim pula bila isteri asyik bercakap.

Bila terjadi sebegini, respon suami terhadap isteri sangat penting. Ada yang sekadar mendengar, ada yang terus mengherdik disuruh diam, ada yang sampai naik kaki tangan.

Astaghfirullah al adzim.

Saya teringat perkongsian dengan teman, yang mengadu bahawa betapa penat lelahnya menguruskan rumahtangga, kerja di pejabat, bisnes online, tekanan sini sana.

Jumpa suami jarang-jarang, kerana selalu bertugas di luar kawasan. Segala urusan rumahtangga diurus sendiri. Dari tugas memandikan anak, mengemas, menghantar anak ke sekolah, bayar bil, isi minyak kereta, bayar smart tag, pendek kata serba serbi di atas bahunya.

Bila suami pulang, hajat hati nak meluah perasaan, nak melepas apa yang dirasa, tapi suami hanya buat acuh tak acuh. Alih-alih disuruh diam.

Maka isteri menyimpan sendiri. Pendam dalam-dalam.

Bukan sedikit yang mengalami situasi seperti ini. Bagi seorang wanita yang sangat rapat dengan emosi, pasti mudah saja hatinya sedih apabila tidak dihiraukan.

Situasi ini kalau dibiarkan akan memburuk. Stress akan menjadi depress. Bila dah sampai tahap depress, tindakan dan pemikirannya sudah diluar kawalan. Dia tak mungkin dapat handle sendirian. Perlu bantuan ubat sebagai sokongan.

Yes, this is real. Jangan dibiar. Sama seperti demam, hanya akan sembuh dengan ubat. Depression is a desease. Takkan sembuh hanya dengan solat, mahupun selawat.

Sebelum stress menjadi depress, bantulah pasangan meredakan tekanan.

Dia hanya perlu seorang rakan sembang. Dia hanya mahu didengari. Dia hanya mahu bersuara.

Dia tidak minta dilayan seperti permaisuri. Dia tetap menjalankan tugas sehari-hari. Tetap memasak, mengemas, menggosok pakaian. Dia bukan mengeluh. Dia cuma menyampaikan apa yang terbuku di hati.

Yang merajuk minta dipujuk. Bukan dibiarkan sendiri. Berilah makanan kesukaannya. Ringankan tulang membantunya.

Sebenarnya pada masa letih begini, hulurkanlah bantuan. Bukan menambah bebanan.

Kalau anak kecil sedang menangis, bantulah menguruskannya. Diamkan si kecil. Kalau dilihat anak-anak belum mandi, mandikanlah. Kalau dilihat rumah bersepah, kemaskanlah. Kalau dilihat baju tak berampai, sidaikanlah.

Percayalah, pada keadaan stress sebegini, bantuan dari segi khidmat tenaga lebih diperlukan berbanding khidmat nasihat.

Ramai orang cenderung menjadi ustaz ustazah untuk memberi nasihat. Konon-konon rasa empati. Laju je mulut menyuruh 'Sabarlah,' 'Solat banyak-banyak,'  'Dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang,'

Bukan bermaksud menyuruh lupakan Tuhan. Cuma pada waktu ini, mereka hanya perlu calm down. Mereka tengah serabut. Rimas. Lelah. Letih. Mengantuk. Pada waktu fragile begini, ucapan berbentuk nasihat hanya ibarat percikan api ke dalam minyak petrol. Hanya menunggu masa untuk marak menyala.

Pinjamkan  telinga mendengar keluhan. Biarkan mereka luahkan apa yang terbuku. Elakkan dari memberi nasihat. Cukup sekadar berada di sisi dan diam.

Apabila semua yang terbuku sudah terluah, apabila badan yang lesu sudah rehat, apabila perut yang lapar sudah kenyang, apabila yang belum mandi sudah mewangi, pada masa itu mereka akan kembali menjadi bidadari.

Kembali menjadi suri dalam rumahtangga.
Mengorbankan segala masa dan tenaga hanya untuk family. Yang akan memberi sejuta warna warni. Kerana dalam family, merekalah Iron Lady.

.
.

No comments:

Post a Comment