PERKAHWINAN YANG MAKIN BERUSIA

Dalam setiap perkahwinan, pasti mengharapkan hadirnya 3 perkara, sakinah, mawaddah wa rahmah.

Sakinah, yang memberi ketenangan. Kalau sebelum berkahwin hati asyik resah gelisah, sesudah berkahwin pasti berharap ketenangan. Begitu juga dengan mawaddah, iaitu kecintaan. Saling mencintai pasangan, dengan bersulam doa tiljannah.

Dua perkara ini mudah menghiasi perhubungan di awal perkahwinan. Setiap hari diisi dengan moment indah.

Seiring meningkatnya usia perkahwinan, rahmah makin menghilang. Sifat rahmah yang menghormati pasangan kian lenyap sementelah masing-masing mula mengenali pasangan sendiri. Sisi-sisi hitam putih pasangan mula kelihatan.

Pabila masing-masing fokus meneruskan kerjaya, menguruskan hal rumah tangga, masing-masing mengulangi rutin sama. Pada waktu inilah lelah mula terasa.

Teringat pesanan Dr.Muhaya dalam wawancara WHI dalam slot 'Punca Rumahtangga Dingin', beliau menegaskan bahawa banyak hubungan rumahtangga tidak bahagia akibat hilangnya rasa hormat.

Untuk melahirkan rasa hormat, pasangan perlu rasa dihargai. Banyaknya isteri hilang hormat pada suami apabila rasa tak dihargai. Mulai meninggi suara apabila rasa jauh, rasa disia-sia. 

Banyak yang memendam rasa bertahun-tahun. Cuba untuk bertolak ansur menerima pasangan seadanya tanpa menyedari bahawa perasaan yang dipendam sudah menjadi dendam.

Akibat daripada kepenatan menahan diri dari bersuara, memendam rasa akhirnya binasa. Hingga ada ibu yang melepaskan geram pada anak sebagai pengganti rasa tak puas hati pada suami. Banyak juga kes isteri kemurungan menanggung depresi. Bukan sedikit perkahwinan yang terlerai akibat tiada toleransi.

Sahabat terbaik suami isteri adalah pasangan sendiri. Masing-masing perlu diberi peluang untuk berterus terang. Dijelaskan apa yang dimahukan dalam perhubungan.

Ada suami yang suka isteri membancuh air kopi setiap pagi. Ada isteri yang suka suami memuji.

Tetapi apabila masing-masing tidak berterus terang dan menganggap supaya pasangan faham sendiri, di sinilah bermulanya rasa tak dihargai. Mula menuntut hak, hingga terlupa tanggungjawab.

Ikatan perkahwinan adalah sebuah ikatan  'mitsaqun ghaliza', ikatan yang kuat, disebut dalam al-quran. Namun ikatan ini boleh saja renggang apabila hati tidak lagi difahami.

Hanya dengan komunikasi, semua rasa dikongsi. Beri peluang untuk meluah rasa hati. Apabila suami isteri saling memahami, di situ hadirnya rasa sakinah, mawaddah yang dikuatkan lagi dengan rahmah.

InshaAllah.

.
.
.

No comments:

Post a Comment