Tidur pun dah tak berapa lena

Dah pun masuk hari ke 50. Perut Humaira kelihatan kembung semula. Seakan membusung. Sebelum pembedahan dibuat memang perut dah kembung. Tapi lepas pembedahan dah nampak beransur baik. Nampak semakin kurang kembung. Tapi hari ni perut Humaira kembung semula. Risau juga kalau-kalau luka jahit pembedahan terbuka semula. Sebab perut dah nampak makin terik.

Jumaat lepas ultrasound sudah pun dibuat. Keputusan positif. Semua ok. Tapi bila perut Humaira kembung semula, maka doktor plan kena buat ultrasound lagi. Nak tahu apa punca. Katanya nak buat hari ni. Tapi tak tahu jadi ke tak. Entah. Mama pun tak tahu.

Selera makan Humaira sudah bagus. Cuma minum kurang. Asal diberi air terus geleng. Muntah ada lah juga. Soal salin baju, cadar, alas tilam, semua tu rutin. Dalam sehari adalah dalam 4-5 kali sesi menyalin cadar tilam. Mama dah mahir.  Tak payah minta tolong misi pun. Boleh buat sendiri.

Makin lama berkampung di sini, makin Humaira trauma. Humaira akan menjerit setiap kali orang tak dikenali datang. Doktor ke, misi ke, pelawat ke, sesiapa sahaja yang cuba rapat, memang ada potensi kena jerit. Tu belum bab bertentang mata, apatah lagi menegur. Humaira akan menjerit marah kalau ada orang yang perhati, menegur atau cuba datang dekat. Tidur pun dah tak berapa lena. Setiap malam mesti mengigau. Menjerit tiba-tiba. Sampai mama dah tak tahu nak buat apa. Humaira lebih suka tidur beriba. Humaira akan menangis bila diletak. Seolah-olah Humaira takut berjauhan dengan mama. Sepanjang masa Mama riba Humaira. Pangku kemas. Baru Humaira boleh tidur diam.

Sedar tak sedar, dah hampir 2 bulan Humaira berjuang melawan sakit. Dah bermacam ikhtiar dibuat. Andai saja mama boleh hapus segala kesakitan Humaira, pasti sudah lama mama buat. Mama tak boleh ganti tempat Humaira. Sebab kalau mama yang sakit, siapa yang akan jaga makan pakai Humaira? Siapa yang akan suapkan makanan Humaira? Siapa yang akan mandikan Humaira? Siapa yang akan temankan Humaira? Untuk Humaira, mama harus tetap berdiri tegak tidak rebah.

Berat. Payah. Sakit. Letih. Lelah. Penat. Tiada apa yang boleh disamakan dengan keadaan Humaira sekarang. Perjalanan yang tentunya berbeza dengan rakan sebaya. Pengalaman yang cepat membuat lebih dewasa. Kesakitan yang mengajar erti nikmat sihat. Tentunya semua ini menjadikan Humaira manusia hebat. Sehebat perjalanan hidup yang dilalui. Yang mencorakkan warna pentas kehidupan sendiri.

Bertahanlah anak. Semua ini pasti berakhir. Berjuanglah anak. Habiskan pertempuran ini sampai menang. Bersabarlah anak. Pertolongan Allah pasti datang.

---
18 April 2017
Pediatrik HKL

No comments:

Post a Comment