Anak orang lain datang dan pergi, tapi anak mama masih di sini

Sudah masuk hari ke 48 di hospital. Tapi kakak masih belum tunjuk tanda-tanda boleh discharge. Pesakit lain, anak orang lain, dah ramai boleh balik, tapi anak mama masih setia menjadi penghuni wad. Anak orang lain datang dan pergi, tapi anak mama masih di sini. Anak orang lain dah boleh berlari, tapi anak mama baru belajar nak berdiri. Anak orang lain dah boleh makan bertambah, tapi anak mama bergelut makan muntah.

Entah di mana pengakhiran cerita kita, kakak. Mama tak tahu nak kongsi dengan siapa. Apa yang mama rasa. Tiap kali pandang kakak, tiap kali jugalah mama harap supaya Allah angkat segala kesakitan, seluruh kesengsaraan yang kakak hadapi. Mama dah tak sanggup tengok kakak macam ni. Makin hari makin kurus. Muka cengkung. Hanya kulit membalut tulang.

Sekejap-sekejap kedengaran suara kakak mengerang tahan sakit.  Kalau tidur asyik meracau. Entah apa yang kakak mimpi. Malam semalam kakak siap boleh ajak bersiar-siar sampai keluar bangunan hospital. Tangan asyik menunjuk ke pintu. Pukul 2 pagi kakak. 2 pagi. Kalau tak dibawa, asyik menjerit. Sampai ganggu pesakit lain. Pakcik guard tengok pun semacam je bila tengok sorang perempuan bawa budak pukul 2 pagi bersiar-siar sekitar wad. Agak-agak apa diorang fikir time tu?

Petang tadi mama papa sempat bincang dengan doktor. Kalau-kalau kakak boleh direhatkan. Tak payah masuk line. Sebab mama kesian tengok kakak. Kaki dah bengkak jasa cucuk jarum. Tangan dah lebam membiru. Tapi doktor tak bagi. Bahaya untuk kakak. Garam terlalu rendah dalam tubuh kakak. Doktor nak elak dari terkena sawan. Boleh mengakibatkan kerosakan otak. Mama ingat lagi doktor cakap,
'We can heal the swollen and the bruised hands and feet, but we can't heal the damaged brain. Once it's damaged, it is not reversible' . Ok ini scary. Perlahan mama angguk bersetuju dengan penerangan doktor. Mama harap sangat keajaiban berlaku. Kakak sihat semula tanpa sebarang penyakit.

Dah macam-macam cabaran kakak hadapi sepanjang berada di sini. Hati mama dah tak tahu nak rasa apa. Pernah mama rasa takut nak gembira sangat, takut nak nangis beriya,  takut nak gelak kuat, takut nak cakap banyak. Sebab semuanya boleh jadi tiba-tiba. Sekelip mata boleh bersedih semula. Apa mungkin mama tak layak untuk bahagia gembira?

Biar apapun berlaku, mama papa tetap sayang kakak. Tetap jaga kakak sampai bila-bila. Tetap buat yang terbaik untuk kakak. Sentiasa ada untuk kakak. Menemani hari-hari kakak. Kerana mama papa sedar. Kakak adalah anugerah terindah dari Allah. Pinjaman dari Allah. Amanah dari Allah. Selagi mana Allah pinjamkan kakak untuk mama papa, selagi itu kami pelihara anugerah serta amanah ini dengan sebaiknya. Agar nanti menjadi saksi di hadapan Allah bahawa kakak sudah mendapat hak yang sepatutnya. Kakak pasti sembuh. Tiada keraguan padanya. Kakak pasti sihat. Keyakinan pada kesembuhannya.

Allah mustaan. Allah mustaan. Allah mustaan.

---
16 April 2017
Pediatrik HKL

No comments:

Post a Comment