Dah dapat tarikh bedah
Kali ni taknak tulis tacing2. Nanti ada yang nangis. Hehe. Selepas sepurnama bermalam di wad, akhirnya petang semalam doktor datang beritahu mama yang kakak akan dibedah pada hari isnin ni. Sempat juga doktor explain serba sedikit macam mana pembedahan bakal dilakukan. Lagi 2 hari, yakni tanggal 3 April 2017 Humaira akan menjalani pembedahan Meso- Portal Shunt. Pembedahan ini dilakukan untuk mengembalikan aliran darah normal ke hati. Kakak humaira mengalami portal vein yang tersumbat yang mengakibatkan tekanan tinggi pada salur darah (portal hyper tension).
Kalau kakak nak tahu, nanti doktor akan ambil urat leher kakak untuk dijadikan saluran darah baharu pada portal vein kakak. Ada beberapa plan yang doktor cadang nak buat. Takde satu pun yang tentu. Sebab doktor cakap, doktor kena buka perut kakak dulu baru boleh decide kaedah yang mana paling patut dan wajar dilakukan. Sebab tu ada banyak plan. Nanti perut kakak akan dibelah secara melengkung ke atas. Macam huruf n.
Esok doktor akan ambil sampel darah kakak. Standby untuk operation. Terima kasih tak terhingga buat penderma darah sekalian. Jasa kalian yang bermurah hati untuk menderma darah telah membantu menyelamatkan nyawa kakak. Lepas ni mama papa pun akan sama2 derma darah. Dah dapat kesedaran betapa pentingnya menderma darah. Mama tak dapat bayangkan macam mana kalau takde darah standby untuk kakak. Sebab setiap kali berlaku pendarahan, setiap kali tu juga kakak dapat darah baru.
Pembedahan ni akan diketuai oleh ketua pakar bedah pediatrik Malaysia. Beliau sangat mahir dalam menjalankan tugasnya. InshaAllah kakak berada di tangan yang betul. Kakak akan selamat. Pembedahan ni berisiko. Major operation. Biasalah kan. Semua benda ada risiko. Ini jalan terakhir yang doktor boleh buat selepas rawatan sebelum ni semuanya tak berkesan untuk kakak.
Setinggi-tinggi risiko pembedahan, tinggi lagi harapan mama untuk kakak. Mama harap sangat pembedahan ni berjaya selamatkan kakak. Setelah sekian lama kakak menanggung kesakitan, pasti akan sembuh juga. Cukuplah selama ni kakak penat. Penat dicucuk segala jenis jarum. Lelah diambil segala sampel. Tak cukup cucuk belah kiri, cucuk belah kanan pulak. Tak dapat cucuk di tangan, cucuk di kaki pulak. Tu tak termasuk dengan tak jadi lagi. Tak jumpa urat lah. Tak accurate lah. Bacaan tak betul lah. Macam mana mama tak rasa nak meletup? Ingat kakak ni bahan uji kaji ke hape? Sekati je.
Cukuplah. Cukuplah dengan apa yang kakak hadapi selama ni. Kakak dah makin kurus. Dah tinggal tulang. Boleh nampak dada turun naik. Sampai berlekuk. Tapi perut kakak masih buncit. Kembung je. Sebab tu kakak kena operate. Sebab berlaku portal hypertension. Lepas operate, mudah2an hypertension akan berkurang dan perut kakak akan kempis. Normal macam orang lain. Mama tak tahu apa yang kakak rasa sekarang. Mungkin sesak nak bernafas. Mungkin sakit perut. Mungkin penat. Entah. Susah nak teka. Muka kakak rilek je. Kakak still boleh baring sambil tengok upinipin. Steady betul.
Ok kakak. Mama nak sambung study penyakit kakak. Supaya mudah untuk mama faham bagaimana nak bantu kakak. Kalau bukan mama sendiri yang study, siapa lagi kan. Dah macam orang nak periksa pula. Study habis segala info. Gigih kan? Apa sahaja untuk kakak, semua mama buat. Walau subjek sains lah yang paling mama tak gemar. Sebab tu tak ambil medik dulu.
Nanti mama tulis lagi.Sekadar ingatan je. Sebab mama takmau lupa. Takmau lupa setiap detik berharga ni. Agar nanti bila kakak dah sihat, akan mama bacakan semula kisah ni untuk kakak, agar menjadi inspirasi, agar menjadi bukti bahawa kuasa Allah amat luas dan kasih sayang Allah tidak terbatas.
---
01 April 2017
Pediatrik HKL
No comments:
Post a Comment