Perjalanan hidup Humaira tak sama dengan kawan sebaya

Sebenarnya kan, bila dah 37 hari bermukim di hospital, macam-macam benda yang mama belajar, banyak benda yang dah hadam.

Paling best bila dapat rasa betul-betul perasaan  tawakal, bilamana pergantungan kita hanya sungguh-sungguh pada Allah. Kalau sebelum ni mungkin sekadar di mulut sebut tawakal, tapi penghayatan tu kurang. Kali ni memang rasa iman diuji. Kalau sebelum ni asyik berkata yang kita ni beriman dengan Allah, beriman dengan qada dan qadar. Tapi hakikatnya kita hanya akan benar-benar faham erti sebenar-benar iman dengan Allah yang Esa, qada dan qadar yang tertulis, apabila kita diuji dengan keimanan dan keyakinan kita sendiri.

Beriman dengan Allah. Yakni perlu beriman dan yakin dengan haqqul yakin dengan semua zat dan sifat Allah. Ya..sifat Allah yang 20. Iman dengan nama Allah yang 99. Allah itu wujud. Dia yang Maha Berkuasa. Dia jugalah yang Maha Menyembuhkan.

Beriman dengan qada dan qadar. Suatu ketentuan yang sudahpun tertulis. Siapa kita untuk menidakkan? Siapa kita untuk menafikan? Sekalipun qada itu berat untuk kita hadap, tetap kita perlu ingat yang ia sudahpun tertulis. Jangan sampai qada dan qadar yang berat menggoyahkan iman kita selama ini.

Bila kita mengaku beriman dengan rukun iman, maka wajib kita beriman dengan kesemuanya. Keenam-enam rukun. Sering juga mama doa supaya Allah tak bolak-balikkan hati dan keyakinan mama pada Allah. Mama takut sangat kalau-kalau ujian yang sarat ini bisa menggoyahkan iman mama pada Allah.

Hana Humaira, tetaplah kamu terus berjuang. Kerana selagi kamu bernyawa, selagi itu Allah pelihara. Memang sesekali mama sendiri terasa lelah. Ada ketika mama penat. Kadang terbit rasa mama letih. Tapi itu semua bukanlah alasan untuk mama rebah. Apalah sangat perasaan mama jika nak dibandingkan dengan apa yang Humaira lalui. Jauh lebih hebat. Perjalanan hidup Humaira tak sama dengan kawan sebaya. Di saat orang lain seronok melancong, Humaira terbaring di katil. Di saat orang lain bermain, Humaira terpaksa menahan sakit. Di saat orang lain memilih makanan, Humaira berpuasa.

Biarlah. Abaikan semuanya. Demi kelangsungan hidup. Demi sebuah nyawa pada jasad. Berjuanglah anakku. Suatu hari nanti pasti Allah yang Maha Menyembuhkan akan kurniakan kesembuhan buat Humaira. Allah yang Maha Pengasih pasti mengasihi Humaira. Allah yang Maha Melindungi pasti melindungi Humaira.

Seluruh doa untuk kesembuhan Hana Humaira.
Semua keyakinan untuk kesejahteraan Hana Humaira.
Segala tawakal untuk kesihatan Hana Humaira.

Allahul Mustaan. Rabbuna Yusahhil.

---
05 April 2017
Pediatrik HKL

No comments:

Post a Comment