JANGAN PUTUS ASA

Pagi ni saya mendapat perkongsian yang sangat bermakna. Sampai saya rasa bersalah kalau tak kongsi dengan kawan-kawan.

Kisahnya begini. Pada zaman Nabi Musa A.S , ada seorang wanita yang telah berkahwin dan tidak dikurniakan anak. Wanita tersebut datang kepada Nabi Musa A.S untuk berdoa untuknya.

'Wahai Nabi Musa, doakanlah untukku agar dikurniakan seorang anak.' wanita itu merayu kepada Nabi Musa A.S.

Maka Nabi Musa A.S mengangkat kedua tangannya lalu berdoa, 'Wahai Allah, kurniakanlah kepada wanita ini seorang anak,'

Nabi Musa telah dikurniakan mukjizat yang boleh membuatnya bercakap secara terus (direct) kepada Allah.

Allah menjawab doa Nabi  Musa A.S,  'Wahai Musa, ketahuilah dikau bahawa sesungguhnya Aku telah takdirkan wanita ini tidak subur (mandul)'.

Nabi Musa A.S  menyampaikan jawapan Allah kepada wanita tersebut. Maka wanita itu pulang ke rumahnya dengan perasaan sugul dan sangat sedih.

Tidak lama selepas itu, wanita yang sama datang lagi menghadap Nabi Musa A.S. Memohon didoakan agar dikurniakan anak.

Lalu Nabi Musa A.S berdoa lagi kepada Allah. Dan Allah menjawab jawapan yang sama.

Wanita itu pulang dan tidak kembali lagi.

Selang setahun,  wanita yang sama datang bertemu Nabi Musa A.S dengan memangku seorang bayi.

Nabi Musa A.S bertanya, 'Wahai wanita dihadapanku, anak siapakah bayi kecil ini?'

Wanita menjawab dengan gembira, 'Wahai Nabi Musa, inilah anakku. Tuhan yang Maha Penyayang telah mengabulkan doaku,'

Nabi Musa A.S lalu bertanya kepada Tuhan, 'Wahai Allah, bukankah Engkau telah takdirkan wanita ini tidak subur (mandul)? Bagaimana boleh wanita ini melahirkan anak?'

Maka Allah menjawab persoalan Nabi Musa A.S, 'Wahai Musa, sesungguhnya Aku telah takdirkan wanita ini tidak subur(mandul). Tapi wanita ini tetap bermohon kepadaKu agar dikurniakan anak. Maka kasih sayangKu terhadap hamba-hambaKu telah mengatasi takdirKu terhadap hamba-hambaKu.'

.
.
.

Tuhan di zaman Nabi Musa, juga Tuhan kita.
Tuhan yang kabulkan doa wanita ini, juga Tuhan  kita. Tuhan yang sama, yang kasih sayang terhadap hambaNya melebihi takdirNya.

Yakinlah, Allah itu Maha Penyayang kepada setiap jiwa yang tenang.

Percayalah, Allah itu Maha Pengasih kepada hamba yang menagih.

Berdoalah, Allah itu Maha Mengabulkan doa insan yang bergantung harapan.

Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi mana-mana hambaNya. Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa.

Janganlah kita berputus asa dengan rahmat Allah. Kerana sesungguhNya Allah akan mengabulkan setiap doa yang dipinta hambaNya.

.
.
Peringatan buat saya yang menulis,
Nurjuwaini Aziz

.
credit to Syazwani Shariff .

No comments:

Post a Comment