Hari sabtu lepas saya dan keluarga sempat menjenguk datuk saudara yang sakit tenat. Ketumbuhan dalam perut. Berbulan juga beliau berulang ke tandas dengan kerap kerana sakit perut. Dalam kesibukan sendiri saya gagahkan jua untuk pulang menjenguk.
Sabtu malam saya bermalam di Jerantut dengan harapan dapat menjenguknya lagi di hospital. Rancangan awal hendak tunggu waktu melawat memandangkan pihak hospital tidak membenarkan lawatan di luar waktu. Tapi perancangan Allah mengatasi segalanya. Tidak terlewat atau terawal sesaat, jam 11.35pagi saya terima mesej mengkhabarkan kematiannya. Allahu. Tak terkata masa tu.
Bergegas kami ke hospital. Sampai sahaja terus saya memeluk isteri arwah. 'Kenapa awak lambat sangat? Kenapa awak baru sampai? Kenapa awak tak datang dari tadi?' Bertubi-tubi saya diasak soalan. Maafkan saya. Kelu lidah untuk menjawab. Arwah dan isteri sangat rapat dengan kami. Perkahwinan mereka yang tidak dikurniakan anak membuatkan mereka rapat dengan anak-anak dan cucu-cucu saudara.
Sungguh. Di saat-saat kritikal begitu memang kehadiran ahli keluarga menjadi kekuatan dan semangat. Arwah sangat hebat orangnya. Semua orang terasa kehilangannya. Sangat baik dengan semua orang. Walau tidak dikurniakan zuriat, tapi sesiapa sahaja yang mengenalinya akan menyanjunginya. Mendengar sahaja perkhabaran kematiannya, semua berebut untuk menguruskan jenazahnya.
Selesai urusan di hospital, sampai sahaja jenazah di rumah, sanak saudara, sahabat handai sudah memenuhi rumah, persediaan mandi sudah tersedia, kain kafan sudah direntangkan, jemaah solat jenazah sudah berkumpul, kubur sudah siap digali. MashaAllah. Begitu hebat. Urusan pengebumiannya berjalan lancar. Sebelum asar semua telah selesai.
Di hadapan semua orang, di saat talkin dibacakan, imam sendiri mengaku bahawa beliau menyaksikan arwah sangat baik. Sedekah yang banyak. Rajin memberi. Tidak pernah berkira dengan orang. Suka menjalinkan ukhwah. Arwah seorang yang sangat merendah diri. Kehidupannya serba ringkas. Rumah kayunya hanya dihiasi perabot asas. Padahal semua tahu bahawa arwah adalah jutawan senyap. Hartanya tak habis. Ladang getah, kebun buah, berekar-ekar. Lembu ternakan beratus ekor. Bawa duit berpuluh ribu dalam poket itu biasa. Itu yang saya tahu, yang tak tahu entahlah.
Saya sendiri sempat menyaksikan bagaimana arwah menghadapi saat-saat akhir hidupnya. Berkerut dahi. Sesak nafasnya. Begitu sakit saat berjuang pulang menghadap Tuhan.
Banyak pengajaran yang saya dapat. Seakan menerima teguran Tuhan. Itu kisah orang yang sangat baik. Sangat hebat. Dihormati masyarakat. Begitu kisah arwah menghadapi sakaratul maut.
Terbayang pula bagaimana agaknya bila sampai saat kita dipanggil pulang? Bagaimana pula keadaannya nanti? Adakah ada yang akan menguruskan jenazah kita nanti? Adakah lancar semuanya? Apakah cukup amalan diri? Takut. Ngeri. Hakikatnya kematian semakin menghampiri. Kerana mati itu pasti.
Al-fatihah untuk arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
No comments:
Post a Comment