Saya terlupa bawa susu anak..


Jam menunjukkan pukul 12 malam. Datang patient baru masuk ke dalam kubikel kami. Kubikel ini dikongsi 4 orang patient dalam satu masa.

Patient ini kurang lebih 2 tahun umurnya. Ditemani nenek sementara datang ayahnya berganti tugas.

Sepanjang malam tidur saya terganggu dengan rengekan si kecil ini. Ayahnya tetap sabar memujuk. Hingga jam 4 tangisannya tak berhenti. Saya yakin ayahnya juga berjaga sepanjang malam.

Telinga ñipis saya kurang sabar dengar tangisan budak. Bingit. Saya bangun cuba menghulurkan bantuan, 'Kenapa ni encik? Anak menangis sepanjang malam.'

'Anak saya tak boleh tidur. Tak selesa mungkin,' Ayahnya cuba memberi respon.

Saya lihat botol susu disebelah anak ini. Terisi air masak. Tidak berusik.
.'Anak lapar susu ni. Kenapa tak berikan susu?' saya cuba bertanya.

'Sebenarnya saya tergopoh gapah keluar rumah tadi, sampai terlupa bawa susu anak. Dah tengah malam. Mana ada kedai buka. Anak pula tak boleh nak tinggal.' jujur jawab si ayah.

Saya menawarkan diri untuk bancuhkan susu si anak. Kebetulan anak saya, Humaira minum susu biasa. Sesuai untuk semua umur.

Kurang 5 minit, habis sebotol susu. Si anak tertidur di pangkuan ayah.

Anak ini kelaparan sepanjang malam. Si ayah hilang punca. Bingung nak diamkan si anak.

Rupanya si ibu juga berada di wad tingkat bawah. Terlantar di katil hospital mendapatkan rawatan. Baru bersalin beberapa hari.

Menjaga diri sendiri. Tiada yang menemani. Kerana si ayah perlu menjaga anak yang juga sakit. 

Orang tua di kampung pula terpaksa turun untuk menjaga bayi kecil di rumah. Belum pun usia sebulan.

Besar ujian buat keluarga ini. Jelas terpancar kesabaran tiada bandingan. Sempat saya terdengar luahan sang atuk, 'Ini rezeki kita. Ini ujian kita.'

Saya tahu dia cuba memujuk. Belum tentu hati terpujuk.

Kasih sayang Tuhan datang dalam banyak cara. Sembuhkanlah keluarga ini. Kurniakanlah kekuatan buat mereka.

Betullah bagai dikata. Hospital adalah tempat muhasabah sebenar. Banyak cerita air mata.

Pandanglah dengan jiwa manusia. Betapa beruntungnya kita. Dengan nikmat yang banyak tak terkira.

*

No comments:

Post a Comment